Sunday, June 22, 2014

TEMASYA SUKAN TAHUNAN SKPP 2014

Temasya Sukan Tahunan SK Puchong Perdana (SKPP) 2014 telah berlangsung dengan jayanya. Walaupun acara permulaannya agak lewat tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Temasya Sukan Tahunan SKPP pada tahun ini telah dirasmikan oleh En. Ismail bin Awang (YDP PIBG SKPP).

Tahniah kepada atlet-atlet yang berjaya dan bagi yang kurang bernasib baik, jangan mudah berputus asa. Berusahalah dengan lebih gigih lagi agar potensi diri anda akan terserlah di kemudian hari. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya kelak.

Ribuan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semua kakitangan pagi dan petang telah bertungkus-lumus menjayakan setiap acara yang telah dirancang. Mereka tidak mengenal penat dan lelah semata-mata untuk memastikan kejayaan acara yang dipertandingkan. Terima kasih juga kepada para penyumbang yang dermawan menyumbangkan hadiah-hadiah yang sungguh menarik.

Harapan saya agar sukan sekolah akan bertambah maju dengan lahirnya atlet-atlet yang berbakat. Mereka perlu digarap agar bakat mereka dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

Sunday, June 15, 2014

HARI PERTAMAKU SEBAGAI GURU PENOLONG KANAN KOKURIKULUM

SK Puchong Perdana merupakan sekolah ketigaku sepanjang perkhidmatanku sebagai seorang pendidik. Sekolah pertamaku adalah di SK Seri Mega, Kuala Lumpur dari 16 Ogos 1999 sehingga 31 Disember 2008. Sekolah keduaku pula adalah di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara, Puchong dari 1 Januari 2009 sehingga 30 April 2014. 

Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred A yang terletak di tengah-tengah Taman Puchong Perdana. Seramai 2300 lebih murid dengan dua sesi persekolahan. Dua kali ganda daripada SKS2BK. Walaupun sekolah ini mempunyai bilangan murid yang ramai, namun suasana sekolah yang agak tenang memberikan motivasi bagi aku untuk mencurahkan bakti di sekolah baharu ini.

Pagi ini semasa perhimpunan pertamaku di sekolah ini, aku telah diberi peluang untuk memberikan ucapan pertamaku di hadapan semua warga sekolah. Perasaan gementar memang terrserlah semasa ucapan pertamaku. Mungkin perasaan gemuruhku menguasai diri yang tidak dapat aku kawal. Walau bagaimanapun, aku telah bulatkan tekad untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.

Thursday, May 29, 2014

NAIK PANGKAT

Pada 1 Mei 2014, dengan secara rasminya aku telah dinaikkan pangkat ke jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum. Aku ditempatkan di sekolah baharu iaitu di Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana. Di sini akau diberi sebuah bilik baharu sebagai GPK Koku. Alhamdulillah rezeki dari Allah Yang Maha Besar buat anak yang bakal lahir pada tahun ini, insyaallah. Doa daripada semua kaum keluarga, sahabat handai dan rakan taulan dipohon sebagai dorongan untuk memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya.

Buat sekolah lama, Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara yang telah ku tinggalkan. Terima kasih kepada para pentadbir, guru-guru, ibu bapa atau penjaga dan murid-murid yang dikasihani. Aku tinggalkan seribu satu kenangan buat anda semua. Biarlah kenangan yang indah dikenang dan yang dilupakan. Terimalah seadanya guru yang bakal menggantikan saya nanti. Berilah kerjasama sepenuhnya kepada dia seperti mana anda berikan kepada saya semasa berada di sana. 

Aku akan teruskan usaha di tempat baharu dengan semangat baharu untuk memajukan sekolah dan diri sendiri. En. Zulhaizan iaitu YDP PIBG SKS2BK pernah berpesan kepadaku agar berani mencabar diri agar kita lebih cemerlang dan matang. Aku pegang kata-kata itu sebagai azimat buat aku di masa hadapan. Terima kasih kepada semua. Sampai jumpa lagi.

Saturday, March 29, 2014

PENAMBAHBAIKAN PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Perkara-perkara Utama :
  1. Semua data yang perlu dimasukkan melalui E-sistem dihentikan.
  2. Tidak perlu fail murid individu lagi. (Hentikan)
  3. Eviden dikurangkan berdasarkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. (Buku panduan akan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia). Semua eviden akan dikurangkan dan diringkaskan.
  4. Guru boleh menyediakan eviden bila-bila masa dan di mana sahaja contoh simpan dalam komputer atau dalam fail sendiri.
  5. Ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun diteruskan seperti dulu.
  6. Tidak perlu disediakan senarai eviden seperti sekarang. Guru boleh mentaksir murid mengikut kreativiti sendiri.
Sekian, harap maklum
Pn Lok Yim Pheng
Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date: 
20/03/2014 
Dipetik daripada laman sesawang KPPK/NUTP

Friday, March 28, 2014

PERMOHONAN PERTUKARAN GURU SESI JUN 2014

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi pertukaran sesi Jun 2014 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based), DG38 (KUP Time-based), DG41, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based) dibuka mulai 01 hingga 30 April 2014. Sila klik pautan di bawah untuk memohon.

Wednesday, March 26, 2014

URUSAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) GRED DG29, DG32, DG34 DAN DG38 YANG MEMPEROLEH IJAZAH SEMASA DALAM PERKHIDMATAN KE GRED DG42 DI KPM

URUSAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) GRED DG29, DG32, DG34 DAN DG38 YANG MEMPEROLEHI IJAZAH SEMASA DALAM PERKHIDMATAN KE GRED DG42 DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk
Sukacita dimaklumkan bahawa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan urusan kenaikan pangkat PPP Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke Gred DG42. Mana-mana pegawai yang berminat hendaklah tersebut hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap melalui Ketua Jabatan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) di KPM bagi tujuan kenaikan pangkat tersebut.

Perlu diingatkan bahawa kenaikan pangkat oleh LKPPP ke Gred DG41 dan urusan lantikan ke DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) adalah dua urusan yang berlainan. Mana-mana pegawai yangberminat bagi memohon bagi urusan kenaikan pangkat ke Gred DG42 tetapi pernah memohon ke SPP bagi urusan lantikan ke Gred DG41 perlu mengemukakan permohonan yang berasingan.
Sebarang permohonan perlu dikemukakan menerusi JPN / Bahagian masing-masing. Sebarang permohonan yang tidak dibuat menerusi JPN / Bahagian tidak akan diproses.
Keterangan lanjut sila rujuk pada lampiran Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42
Sekian.
Muat turun Borang :
  1. Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42
  2. Lampiran A
  3. Lampiran B
  4. Lampiran C
  5. Lampiran D
  6. Lampiran E
  7. Lampiran F

Monday, March 24, 2014

KELAS FARDU AIN SEMPENA CURI SEKOLAH

Cuti sekolah penggal pertama telah bermula dari 22/3/2014 sehingga 30/4/2014. Sempena dengan cuti sekolah Sekolah Agama KAFA Taman Seroja telah menganjurkan Kelas Fardu Ain kepada kanak-kanak sekolah rendah. Justeru itu, aku mengambil peluang ini untuk menambahkan ilmu fardu ain kepada anak-anak ku agar lebih mendalam ilmunya dalam bidang agama. Kelas tersebut bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Pada hari Isnin yang lalu, aku telah mendaftarkan Aisyah dan Amirul ke kelas tersebut. Semasa pendaftaran aku dapati ramai juga kanak-kanak yang datang mendaftar. Ini menunjukkan bahawa kelas fardu ain yang dianjurkan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.

Maklumat tentang kelas fardu ain ini aku peroleh daripada anak-anak ku yang bersekolah di sekolah agama KAFA. Berkebetulan salah seorang ustaz di sekolah tersebut adalah bilal di sebuah masjid. Beliau yang telah mencadangkan kelas fardu ain tersebut dibuka kepada murid-murid sekolah agama tersebut. Bayaran yang dikenakan adalah RM15 bagi seorang kanak-kanak. Bayaran merangkumi pendaftaran, bahan-bahan dan jamuan kepada mereka. Memang berbaloi-baloi...

Saturday, February 22, 2014

KLINIK BOLA SEPAK 2014


Klinik Bola Sepak 2014 telah diadakan di Pusat Komuniti Seksyen 1 Bandar Kinrara. Klinik tersebut telah dijalankan pada 23 Februari 2013 (Ahad). Seramai lebih kurang 50 orang murid yang berusia di antara 5 hingga 7 tahun telah dipilih daripada sekolah-sekolah rendah di sekitar Bandar Kinrara. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SK Seksyen 1 Bandar Kinrara, SK Seksyen 2 Bandar Kinrara dan SJK(T) Ladang Kinrara. 

Amirul Fahmi, anak lelakiku telah turut sama menjayakan klinik tersebut. Dengan penyertaannya, kanak-kanak yang hadir telah diberikan sepasang kasut bola sepak sebagai penghargaan kerana sudi hadir bagi menjayakan klinik tersebut.

Saturday, February 1, 2014

GARIS PANDUAN PEMAKAIAN BAJU KORPORAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)

Garis Panduan Pemakaian Baju Korporat ini adalah bagi penyeragaman pemakaian baju korporat dalam kalangan pegawai/kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Penyeragaman ini adalah bagi menetapkan identiti pegawai/kakitangan dan imej KPM. Rekabentuk dan warna pakaian korporat adalah seperti berikut : -


Pembekalan baju korporat tidak boleh menggunakan peruntukan Jabatan/Bahagian dan hendaklah dibiayai sendiri oleh pegawai/kakitangan. Perkara ini adalah selaras dengan Surat Pekeliling Kewangan Bil. 8 Tahun 2008 di para 25 yang menyatakan bahawa "Pembekalan baju korporat Jabatan/Bahagian yang menggunakan peruntukan Kerajaan juga dihentikan serta merta."

Selain daripada itu, pemakaian baju korporat oleh pegawai/kakitangan KPM hanya dibenarkan apabila melaksanakan tugas rasmi di lapangan/luar sahaja. Bagi pegawai/kakitangan lelaki, baju korporat hanya boleh dipakai bersama-sama seluar panjang (slack)/khakis dengan keutamaan warna gelap. Bagi pegawai/kakitangan wanita, baju korporat hanya boleh dipakai bersama skirt labuh berbentuk "A" (A-line skirt) paras tumit atau seluar panjang polos berwarna hitam dan tudung berwarna hitam/dark blue/royal blue. 

Pakaian semasa bertugas di pejabat dan menghadiri upacara-upacara rasmi yang lain adalah tertakluk kepada Pekeliling dan peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa seperti berikut : -
  1. Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 (Pakaian Masa Bekerja dan Semasa Menghadiri Upacara-upacara Rasmi bagi Pegawai-pegawai Awam);
  2. Perkara 6 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;
  3. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2006 (Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi);
  4. Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam JPA(S) TT.193/37/Jld.4 bertarikh 15 Mac 2005 (Galakan Memakai Baju Kebangsaan Pada Hari Jumaat); dan
  5. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2008 (Pemakaian Baju Batik Malaysia oleh Pegawai Awam Pada Hari Khamis).
Pegawai/kakitangan yang dibekalkan dengan pakaian seragam/uniform hendaklah memakainya ketika bertugas pada setiap masa melainkan diarah dari masa ke semasa oleh Ketua Jabatan. Sehubungan dengan itu, Ketua Jabatan/Bahagian adalah diminta untuk memastikan Garis Panduan ini dipatuhi oleh semua dan memantau pelaksanaan pemakaian baju korporat oleh semua pegawai/kakitangan di bawah seliaan masing-masing demi meningkatkan imej korporat KPM. 

Garis Panduan Pemakaian Baju Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia boleh dimuatturun pada pautan di bawah :

Thursday, January 30, 2014

SELAMAT TAHUN BAHARU CINA 2014


Tahun Baharu Cina pada tahun 2014 telah jatuh pada 31 Januari dan 1 Februari 2014. Walaupun begitu, sekolah akan mula bercuti pada 30 Januari 2014 (Khamis). Cuti peristiwa yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada warga sekolah untuk pulang ke kampung masing-masing dalam keadaan selamat dan selesa. Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu-lintas sempena perayaan tersebut.

Justeru itu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan semua warga sekolah yang berbangsa Tiong Hua. Semoga pada tahun ini memberi lebih keuntungan dan kebahagiaan kepada anda semua. Berhati-hati ketika membawa kenderaan dan sentiasa memastikan keadaan kenderaan anda berada di dalam keadaan yang selamat. Saya mendoakan agar anda selamat pergi dan selamat juga apabila kembali dari bercuti. Sekolah akan dibuka semula pada 2 Februari 2014 (Isnin).

Monday, December 23, 2013

SELAMAT HARI NATAL 2013


Merry Christmas!!!Merry Christmas!!!Merry Christmas!!!

Selamat menyambut Hari Natal bagi tahun 2013 kepada semua penduduk Malaysia khususnya yang beragama Kristian. Saya mengucapkan selamat bergembira di samping keluarga tercinta bersama hadiah-hadiah yang banyak dan menarik. Semoga pada tahun ini memberikan tuah kepada anda sekeluarga.