Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Sunday, December 30, 2012

PENDAFTARAN PERSEKOLAHAN ANAK


SK Seri Mega telah mengadakan sesi pendaftaran bagi murid-murid Prasekolah dan Tahun 1 bagi tahun 2013. Pendaftaran tersebut telah dijalankan pada 31 Disember 2012 (Isnin) di sekolah berkenaan. Sesi tersebut dimulakan dengan pendaftaran dan pembelian buku latihan bagi murid-murid prasekolah termasuk juga baju t-shirt prasekolah dan tanda nama. Setelah selesai pendaftaran, kami diberikan taklimat pengurusan oleh guru prasekolah dan GPK HEM. Di dalam taklimat tersebut, mereka telah menjelaskan tentang etika pemakaian pakaian sekolah, aspek-aspek keselamatan dan beberapa perkara penting yang berkaitan.


Anak kedua ku, Amirul Fahmi telah aku daftarkan ke dalam kelas prasekolah buat tahun yang kedua. Ini adalah kerana anak ku baru berusia 6 tahun pada tahun 2013 nanti. Kelas yang sama tetapi rakan-rakan yang berbeza. Walau bagaimanapun, anak ku masih mempunyai rakan bermain dalam kalangan anak-anak guru SKSM seperti anak Ustaz Zuhdi, Norasyikin dan Nora. Dengan adanya mereka, anak ku dapat membiasakan diri bermain dengan mereka. Selamat bersekolah kepada anak ku Amirul Fahmi.

Wednesday, December 26, 2012

MESYUARAT GURU BIL.1/2013


Tahun 2012 sudah hampir kepada penghujungnya. Maka bermulalah tugasku bagi tahun 2013. Tugas pertamaku pada tahun 2013 ini adalah menghadiri Mesyuarat Guru dan Kurikulum Bil.1/2013. Mesyuarat tersebut telah dijalankan pada hari ini iaitu hari Rabu (26/12/12). Mesyuarat yang bermula pada pukul 8.30 pagi telah pengerusikan oleh puan Guru Besar SKS2BK di Bilik Wawasan. 


Majoriti guru telah hadir dengan tiga orang muka baharu yang menggantikan guru-guru yang telah berpindah. Guru-guru baharu yang telah melapor diri di SKS2BK terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan. Guru-guru tersebut adalah En. Baser, Pn. Muzaimah dan Pn. Salmah. Selamat datang kami ucapkan kepada mereka. Kedatangan mereka amat dialu-alukan. Bersama-samalah kita memajukan SKS2BK ke peringkat yang lebih cemerlang. 


Banyak input yang diberikan oleh guru besar. Semuanya tentang dasar-dasar KPM seperti NKRA, KSSR, GTP dan pelbagai perkara lain. Di dalam mesyuarat kali pertama ini dapatlah kami guru-guru SKS2BK mengenali dengan lebih dekat perwatakan guru besar baharu ini. Bagi aku, beliaua seorang yang tegas dan boleh dibawa berbincang. Harap telahan aku tepat. Walau bagaimanapun, tugas yang telah diamanahkan tetap akan dipikul sedaya mampu untuk kecemerlangan anak bangsa Malaysia.


PERCUTIAN DI CORUS PARADISE


Musim cuti sekolah adalah masa yang dinanti-nantikan oleh seisi keluarga untuk merancang percutian masing-masing. Keluarga aku juga tidak terkecuali untuk pergi bercuti bersama-sama ahli keluarga. Pada kali ini, terdapat kelainan tentang percutian keluarga kami. Percutian kali ini juga adalah bersempena dengan perjumpaan semula (reunion) rakan-rakan isteriku semasa di SMA Batu 9, Ulu Langat.



Percutian yang dicadangkan adalah di Corus Paradise yang terletak di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami telah pergi ke sana pada hari Sabtu (22/12/12) yang lalu. Aktiviti yang dicadangkan adalah seperti mandi-manda di pantai dan kolam renang. Pada sebelah malamnya pula kami telah mengadakan jamuan barbeku. Semua bahan-bahan telah dibawa dari rumah masing-masing. Ada yang membawa ikan keli, ikan cencaru, ayam, sosej dan udang. Memang meriah acara membakar makanan pada malam tersebut. Sang suami membakar, sang isteri bersembang dan anak-anak datang makan. 



Keesokannya. terdapat beberapa keluarga yang pergi ke pantai yang lebih jauh iaitu Pantai Cermin. Ada juga yang telah mula pulang ke rumah masing-masing. Keluarga aku cuma pergi berenang di pantai yang terletak di bawah hotel. Kemudian, kami telah pergi mandi-manda di kolam renang hotel pula. Kami mula berangkat ke rumah masing-masing.



Wednesday, December 19, 2012

KEPUTUSAN PMR ADIK-ADIK KU


Pada 19 Disember 2012 (Rabu) yang lalu, keputusan PMR telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Adik ku iaitu Mohd. Faris dan adik ipar ku  iaitu Mohd. Amin telah mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing. Adik ku telah mendapatkan keputusannya di SMK Bangsar manakala adik ipar ku mendapatkan keputusannya di SMK Puchong Permai. Alhamdulillah keputusannya agak baik bagi kedua-duanya. Adik ku mendapat 3A, 2B, 2C dan 1D manakala adik ipar ku pula mendapat 5B, 1C dan 2D.  Dengan keputusan ini aku berharap keduanya akan berjaya memohon tempat ke sekolah menengah teknik atau vokasional. Semoga berjaya dan berusaha lagi pada masa yang akan datang.

Monday, December 17, 2012

CIKGU MOHD. SYAIFUL & ISTERI DATANG ZIARAH




Pada hari Sabtu (15/12/12), sahabat lama ku iaitu Mohd. Syaiful Bahari dan isteri telah bertandang ke rumah ku untuk bermalam. Keesokannya beliau akan ke Kuala Lumpur untuk mengambil jubah. Mereka datang ke sini adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen OUM. Beliau akan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajaran pada hari Isnin nanti. Tahniah di atas kejayaan anda setelah sekian lama bertungkus-lumus berjuang untuk mencapainya.

Tuesday, December 11, 2012

ROMBONGAN KE i-CITY


Pada 9 Disember 2012 yang lalu, Wak Sairan dan keluarga telah bertandang ke Puchong iaitu rumah mentua ku. Mereka datang ke mari adalah kerana memenuhi jemputan Yang Dipertuan Agong sempena Majlis Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran Negara. Majlis tersebut diadakan pada 11 Disember 2012 iaitu pada hari Selasa di Istana Negara, Kuala Lumpur. Majlis tersebut berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari. Pingat yang Wak Sairan peroleh adalah pingat Pingat Pangku Negara (PPN) di atas jasanya semasa memegang jawatan ahli  jawatankuasa Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan Kampung (JKKK).


Pada sebelah malam 11 Disember 2012 iaitu selepas majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung pada sebelah pagi, kami beramai-ramai telah mengunjungi i-City yang terletak di Shah Alam. Kami pergi ke sana dengan tiga buah kereta yang terdiri daripada kereta aku, bapa mentua ku dan kereta Wak Siran sendiri. Setibanya di sana, kami terus menuju ke tapak pameran sejurus selepas meletakkan kenderaan kami di tepi jalan. Sesampainya di tempat yang kami tuju, kami sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. 

Sejurus selepas itu, bapa mentua ku merasanya kurang tenang kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan lalu  dia pun turun semula ke tempat letak kenderaan kami. Setibanya di sana, bapa mentua ku terkejut kerana kenderaan kami nyaris-nyaris dikunci oleh pihak pengurusan i-City. Mujurlah selepas berbincang dengan mereka kami berjanji untuk mengalihkan kenderaan kami ke tempat lain. Kami pulang semula ke rumah kurang lebih pukul 12 tengah malam.

Wednesday, December 5, 2012

AINA "SUPERSTAR"


Pada hari ini hanya tinggal kami berempat sahaja. Aku, isteri, Aina dan Ain. Kakak dan abang bermalam di rumah datuk dan nenek di Puchong. Sempena ketiadaan mereka, aku mengambil kesempatan untuk ke Giant, Nilai untuk membeli beberapa barangan keperluan harian. 


Tajuk di atas aku tuliskan khas untuk anak ku Aina Faqihah. Ini disebabkan oleh telatahnya ketika di taman permainan kanak-kanak di dalam Pasaraya Giant. Aku sempat mengambil beberapa keping gambar untuk menunjukkan dia dengan aksinya. Aina bagaikan seorang superstar apabila aksinya aku rakam dengan kamera yang baharu aku beli. 


Kelakar dan bersahaja aksi yang ditunjukkan oleh anak ku yang seorang ini. Wajahnya yang fotogenik membuatkan gambar yang aku ambil penuh dengan keceriaan. Dia memang tidak kekok apabila berhadapan dengan kamera kerana sejak dari kecil aku telah dedahkan dia dengan kamera. Tanpa gangguan daripada kedua orang kakak dan abangnya membuatkan dia berusaha untuk menghiburkan dirinya dengan permainan kegemarannya iaitu gelongsur. Semoga masa hadapannya cerah dengan cahaya yang dirahmati-Nya.


Sunday, December 2, 2012

JALAN-JALAN KENDURI KAHWIN


Setiap kali cuti sekolah, memang ramai yang mengadakan kenduri kahwin atau majlis pertunangan. Dengan adanya majlis-majlis seperti itu, maka banyaklah pula kad-kad undangan yang perlu dipenuhi. Aku dan ahli keluargaku juga tidak ketinggalan daripada menerima undangan tersebut. 

Pada 1/12/12 yang lalu, terdapat dua undangan yang penting. Kedua-dua undangan tersebut datangnya daripada mak cik saudara di sebelah bapa dan mak ku. Salah satu daripadanya adalah daripada Mak Cik Ngah. Beliau telah mengajak ku menghantar anak sulungnya Mohd. Rafi untuk meminang. Tempatnya tidak jauh, cuma di Cheras sahaja. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun hujan turun dengan lebatnya.


Satu lagi undangan adalah daripada Mak Su Lah, mak saudara di sebelah ibuku. Beliau juga menjemput aku mengiringi rombongannya menghantar anaknya, Murni ke rumah mentuanya yang tinggal di kawasan Templer Park. Malangnya undangannya tidak dapat aku penuhi kerana aku telah pergi mengikuti undangan yang pertama tadi. Walaupun begitu, ibuku telah pergi bersama dengan adik-beradik yang lain mengiringi rombongan mereka. Aku difahamkan, semua perancangan berjalan dengan lancar.

Pada 2/12/12, aku telah pergi tiga tempat yang berasingan. Semuanya berkaitan dengan undangan perkahwinan dan pertunangan. Pertama aku telah pergi ke PPR Pekan Batu yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Ini berikutan memenuhi undangan perkahwinan anak perempuan Cikgu Zah yang aku panggil Nor sahaja. Mereka adalah saudara jauhku. Dulu keluarga kami tinggal berjiran. Selepas Kg. Pasir Dalam dirobohkan, maka kami telah berpisah ke tempat yang berasingan. Dia dan keluarga telah berpindah ke PPR Pekan Batu manakala aku dan keluarga ke PPR Raya Permai, Sungai Besi. Selepas PPR Pantai Permai siap, keluargaku telah berpindah ke sana manakala dia dan keluarga enggan berpindah dan mahu terus menetap di sana. 


Tempat kedua yang aku dan keluargaku pergi adalah di flat di Jalan Pahang. Di sana aku telah menghantar emak saudaraku, Mak Cik Ngah ke kenduri rakannya. Ia adalah kenduri perkahwinan anak rakannya. Tempat terakhir yang kami pergi adalah di Damansara Utama berdekatan dengah bangunan Kumpulan Media Prima. Di sana aku telah menghadiri majlis pertunangan anak sepupunya iaitu Wanie. Dia adalah anak sepupuku yang sulung. Sepupuku bernama Kharimah. Ibunya dan ibuku adalah adik-beradik. Ramai juga saudaraku yang hadir. Antara mereka termasuklah emak dan bapa saudaraku yang dari Kelantan, sepupu-sepupuku, iaitu adik-beradik Kak Kharimah dan sepupuku yang lain. Turut hadir adalah mak saudara-mak saudaraku dari sebelah bapaku.

Walaupun hujan lebat melanda, namun majlis tersebut tetap berjalan dengan jayanya. Ini adalah kerana hujan  turun selepas majlis tersebut selesai. Hujan melanda ketika sebahagian para tetamu selesai menjamu selera. Penat sungguh aku yang para rombongan yang lain menghadiri pelbagai jenis majlis pada hari semalam dan juga hari ini. Namun aku amat berpuas hati kerana dapat bertemu dengan saudara-mara yang jauh mahupun yang dekat. Dengan ini dapatlah kami mengeratkan tali silaturrahim di antara kami. Sekalung tahniah dan berbahagia kepada semua yang terlibat. Semoga kalian dirahmati-Nya hingga ke akhirat. Amin.

Wednesday, November 28, 2012

LAWATAN KE MAHA 2012


Pameran Agrikultur, Hortikultur & Agro-pelancongan (MAHA) 2012 telah bermula dari 23 November 2012 hingga 2 Disember 2012. Aku dan keluarga telah pergi melawat ke tapak pameran pada 28 November 2012 (Rabu). Kami tiba kurang lebih pukul 11.00 pagi. Tempat yang telah kami lawatan adalah seperti zoo mini, agrobazaar, makanan popular Malaysia dan banyak lagi.

Memang berbaloi kami pergi ke sana. Banyak maklumat yang kami peroleh daripada pameran tersebut. Banyak juga produk tempatan yang telah kami beli. Harganya pula memang berbaloi. Malangnya masa tidak berapa mengizinkan kami pergi lebih lama kerana pada sebelah petangnya hujan turun di tapak pameran tersebut. 


Jadi, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Walau bagaimanapun, cukuplah sudah dengan apa yang telah kami peroleh sepanjang lawatan sehari kami di sana. Kepada mereka yang tidak pernah pergi ke sana. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk berkunjung ke sana. Jangan sia-sia peluang dan masa yang ada berlalu dengan begitu sahaja.

Sunday, November 25, 2012

HARI MENYAMBUT MENANTU

 










Pada 25 November 2012 (Sabtu) yang lalu, pangsapuri PPR Pantai Permai bergema lagi dengan hari menyambut menantu keluarga Mansor. Majlis ini diadakan bagi menyambut dan mengalu-alukan kedatangan orang baharu ke dalam keluarga Mansor. Ahli keluarga baharu yang aku maksudkan ialah isteri kepada adindaku Mohd. Farid iaitu Nor Faizah binti Abdul Rahman. Beliau bekerja di Kuala Lumpur yang kini menetap di Sentul. Pada majlis tersebut, ramai hadirin yang hadir seperti kejiranan PPR Pantai Permai, rakan sejawat SKS2BK & SKSM, rakan-rakan sepermainan adindiku dan saudara-mara serta kenalan handai. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyerikan majlis tersebut dengan penuh meriah dan hilai tawa.

Aku bersyukur kepada Ilahi kerana telah menyempurnakan majlis tersebut tanpa ada perkara yang tidak diingini. Terima kasih juga aku ingin sampaikan kepada rombongan pengantin perempuan kerana telah datang memeriahkan majlis. Mereka datang dari jauh sebagai restu keluarga kepada adinda Nor Faizah. Insyaallah amanah yang diberikan akan kami jaga adinda Faizah sebagai ahli keluarga kami juga.

Wednesday, November 21, 2012

MAHA 2012


KEPUTUSAN UPSR SKS2BK 2012

Pada 19 November 2012 yang lalu, SKS2BK telah mengumumkan bahawa seramai 28 orang calon UPSR telah mendapat keputusan cemerlang dengan mendapat 5A. Jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut pada kali ini adalah seramai 172 orang. Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah berjaya. bagi mereka yang kurang berjaya, diharapkan tidak kecewa. Jadikanlah ia sebagai suatu pengajaran dalam menempuh kehidupan ini. Teruskan usaha anda sehingga mencapai matlamat hidup yang gemilang.

Monday, November 12, 2012

MAJLIS PERNIKAHAN & PERSANDINGAN ADINDA MOHD. FARID

Mohd. Farid bin Mansor ialah adik ketiga daripada 7 adik-beradik. Dia merupakan anak lelaki kedua selepas aku. Pada 10 November 2012 yang lalu, dia telah menamatkan zaman bujangnya pada usia 31 tahun. Gadis pilihannya adalah daripada Kamunting, Perak. Mereka berkenalan di Kuala Lumpur kerana isterinya bekerja di DBKL.

Mohd. Farid dan Nor Faizah telah diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Kamunting. Dengan dua kali lafaz Faizah sah menjadi isteri kepada adindaku sekaligus menjadi ahli baharu dalam keluarga En.Mansor. Selamat datang kami ucapkan dan semoga berbahagia hingga ke anak cucu.

Tuesday, September 25, 2012

SERONOK DENGAR KAWAN-KAWAN GURU NAIK PANGKAT

Terasa sudah lama rasanya aku telah mencurahkan bakti sebagai seorang pendidik. Seronok rasanya apabila mendengar berita rakan-rakan seperjuangan yang telah dinaikkan pangkat. Di SKS2BK, Cikgu Azmin telah dinaikan pangkat kepada Guru Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum (GPK 1) di SK Petaling Jaya, manakala rakan ku di SKSM juga telah dinaikkan pangkat kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK Koku) di SK Seri Saujana. Aku masih macam biasa mencurahkan baktiku selagi masih ada kudrat dari yang Maha Kuasa. Iktibarnya, kita harus berusaha tanpa rasa jemu walau berapa lama sekalipun. Bukan jawatan yang menjadi matlamat hidup tetapi apa yang menanti kita diakhirat sana. Moga apa yang disemai di atas bumi Allah ini dapat dituai di akhirat sana. Amin.

Thursday, August 30, 2012

HARI KEMERDEKAAN KE-55

Pada tahun ini, Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-55. Tema sambutan hari tersebut ialah Janji Ditepati. Sambutan kali ini diadakan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional. Acara perbarisan diadakan pada sebelah pagi di Dataran Merdeka. Manakala pada sebelah malamnya, sambutan kemerdekaan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Wednesday, August 8, 2012

BUDAYA PEMAKAIAN SAMPING MELAYU

Menarik dalam Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012, menurut Dr. Rusli, baju Melayu sinonim dipakai dengan kain samping. Menurut budaya orang Melayu, jika seseorang pemakai memakai kain samping di atas lutut, itu menunjukkan bahawa orang tersebut adalah orang muda yang belum berkahwin. Jika pemakainya memakai kain samping di atas lutut, itu bermakna orang tersebut sudah berkahwin. Manakala jika orang yang sudah berkahwin memakai kain samping di atas lutut, itu bermakna dia ingin kahwin lagi. Begitu menurut Dr. Rusli yang mendakwa budaya Melayu yang kian terpinggir dek perubahan zaman.

Saturday, July 21, 2012

SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAK

Setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa telah ditetapkan pada 21 Julai 2012 bersamaan 1 Ramadhan 1433H. Maka pada hari ini, umat Islam di Malaysia telah mula menjalankan ibadat puasa seperti yang telah diwajibkan ke atas umat Islam. Sempena bulan mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf jika ada bahasa yang saya gunakan salah, menyinggung mana-mana pihak agar dapat diampunkan. Semoga pada bulan barakah ini sama-samalah kita meningkatkan amalan masing-masing untuk kesejahteraan di akhirat nanti.

Wednesday, July 18, 2012

RAMADAN BERTANDANG LAGI

Selepas diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, tarikh untuk melihat anak bulan bagi penentuan tarikh permulaan puasa bagi tahun 2012 adalah ditetapkan pada 19 Julai 2012. Tarikh permulaan puasa akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor-mohor Besar pada malam tersebut. Sama-samalah kita nantikan pengumumannya.

Tuesday, June 19, 2012

Debat Sinar 'Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi' Sidang Media


Debat Sinar 'Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi'




Saifuddin: Demo bukan cara kukuh demokrasi

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menolak keras demonstrasi jalanan adalah cara yang terbaik untuk mengukuhkan demokrasi kerana pendekatan sedemikian hanya boleh mengganggu ketenteraman awam dan hak rakyat.
“Demonstrasi jalanan jelas memberi impak negatif kepada orang ramai dan komuniti sekitar kawasan yang terlibat seterusnya menjadi punca kepada kekacauan berlaku apabila demonstrasi jalanan (diadakan),” kata beliau ketika berhujah pada Debat Sinar bertajuk “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi" di sini, malam ini.

Wednesday, June 13, 2012

DEBAT SINAR II

SHAH ALAM - Untuk kali kedua, Debat Sinar Harian akan dianjurkan antara dua tokoh berlainan ideologi politik bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar idea mereka berhubung isu yang menjadi buah mulut masyarakat hari ini.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, tajuknya masih lagi dibincangkan peringkat akhir sebelum diumumkan penganjur dalam masa terdekat.

“Debat antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub itu akan diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada 19 Jun depan.

“Penyertaannya adalah terhad, jadi kami akan membuat jemputan khas untuk 350 kerusi yang disediakan pada malam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Abd Jalil berkata, Sinar Harian sebagai akhbar rasmi, juga akan siarkan laporan penuh debat ini keesokan harinya.


Sumber berita daripada Sinar Harian Online 12 Jun 2012

WINDOWS 8 CONSUMER PREVIEW


Windows 8’s Consumer Preview telah didatangkan dalam versi Beta dan menurut rekod, ianya telah dimuat turun sebanyak 1.7 kali sejak ia mula dilancarkan dan jumlah tersebut semakin meningkat .
Di sini kami memberi peluang kepada anda semua untuk download dan mencuba sendiri sistem operasi terbaru ini. Anda boleh muat turun aplikasi Windows 8 melalui pautan yang akan diserta kan pada akhir post ini.
Sebelum memuat turun, ada beberapa syarat minimum yang perlu ada dalam laptop ataupun pc anda supaya sistem ini dapat berfungsi dengan baik, tanpa sebarang masalah. Pastikan PC/Laptop anda mempunyai :
-1GHz or faster processor
-1GB of RAM (32bit Win8) & 2GB RAM (64bit Win8)
-16GB available disk space (32bit) or 20GB hard drive space for 64bit …
-DirectX 9 graphics device with WDDM 1.0 or higher driver
-Minimum 1024×768 screen resolution
File muat turun Windows 8 Consumer Preview ini agak besar, jadi sila pastikan anda menggunakan internet yang laju untuk mengelakkan sebarang masalah semasa proses download berjalan. Lebih baik untuk menggunakan Broadband (jika ada) berbanding menggunakan wifi.

Klik Sini Untuk Download Windows 8

Tuesday, June 5, 2012

PERMOHONAN PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG)

Permohanan Prgogram Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Ke-2 Tahun 2012 (2/12) telah dibuka bermula 4 Jun 2012 hingga 30 Jun 2012. Permohonan ini dibuka kepada guru lepasan diploma perguruan atau sijil perguruan sahaja. Kepada guru-guru yang berminat sila layari laman sesawang berikut :
http://www.moe.gov.my/ atau http://apps.moe.gov.my/kdp/ppg92012/permohonan/

Monday, May 28, 2012

21 TEKNIK MOTIVASI DIRI

Mengikut penceramah motivasi dan fasilitator profesional, Taidin Suhaimin, ada 21 cara berkesan untuk meningkatkan motivasi  atau memotivasikan diri tatkala lemah, tidak berdaya atau putus asa melanda diri iaitu :
  1. Baca buku motivasi terutama biografi orang-orang yang berjaya.
  2. Tulis artikel motivasi.
  3. Dirikan sembahyang khusus untuk mendapat taufik, keampunan dan petunjuk daripada Allah.
  4. Berdoa dan memohon kekuatan dan hidayah daripada Allah.
  5. Cipta satu ritual misalnya 'jika orang lain boleh, saya pun boleh'.
  6. Dengar lagu yang dapat memberi semangat dan inspirasi.
  7. Bermain muzik kegemaran sekiranya pandai bermain alat muzik.
  8. Tatap gambar yang dapat memberi inspirasi dan semangat baru.
  9. Meditasi.
  10. Tidur sehingga anda benar-benar sihat dan mendapat semula tenaga kerana kurang tidur boleh menyebabkan kelesuan dan kebosanan.
  11. Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu supaya badan dan minda sentiasa sihat, cergas dan cerdas.
  12. Bertekad untuk menyiapkan semua kerja tertunggak atau menyelesaikan masalah dihadapi dengan sungguh kesungguhan hingga selesai.
  13. Buat atau kaji semula perancangan kerja atau hidup anda.
  14. Susun ataur pejabat, rumah, kelas, fail dan sebagainya.
  15. Jumpa kaunselor untuk mendapat khidmat nasihat.
  16. Jumpa kawan-kawan yang positif untuk mendapat pandangan atau nasihat.
  17. Keluar makan dengan keluarga atau denga kawan-kawan rapat.
  18. Pergi beriadah, bersiar-siar bersama ahli keluarga.
  19. Ikuti seminar motivasi.
  20. Adakan kenduri doa selamat.
  21. Pergi melancong di dalam atau ke luar negara.
Semoga dengan teknik-teknik di atas dapat menbantu sesiapa yang dalam keadaan stress. Sumber ini dipetik daripada Harian Metro (Isnin, 28 Mei 2012 ; Variasi : Bestari . M/S V17)

Tuesday, May 22, 2012

PC EXPO 2012

PC Expo 2012 akan diadakan dari 25 hingga 27 Mei 2012. Expo ini akan diadakan di Mid Valley Exhibition Centre. Antara perkara yang menarik semasa expo adalah seperti pendrive 8GB berharga RM8, pencetak semua dalam satu berharga RM88, external hardisk 500GB berharga RM149 dan banyak lagi. Datanglah beramai-ramai ke expo tersebut. Jumpa anda di sana. Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang berikut http://www.pcexpo.com.my

Sunday, May 20, 2012

HI-TEA HARI GURU 2012

Sempena Hari Guru 2012, Kelab Staf SKS2BK telah mengadakan hi-tea di Hotel Marriot, Putrajaya.  Tempat jamuan tersebut diadakan ialah di Zest Restaurant. Pelbagai jenis makanan yang disediakan daripada makan yang berat sehingga makanan pencuci mulut.

Kebanyakan daripada guru-guru SKS2BK telah hadir dalam jamuan tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti cabutan bertuah, memotong kek, permainan dan jamuan makan. Pada kali ini, aku bertuah kerana memperoleh sebuah hamper. Alhamdulillah bersyukur kepada Ilahi. Semoga dimurahkan rezeki buat aku dan keluargaku kelak. Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia amnya, SKS2BK khususnya.

Wednesday, May 16, 2012

24,053 GURU NAIK PANGKAT

KUALA KANGSAR, 16 Mei - Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang Utusan Malaysia

Tuesday, May 15, 2012

HARI GURU SKS2BK TAHUN 2012

SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru 2012 di Dataran Cemerlang. Majlis telah dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan negeri Selangor. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustaz Muhammad Suhaib.
Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil murid, YDP PIBG dan guru besar. Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Kemudian perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) telah disampaikan oleh GPK Kurikulum sebagai merasmikan majlis sambutan pada tahun ini.
Selesai sahaja bacaan perutusan daripada KPPM, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderamata oleh YDP PIBG, En. Mohd. Nazaruddin bin Mohd Yusuff kepada semua guru SKS2BK. Terima kasih diucapkan kepada YDP PIBG kerana bermurah hati menyumbangkan hadiah tersebut.
Akhir sekali, majlis diakhiri dengan nyanyian lagu "Guru Malaysia" yang disampaikan oleh semua guru SKS2BK. Selamat Hari Guru kepada semua guru SKS2BK.