Monday, May 4, 2015

PERTANDINGAN TARIAN SEKOLAH RENDAH DAERAH PETALING PERDANA TAHUN 2015

Pada 30 April 2015 (Khamis) SK Puchong Perdana telah menghantar sekumpulan pelajar bagi mewakili sekolah ke Pertandingan Tarian Sekolah rendah Daerah Petaling Perdana Tahun 2015. Pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan Resital Panca Sakti, Universiti Teknologi MARA di Shah Alam.
Sebanyak 15 buah sekolah yang telah terlibat dalam pertandingan ini. Di bawah bimbingan En. Mahindran a/l Rajagopal iaitu guru bimbingan dan kaunseling sekolah, SKPP telah berjaya mendapat tempat ketiga. Tempat pertama telah dimenangi oleh SK Bukit Jelutong manakala tempat kedua telah dimenangi oleh SK Seksyen 6. Syukur kepada Tuhan kerana sekolah kita telah terpilih untuk memenangi acara ini kerana sekolah-sekolah yang masuk bertanding hebat-hebat belaka.
Kejayaan ini dikongsi bersama dengan PIBG SKPP kerana mereka telah memberikan sumbangan yang banyak untuk menjayakan latihan tarian dari segi kewangan. Dengan sumber kewangan yang diberi telah digunakan untuk membeli kain untuk menempah pakaian peserta. Selain daripada itu, sumber kewangan ini juga digunakan sebagai saguhati kepada jurulatih luar yang telah melatih murid kita sehingga berjaya.
Tahniah kepada murid, guru, ibu bapa, pentadbir SKPP dan PIBG dalam memberikan kerjasama untuk menjayakan latihan kumpulan tarian sekolah.

Monday, April 27, 2015

PROGRAM PEMULIHAN 3M (ProTim) 2015

Program Pemulihan 3M (ProTim) bagi kemahiran mengira telah dilancarkan oleh Pn. Nor Azian bt. Ashar, Guru Besar SKPP di Dataran Perdana SKPP. Program yang dikelolakan oleh Panitia Matematik bertujuan untuk memastikan murid Tahun 4 menguasai kemahiran asas mengira.
Objektif ProTim ini pula adalah seperti berikut : -
  1. Mengenal nombor bulat hingga 10 000.
  2. Menguasai opreasi tambah dalam lingkungan 10 000.
  3. Menguasai operasi tolak dalam lingkungan 10 000.
  4. Menguasai fakta asas darab.
  5. Menguasai fakta asas bahagi.
Program ini akan diteruskan pada sepanjang tahun agar murid menguasai kemahiran asas dalam Matematik supaya mereka tidak ketinggalan dan dapat meneruskan pembelajaran di dalam arus perdana. 

Sunday, April 26, 2015

ENGLISH WEEK SKPP 2015

Minggu Bahasa Inggeris SKPP sedang berlangsung dari 27 April 2015 hingga 30 April 2015. Majlis perasmian Minggu Bahasa Inggeris 2015 telah dilancarkan pada hari ini 27 April 2015 dalam perhimpunan rasmi sekolah. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh En. Rangit Singh a/l Pritam Singh selaku GPK HEM SKPP menggantikan Guru Besar SKPP yang sedang bercuti. Tema Minggu Bahasa Inggeris 2015 adalah "Oh, My English!"
Sepanjang Minggu Bahasa Inggeris 2015 semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6 akan terlibat dengan aktiviti kuiz manakala beberapa aktiviti lain turut diselitkan dalam minggu ini. Antara aktiviti yang diselitkan adalah Break The Codes (Tahun 1), Work Puzzle (Tahun 2), Find The Hidden Objects (Tahun 3), Creative Invitation Card (Tahun 4), Scrap Book (Tahun 5) dan Crossword Puzzle (Tahun 6).

TEMASYA SUKAN TAHUNAN SK TAMAN SEROJA 2015

SK Taman Seroja telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan pada 26 April 2015 (Ahad) di padang sekolah. Anak-anak ku yang bersekolah di sana telah mengambil bahagian. Aisyah telah berjaya mendapat tempat kedua dalam acara lontar peluru dan larian pakaian beragam. 
 
Manakala Amirul telah memenangi tempat ketiga dan keempat dalam acara mengheret bola dengan gelung rotan lari dalam guni. 
 
Aina pula dalam acara bawa bola dalam sudu dan mengheret bola dengan gelung rotan. Dia telah memenangi tempat pertama dan kedua dalam acara tersebut. 
Tahniah kepada semua anak-anak ku yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam acara sukan yang dipertandingkan di sekolah.

Wednesday, April 22, 2015

KEM MEMBACA 1 MALAYSIA 2015

Kem Membaca 1 Malaysia merupakan salah satu program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Program Gerakan Tabiat Membaca bertujuam membina tabiat membaca dalam kalangan sekolah dan pembelajaran sepanjang hayat.

Program ini pertama kali telah dimulakan pada tahun 2009 sehingga kini. Semua sekolah diarahkan untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan program ini.

Objektif Program KM1M adalah : -
  1. Membina dan mengukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar.
  2. Memupuk sikap menghargai dan cintakan buku.
  3. Pembelajaran secara didik hibur di luar kelas melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan.
Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Pn. Fuziah binti Talip selaku Penolong Kanan Kurikulum SK Puchong Perdana. Beliau telah menandatangani buku bacaan sebagai simbolik agar semua warga SKPP membaca buku. Acara diteruskan dengan bacaan buku oleh semua warga SKPP selama 10 minit.


 

Tuesday, April 21, 2015

TAKLIMAT PENUBUHAN KELAB KITAR SEMULA/ALAM SEKITAR & PERTANDINGAN KITAR SEMULA SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2015 BAGI SEKOLAH-SEKOLAH DI NEGERI SELANGOR

Solid Waste Corporation (SWCorp) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan Taklimat Penubuhan Kelab Kitar Semula/Alam Sekitar & Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (PerKiSS) 2015 bagi Sekolah-Sekolah di Negeri Selangor. Taklimat tersebut telah diadakan di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam yang dikendalikan oleh SMK Bukit Jelutong.
Turut hadir adalah Datuk Ab Rahim bin Haji Mohd Nor selaku Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pengetua SMK Bukit Jelutong, Pengarah-pengarah SWCorp, Pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan Guru-guru Penolong Kanan Kokurikulum dari daerah Petaling Perdana, Petaling Utama dan Klang.

Taklimat ini diberikan sebagai pendedahan kepada warga pendidik khususnya di negeri Selangor bagi mewujudkan kesedaran untuk mengitar semula barangan terbuang. Tujuan kitar semula adalah untuk memelihara alam sekitar agar lebih sihat dan menjamin masa hadapan yang lebih baik.
Pertandingan Kitar Semula Peringkat Kebangsaan pula sudah bermula dari 1 Januari 2015 sehingga 31 Ogos 2015. Penyampaian hadiah disampaikan pada suatu majlis yang akan diadakan pada 11 November 2015 sempena Hari Kitar Semua Sedunia. 

Terdapat tiga utama yang dipertandingkan. Hadiah pertama wang tunai berjumlah RM3000, hadiah kedua wang tunai RM2000 dan hadiah ketiga wang tunai berjumlah RM1000. Selain daripada itu, terdapat tiga Anugerah Khas yang bernilai RM500 setiap satu. Anugerah Khas tersebut adalah pengumpulan barangan kitar semula terbanyak, komitmen di dalam aktiviti kitar semula dan rekacipta daripada barangan terpakai.

Sunday, April 19, 2015

KEJOHANAN BOLA BALING MSSD PETALING PERDANA 2015

Kejohanan Bola Baling MSSD Petaling Perdana telah diadakan bermula dari 21 hingga 27 April 2015. Kejohanan tersebut telah diadakan di SMK Seksyen 7, Shah Alam. SK Puchong Perdana telah menghantar sepasukan atlet bola jaring bagi menyertai kejohanan tersebut. Guru pembimbing yang mengiringi para atlet sekolah adalah Pn. Masmah dan Pn. Jahlelawati.
Dengan latihan yang bersungguh-sungguh dan berterusan, pasukan sekolah SKPP telah berjaya mendapat tempat kedua dan memenangi pingat perak. Tahniah diucapkan kepada semua guru dan pasukan bola jaring sekolah kerana telah berjaya mengharumkan nama SKPP di peringkat daerah Petaling Perdana. Segala jasa anda akan dikenang oleh warga SKPP.