Thursday, April 15, 2010

SUKAN TAHUNAN KE-9

Pada hari ini, 15hb. April 2010 (Khamis), Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara telah selamat menjalankan aktiviti sukan tahunan kali yang ke-9. Acara yang telah dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan acara perbarisan lintas hormat oleh para kontinjen. Kemudian, diikuti oleh ucapan perasmian oleh YDP PIBG, iaitu En. Hamlay. Seterusnya acara sukan dimulakan. Acara pembukaan adalah acara sukaneka tahap 1 seperti baca bola ping pong dalam sudu, lari dalam guni, kaki gajah, dan terompah gergasi. Manakala acara yang dijalankan bagi murid tahap 2 adalah seperti terompah gergasi, lari dalam guni, bawa bola guna gelung rotan, dan bawa bola dengan kayu hoki. Temasya pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Biru, diikuti Rumah Kuning, Rumah Hijau dan Rumah Merah. Tahniah buat mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan pada sukan tahunan pada tahun ini.

Friday, April 2, 2010

e-GTukar Sesi (1) 2010

Bermula 1 April 2010, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuka pendaftaran untuk guru-guru yang ingin bertukar tempat perkhidmatan terutamanya pertukaran antara negeri. Kepada sesiapa yang berminat sila klik di sini. Sebagai permulaan anda diminta untuk membuat pendaftaran terlebih dahulu. Setelah itu, barulah anda dibenarkan untuk Log Masuk dan mengisi borang pertukaran yang disediakan secara online.

CIRI BARU EMIS ONLINE

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Bahagian EPRD telah melancarkan ciri baru pada Portal Emis online. Ciri tersebut adalah Log In Guru dan Staf. Oleh itu, kepada semua guru atau kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), anda bolehlah mengakses portal tersebut untuk melihat data masing-masing. Tujuan ciri ini diwujudkan adalah untuk memudahkan guru-guru dan kakitangan boleh menyemak maklumat perkhidmatan masing-masing serta dapat mengemaskini maklumat tersebut. Maklumat yang boleh dikemaskini adalah pada bahagian Mata Pelajaran Ajar dan Sejarah Perkhidmatan sahaja. Pada bahagian lain, sila maklumkan kepada guru data sekolah masing-masing. Sekian, harap maklum. Untuk Log In sila klik di sini.

Tuesday, March 30, 2010

Kursus Aplikasi Linux

Pada hari ini bermulalah sudah kursus aplikasi Linux untuk pengajaran dan pembelajaran khususnya ICTL. Kursus ini diadakan di PKG Puchong yang terletak di SK Puchong Batu 14. Ia telah dikendalikan oleh fasilitator yang berkaliber iaitu En. Hanif daripada PKG Puchong. Mengikut maklumat yang saya terima, ini adalah kursus yang terakhir beliau sebagai Penolong Pegawai Penyelaras PKG Puchong. Ini disebabkan oleh beliau akan bertugas di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Selangor yang terletak di Shah Alam bermula pada 1 April 2010. Kursus yang berjalan pada 30, 31 Mac dan 1 April 2010 ini dihadiri oleh 32 orang guru dari daerah Petaling. selamat berkursus kepada semua guru yang terlibat. Selamat maju jaya.

Monday, March 22, 2010

Tugasan Telah Dihantar

Leganya rasa apabila tugasan OUM telah selamat dihantar. Yang tinggal cuma peperiksaan sahaja. Peperiksaan akhir semester dijangka pada awal bulan April nanti. Sempat la nak buat ulangkaji. Harap-harap dapat aku tingkat CGPA pada semester ini. Semester lepas gred aku turut agak teruk juga. Jumpa di puncak kejayaan yea.

Wednesday, March 17, 2010

Sambutan Hari Lahirku Yang Ke-32


Semalam genaplah usiaku 32 tahun. Ini menandakan usiaku sudah bertambah. Semalam aku telah menyambutnya di rumah emakku di Pantai Permai. Aku telah membeli sebiji kek untuk dinikmati bersama-sama keluargaku. Pada mulanya aku ingin menyambutnya bersama keluarga Mira (adik kedua ku)kebetulan dia dan keluarganya pulang ke rumah emakku. Malangnya, oleh kerana mereka pulang ke rumah lewat maka aku terpaksalah menyambutnya dikalangan keluarga aku sahaja. Walau bagaimanapun mereka pulang juga selepas aku dan keluargaku selesai memotong kek. Tidak mengapalah, tahun depan kita cuba lagi.

Saturday, March 13, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Sempena cuti sekolah ni ramai pulak yang mengadakan kenduri kawin. Tidak terkecuali juga dengan dua pupu aku ni. Walaupun jarang sekali bersua muka tapi aku masih ingat akan hubungan keluarga sebelah arwah ayahku. Majlis ini diadakan di dewan Pusat Komuniti Pantai Hillpark. Selamat pengantin baru buat Haslina Ibrahim di atas perkahwinan awak dengan jejaka pilihan hati. Semoga murah rezeki dan panjang usia serta dikurniakan zuriat yang soleh mahupun yang solehah.

Ramai juga yang pak cik dan mak cik aku yang datang. Ayahnya pengantin perempuan, pak cik Ibrahim, Pak cik Seman, Pak cik Ariffin, Kak Eton, Mak cik Mah, Pakcik Sahak, dan beberapa orang anak masing-masing. Hidangan yang dihidangkan pada majlis kenduri tersebut boleh tahan juga. Nasi minyak,rendang daging, dalcar, acar buah, ayam masak merah, buah tembikai serta air sirap. Yang paling istimewanya ialah daging kambing salai panggang. Sedap juga rasanya. Maklumlah ini kali pertama aku rasa daging salai ni. Terima kasih sekali lagi buat Pak cik Ibrahim sekeluarga kerana menjemput aku dan keluarga datang ke majlis kenduri tersebut.

CUTI SEKOLAH BERMULA LAGI

Bermula 13/3/2010 hingga 21/3/2010 semua sekolah di Selangor akan mula bercuti. Ini adalah berikutan cuti pertengahan penggal 1 sesi persekolahan 2010 telah bermula. Cuti yang selama 9 hari ini hendaklah dimanfaatkan oleh semua warga pendidikan di Selangor dengan aktiviti yang berfaedah. Pergilah bercuti. Rehatkan minda dari suasanan kota yang membingitkan ini. Selamat bercuti dari saya, Cikgu Fadzli Mansor.

Friday, March 5, 2010

PEMBATALAN PERTANDINGAN MERENTAS DESA

Pagi-pagi lagi saya sudah datang ke sekolah semata-mata untuk memberikan kerjasama dalam penganjuran Pertandingan Merentas Desa peringkat sekolah kami. Malangnya pada pagi ini cuaca yang mendung telah menurunkan hujan yang berterusan. Hujan mula turun dari rumahku di Sepang sehinggalah sampai ke SK Seksyen 2 Bandar Kinrara ini.

Ampun maaf dipinta kepada ibu, bapa dan penjaga yang telah bersusah payah menghantar anak-anak mereka ke sekolah pada pagi Sabtu ini untuk melihat anak mereka menyertai pertandingan ini. Malangnya, berlaku sebaliknya. Untuk pengetahuan semua, pertandingan ini akan ditunda pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Harap berhubung dengan pihak sekolah untuk maklumat lanjut.

ACARA MERENTAS DESA 2010

Pada hari Sabtu (6hb. Mac 2010), SK Seksyen 2 Bandar Kinrara akan mengadakan acara merentas desa. Semua murid tahap 2 iaitu murid-murid tahun 4, 5, dan 6 akan mengambil bahagian. Acara ini akan diadakan di sekitar kawasan sekolah. Acara ini dijadualkan berlangsung pada jam 7.30 pagi di tapak perhimpunan sekolah. Selamat berjaya kepada semua peserta acara merentas desa pada kali ini. Saya doakan agar semuanya berjalan lancar dan selamat.

SELAMAT BERTUGAS DI SEKOLAH BARU

Pada hari ini SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah kehilangan sebutir bintang yang bersinar. Bintang yang saya maksudkan adalah Pn. Siti Hanim Binti Sungit. Beliau merupakan GPK 1 (Tadbir & Kurikulum) sekolah tersebut. Beliau telah bertugas di sekolah ini semenjak sekolah ini dibuka pada tahun 2002. Banyak jasa yang beliau telah curahkan pada sekolah, guru-guru dan murid-muridnya.Beliau akan ditempatkan di SK Putra Perdana yang terletak di Bandar Putra Perdana, Sepang. Teruskan usaha Cikgu Siti Hanim di sekolah baru nanti.

Thursday, February 25, 2010

Pengenalan yang singkat.


Khamis, 25 Feb. 2010 - Genap 2 bulan guru-guru praktikum prasekolah telah berada di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara. Dua orang guru ini telah mengikuti praktikum yang telah ditetapkan oleh pihak Insitut Perguruan Guru Malaysia(IPGM) Kampus Bahasa Melayu Malaysia yang terletak di Pantai Dalam sejak awal tahun lagi. Selama mereka menjalani praktikum di sini, aku hanya sempat beberapa kali berbual dengan mereka. Itu pun hanya dua minggu sebelum mereka menamatkan praktikum mereka di sini. Nama mereka pun aku tak tahu. Dahsyat sungguh.

Walau bagaimanapun aku ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Jadikanlah pengalaman di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara ini sebagai asam garam pendidikan. Mungkin satu hari nanti ia berguna untuk diaplikasikan di sekolah nanti. Selamat melanjutkan pelajaran kembali.

Saturday, February 20, 2010

Lupa Jadual Kelas OUM

Hari ini, dengan penuh bersemangatnya aku telah pergi ke IPBA untuk mengikuti kelas seperti biasa. Malangnya, selepas sampai di tempat yang dituju aku dapati selurus kampus IPBA sunyi sepi. Rupa-rupanya aku tersalah melihat jadual. Hari ini tiada langsung kelas tersebut.

p/s - lain kali tengok jadual dulu sebelum pergi ke kelas.