Saturday, October 16, 2010

Wallpaper Untuk W7 Starter

Netbook ialah sebuah komputer riba yang kecil. Ukurannya adalah di antara 8" hingga 13". Sistem operasi yang sesuai digunakan adalah Windows 7 Starter. Kelemahannya adalah ia tidak dapat menukar wallpaper yang sedia ada kepada yang kita minati. Setelah membuat beberapa pencarian di internet saya telah bertemu dengan satu perisian yang boleh menukarkan wallpaper untuk W7. Perisian yang diberi nama Oceanis Change Background Windows 7 boleh menukarkan gambar wallpaper netbook kepada yang lebih menarik. Selamat mencuba.

Friday, October 15, 2010

Bajet 2011

Petang tadi seluruh rakyat Malaysia telah diwar-warkan tentang pengumuman Perdana Menteri Malaysia yang keenam, YAB Datuk Seri Najib tentang Bajet 2011. Antara yang menarik tentang bajet kali ini adalah yang berkaitan dengan kakitangan awam seperti cuti bersalin dilanjutkan dari 2 bulan ke 3 bulan, kakitangan awam diberi bonus tambahan untuk membeli peralatan sekolah anak pada tahun hadapan dan peperiksaan PTK dimansuhkan lalu diganti dengan ujian yang setara dengannya.

Diharapkan semua kakitangan awam berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk memberikan kemudahan serta kebaikan kepada semua pihak tidak kira warna kulit atau arena politik. Sama-samalah kita berusaha dengan lebih gigih untuk menjadikan negara kita maju dan dikenali dunia. Amin.

Friday, August 27, 2010

BERKASIHLAH KEPADA YANG DIKASIHI

Indah sungguh kisah Nur Kasih, kasih isteri kepada sang suami, kasih aku hanya untuk isteri, anak-anak dan ibu tercinta, kupanjatkan doa kepada Ilahi agar roh bapaku aman bersemadi, bertemu dengan Ilahi dengan wajah yang berseri. Rinduku padamu abah akan ku simpan bila bertemu nanti. Insyaallah.

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT MENYAMBUT BULAN AL-MUBARAK

Bulan Ramadhan ialah bulan keberkatan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyemarakkan dengan ibadat. Dapatkan ganjaran yang berlipat kali ganda pada bulan yang penuh dengan kenikmatan ini. Selamat menyambut bulan puasa kepada semua warga SKSM, SK2BK, teman-teman, sahabat handai, murid-murid, serta sesiapa sahaja yang mengenali diri, isteri dan anak-anakku ini.

Wednesday, July 21, 2010

Sistem Smart School Qualification Standards (SSQS)

Aplikasi ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan pembudayaan dan penggunaan ICT di sekolah. Bermula penggunaan secara manual di 88 buah sekolah bestari kini aplikasi ini yang telah dibina berasaskan web akan diperluaskan bagi membuat penarafan di semua sekolah seluruh Malaysia.

Sila ambil maklum, penarafan aplikasi SSQS Online akan berlangsung dari 19 Julai Jam 10.00 pagi hingga 30 Ogos 2010 Jam 4.00 petang. Sila muat turun manualnya di sini.

Monday, July 12, 2010

PTK SESI OKTOBER 2010

Adalah dimaklumkan bahawa pendaftaran bagi peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan untuk sesi Oktober 2010 akan dibuka mulai 22hb Julai 2010 sehingga 05hb Ogos 2010. Kepada yang ingin mendaftar, sila mendaftar melalui guru data sekolah masing-masing. Pendaftaran hendaklah sampai ke Unit Penilaian Kompetensi selewat-lewatnya pada 05hb Ogos 2010 jam 5.00 petang. Untuk mklumat lanjut, sila layari Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my/

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU 2010

Tanggal 16hb. Mei 2010, Bandaraya Kuantan telah digegarkan dengan kehadiran Festival Hari Guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini. Pada tahun ini, tema sambutan Hari Guru adalah "Guru Pembina Negara Bangsa". Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berita baik kepada semua pengetua, guru besar dan guru-guru. Bermula tahun depan, mereka layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Berusahalah dengan lebih gigih untuk anak nusa dan bangsa Malaysia yang tercinta agar terpelajar semuanya.

SELAMAT HARI GURU

Sumber daripada Utusan Online (17/5/10)

Thursday, April 15, 2010

SUKAN TAHUNAN KE-9

Pada hari ini, 15hb. April 2010 (Khamis), Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara telah selamat menjalankan aktiviti sukan tahunan kali yang ke-9. Acara yang telah dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan acara perbarisan lintas hormat oleh para kontinjen. Kemudian, diikuti oleh ucapan perasmian oleh YDP PIBG, iaitu En. Hamlay. Seterusnya acara sukan dimulakan. Acara pembukaan adalah acara sukaneka tahap 1 seperti baca bola ping pong dalam sudu, lari dalam guni, kaki gajah, dan terompah gergasi. Manakala acara yang dijalankan bagi murid tahap 2 adalah seperti terompah gergasi, lari dalam guni, bawa bola guna gelung rotan, dan bawa bola dengan kayu hoki. Temasya pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Biru, diikuti Rumah Kuning, Rumah Hijau dan Rumah Merah. Tahniah buat mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan pada sukan tahunan pada tahun ini.

Friday, April 2, 2010

e-GTukar Sesi (1) 2010

Bermula 1 April 2010, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuka pendaftaran untuk guru-guru yang ingin bertukar tempat perkhidmatan terutamanya pertukaran antara negeri. Kepada sesiapa yang berminat sila klik di sini. Sebagai permulaan anda diminta untuk membuat pendaftaran terlebih dahulu. Setelah itu, barulah anda dibenarkan untuk Log Masuk dan mengisi borang pertukaran yang disediakan secara online.

CIRI BARU EMIS ONLINE

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Bahagian EPRD telah melancarkan ciri baru pada Portal Emis online. Ciri tersebut adalah Log In Guru dan Staf. Oleh itu, kepada semua guru atau kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), anda bolehlah mengakses portal tersebut untuk melihat data masing-masing. Tujuan ciri ini diwujudkan adalah untuk memudahkan guru-guru dan kakitangan boleh menyemak maklumat perkhidmatan masing-masing serta dapat mengemaskini maklumat tersebut. Maklumat yang boleh dikemaskini adalah pada bahagian Mata Pelajaran Ajar dan Sejarah Perkhidmatan sahaja. Pada bahagian lain, sila maklumkan kepada guru data sekolah masing-masing. Sekian, harap maklum. Untuk Log In sila klik di sini.

Tuesday, March 30, 2010

Kursus Aplikasi Linux

Pada hari ini bermulalah sudah kursus aplikasi Linux untuk pengajaran dan pembelajaran khususnya ICTL. Kursus ini diadakan di PKG Puchong yang terletak di SK Puchong Batu 14. Ia telah dikendalikan oleh fasilitator yang berkaliber iaitu En. Hanif daripada PKG Puchong. Mengikut maklumat yang saya terima, ini adalah kursus yang terakhir beliau sebagai Penolong Pegawai Penyelaras PKG Puchong. Ini disebabkan oleh beliau akan bertugas di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Selangor yang terletak di Shah Alam bermula pada 1 April 2010. Kursus yang berjalan pada 30, 31 Mac dan 1 April 2010 ini dihadiri oleh 32 orang guru dari daerah Petaling. selamat berkursus kepada semua guru yang terlibat. Selamat maju jaya.

Monday, March 22, 2010

Tugasan Telah Dihantar

Leganya rasa apabila tugasan OUM telah selamat dihantar. Yang tinggal cuma peperiksaan sahaja. Peperiksaan akhir semester dijangka pada awal bulan April nanti. Sempat la nak buat ulangkaji. Harap-harap dapat aku tingkat CGPA pada semester ini. Semester lepas gred aku turut agak teruk juga. Jumpa di puncak kejayaan yea.

Wednesday, March 17, 2010

Sambutan Hari Lahirku Yang Ke-32


Semalam genaplah usiaku 32 tahun. Ini menandakan usiaku sudah bertambah. Semalam aku telah menyambutnya di rumah emakku di Pantai Permai. Aku telah membeli sebiji kek untuk dinikmati bersama-sama keluargaku. Pada mulanya aku ingin menyambutnya bersama keluarga Mira (adik kedua ku)kebetulan dia dan keluarganya pulang ke rumah emakku. Malangnya, oleh kerana mereka pulang ke rumah lewat maka aku terpaksalah menyambutnya dikalangan keluarga aku sahaja. Walau bagaimanapun mereka pulang juga selepas aku dan keluargaku selesai memotong kek. Tidak mengapalah, tahun depan kita cuba lagi.