Wednesday, August 6, 2014

PC FAIR (III) 2014

Perusahaan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) telah kembali buat kali yang ketiga dengan produk-produk ICT yang terbaharu dengan harga yang berpatutan. Jadi, janganlah lepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat-tempat seperti yang disenaraikan di bawah ini.

Tarikh
Tempat
8-10 Ogos 2014
Digital Lifestyle Expo (DLE) 2014, KLCC
26-28 September 2014
Kuantan, Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah
Johor Baru, Persada Johor
28-30 November 2014
Pulau Pinang, PISA
12-14 Disember 2014
Melaka, MITC
19-21 Disember 2014
Kuala Lumpur, KLCC

Sumber : PIKOM

URUSAN PEMANGKUAN PENGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) UNTUK MENGISI JAWATAN PENGETUA DAN GURU BESAR BAGI JANUARI-DISEMBER TAHUN 2015 DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan penyiaran urusan pemangkuan Pengetua dan Guru Besar bagi pengisian bulan Januari sehingga Disember 2015 yang telah dibuka dari 23 Julai 2014 (Rabu) sehingga 6 September 2014 (Sabtu).

Muatturun surat siaran dengan klik di sini.

Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Thursday, July 17, 2014

PESAWAT MALAYSIA TERHEMPAS

SEPANG, 18 Julai 2014 - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengesahkan bahawa pesawat yang terhempas di Ukraine adalah pesawat penumpang Malaysia (MAS). Pesawat tersebut adalah dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Seramai 298 orang dikuatiri telah terkorban. Mereka terdiri daripada 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal yang berada di dalam pesawat tersebut. Menurut berita yang dikeluarkan oleh media Rusia, Interfax melaporkan bahawa pesawat tersebut dikuatiri ditembak jatuh. Sebelum itu, Malaysia Airlines telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 di ruang udara Ukraine.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dalam akhbar-akhbar tempatan.

Tuesday, July 15, 2014

BONUS HARI RAYA 2014

Alhamdulillah pada 15 Julai 2014 (Selasa) seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia, semua kakitangan kerajaan telah menerima bonus hari raya bagi tahun ini iaitu sebanyak RM500 seorang. Bonus ini juga dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan sebagai mengenang jasa mereka. Mereka diberi RM250 seorang. 

Memandangkan tarikh kemasukan bonus jatuh pada cuti umum bersempena dengan Nuzul Al-Quran, maka aku mengambil kesempatan ini untuk membeli-belah bersama keluarga di Alamanda, Putrajaya untuk membeli pakaian bagi menyambut hari lebaran yang akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. 

Syukur kepada Allah kerana dimurahkan rezeki pada bulan yang barakah ini. Semoga dengan bonus tersebut dapatlah meringankan beban yang ditanggung oleh golongan bawahan dan pertengahan untuk menyambut hari raya dengan rasa yang gembira.

Monday, July 7, 2014

LAMAN BLOG KRS DAN TKRS SELANGOR DILANCAR


Laman blog KRS dan TKRS bagi negeri Selangor telah dilancarkan dengan rasminya pada 23 Mei 2014 yang lalu. Banyak maklumat tentang latar belakang, rasional, objektif dan matlamat, tujuan, sejarah penubuhan, logo, bendera dan lagu pasukan beruniform ini. 

Selain daripada itu, banyak borang yang boleh dimuatturun seperti borang pendaftaran, borang kawad kaki, borang naik pangkat dan bahan tambahan yang boleh digunakan untuk mengajar pada pelajar di sekolah. Silalah layari laman sesawang berikut untuk maklumat lanjut.

Thursday, June 26, 2014

PC EXPO 2014

PC Expo 2014 akan kembali dengan tawaran-tawaran yang menarik. Marilah kita ke sana untuk mendapat gajet-gajet pada harga yang menarik. Berikut adalah maklumat tentang expo tersebut.

Tarikh : 4 - 6 Julai 2014
Tempat : Mid Valley, Kuala Lumpur

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sosial berikut : -

Sunday, June 22, 2014

TEMASYA SUKAN TAHUNAN SKPP 2014

Temasya Sukan Tahunan SK Puchong Perdana (SKPP) 2014 telah berlangsung dengan jayanya. Walaupun acara permulaannya agak lewat tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Temasya Sukan Tahunan SKPP pada tahun ini telah dirasmikan oleh En. Ismail bin Awang (YDP PIBG SKPP).

Tahniah kepada atlet-atlet yang berjaya dan bagi yang kurang bernasib baik, jangan mudah berputus asa. Berusahalah dengan lebih gigih lagi agar potensi diri anda akan terserlah di kemudian hari. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya kelak.

Ribuan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semua kakitangan pagi dan petang telah bertungkus-lumus menjayakan setiap acara yang telah dirancang. Mereka tidak mengenal penat dan lelah semata-mata untuk memastikan kejayaan acara yang dipertandingkan. Terima kasih juga kepada para penyumbang yang dermawan menyumbangkan hadiah-hadiah yang sungguh menarik.

Harapan saya agar sukan sekolah akan bertambah maju dengan lahirnya atlet-atlet yang berbakat. Mereka perlu digarap agar bakat mereka dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

Sunday, June 15, 2014

HARI PERTAMAKU SEBAGAI GURU PENOLONG KANAN KOKURIKULUM

SK Puchong Perdana merupakan sekolah ketigaku sepanjang perkhidmatanku sebagai seorang pendidik. Sekolah pertamaku adalah di SK Seri Mega, Kuala Lumpur dari 16 Ogos 1999 sehingga 31 Disember 2008. Sekolah keduaku pula adalah di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara, Puchong dari 1 Januari 2009 sehingga 30 April 2014. 

Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred A yang terletak di tengah-tengah Taman Puchong Perdana. Seramai 2300 lebih murid dengan dua sesi persekolahan. Dua kali ganda daripada SKS2BK. Walaupun sekolah ini mempunyai bilangan murid yang ramai, namun suasana sekolah yang agak tenang memberikan motivasi bagi aku untuk mencurahkan bakti di sekolah baharu ini.

Pagi ini semasa perhimpunan pertamaku di sekolah ini, aku telah diberi peluang untuk memberikan ucapan pertamaku di hadapan semua warga sekolah. Perasaan gementar memang terrserlah semasa ucapan pertamaku. Mungkin perasaan gemuruhku menguasai diri yang tidak dapat aku kawal. Walau bagaimanapun, aku telah bulatkan tekad untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.