Thursday, July 17, 2014

PESAWAT MALAYSIA TERHEMPAS

SEPANG, 18 Julai 2014 - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengesahkan bahawa pesawat yang terhempas di Ukraine adalah pesawat penumpang Malaysia (MAS). Pesawat tersebut adalah dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Seramai 298 orang dikuatiri telah terkorban. Mereka terdiri daripada 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal yang berada di dalam pesawat tersebut. Menurut berita yang dikeluarkan oleh media Rusia, Interfax melaporkan bahawa pesawat tersebut dikuatiri ditembak jatuh. Sebelum itu, Malaysia Airlines telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 di ruang udara Ukraine.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dalam akhbar-akhbar tempatan.

Tuesday, July 15, 2014

BONUS HARI RAYA 2014

Alhamdulillah pada 15 Julai 2014 (Selasa) seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia, semua kakitangan kerajaan telah menerima bonus hari raya bagi tahun ini iaitu sebanyak RM500 seorang. Bonus ini juga dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan sebagai mengenang jasa mereka. Mereka diberi RM250 seorang. 

Memandangkan tarikh kemasukan bonus jatuh pada cuti umum bersempena dengan Nuzul Al-Quran, maka aku mengambil kesempatan ini untuk membeli-belah bersama keluarga di Alamanda, Putrajaya untuk membeli pakaian bagi menyambut hari lebaran yang akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. 

Syukur kepada Allah kerana dimurahkan rezeki pada bulan yang barakah ini. Semoga dengan bonus tersebut dapatlah meringankan beban yang ditanggung oleh golongan bawahan dan pertengahan untuk menyambut hari raya dengan rasa yang gembira.

Monday, July 7, 2014

LAMAN BLOG KRS DAN TKRS SELANGOR DILANCAR


Laman blog KRS dan TKRS bagi negeri Selangor telah dilancarkan dengan rasminya pada 23 Mei 2014 yang lalu. Banyak maklumat tentang latar belakang, rasional, objektif dan matlamat, tujuan, sejarah penubuhan, logo, bendera dan lagu pasukan beruniform ini. 

Selain daripada itu, banyak borang yang boleh dimuatturun seperti borang pendaftaran, borang kawad kaki, borang naik pangkat dan bahan tambahan yang boleh digunakan untuk mengajar pada pelajar di sekolah. Silalah layari laman sesawang berikut untuk maklumat lanjut.

Thursday, June 26, 2014

PC EXPO 2014

PC Expo 2014 akan kembali dengan tawaran-tawaran yang menarik. Marilah kita ke sana untuk mendapat gajet-gajet pada harga yang menarik. Berikut adalah maklumat tentang expo tersebut.

Tarikh : 4 - 6 Julai 2014
Tempat : Mid Valley, Kuala Lumpur

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sosial berikut : -

Sunday, June 22, 2014

TEMASYA SUKAN TAHUNAN SKPP 2014

Temasya Sukan Tahunan SK Puchong Perdana (SKPP) 2014 telah berlangsung dengan jayanya. Walaupun acara permulaannya agak lewat tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Temasya Sukan Tahunan SKPP pada tahun ini telah dirasmikan oleh En. Ismail bin Awang (YDP PIBG SKPP).

Tahniah kepada atlet-atlet yang berjaya dan bagi yang kurang bernasib baik, jangan mudah berputus asa. Berusahalah dengan lebih gigih lagi agar potensi diri anda akan terserlah di kemudian hari. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya kelak.

Ribuan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semua kakitangan pagi dan petang telah bertungkus-lumus menjayakan setiap acara yang telah dirancang. Mereka tidak mengenal penat dan lelah semata-mata untuk memastikan kejayaan acara yang dipertandingkan. Terima kasih juga kepada para penyumbang yang dermawan menyumbangkan hadiah-hadiah yang sungguh menarik.

Harapan saya agar sukan sekolah akan bertambah maju dengan lahirnya atlet-atlet yang berbakat. Mereka perlu digarap agar bakat mereka dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

Sunday, June 15, 2014

HARI PERTAMAKU SEBAGAI GURU PENOLONG KANAN KOKURIKULUM

SK Puchong Perdana merupakan sekolah ketigaku sepanjang perkhidmatanku sebagai seorang pendidik. Sekolah pertamaku adalah di SK Seri Mega, Kuala Lumpur dari 16 Ogos 1999 sehingga 31 Disember 2008. Sekolah keduaku pula adalah di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara, Puchong dari 1 Januari 2009 sehingga 30 April 2014. 

Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred A yang terletak di tengah-tengah Taman Puchong Perdana. Seramai 2300 lebih murid dengan dua sesi persekolahan. Dua kali ganda daripada SKS2BK. Walaupun sekolah ini mempunyai bilangan murid yang ramai, namun suasana sekolah yang agak tenang memberikan motivasi bagi aku untuk mencurahkan bakti di sekolah baharu ini.

Pagi ini semasa perhimpunan pertamaku di sekolah ini, aku telah diberi peluang untuk memberikan ucapan pertamaku di hadapan semua warga sekolah. Perasaan gementar memang terrserlah semasa ucapan pertamaku. Mungkin perasaan gemuruhku menguasai diri yang tidak dapat aku kawal. Walau bagaimanapun, aku telah bulatkan tekad untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.

Thursday, May 29, 2014

NAIK PANGKAT

Pada 1 Mei 2014, dengan secara rasminya aku telah dinaikkan pangkat ke jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum. Aku ditempatkan di sekolah baharu iaitu di Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana. Di sini akau diberi sebuah bilik baharu sebagai GPK Koku. Alhamdulillah rezeki dari Allah Yang Maha Besar buat anak yang bakal lahir pada tahun ini, insyaallah. Doa daripada semua kaum keluarga, sahabat handai dan rakan taulan dipohon sebagai dorongan untuk memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya.

Buat sekolah lama, Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara yang telah ku tinggalkan. Terima kasih kepada para pentadbir, guru-guru, ibu bapa atau penjaga dan murid-murid yang dikasihani. Aku tinggalkan seribu satu kenangan buat anda semua. Biarlah kenangan yang indah dikenang dan yang dilupakan. Terimalah seadanya guru yang bakal menggantikan saya nanti. Berilah kerjasama sepenuhnya kepada dia seperti mana anda berikan kepada saya semasa berada di sana. 

Aku akan teruskan usaha di tempat baharu dengan semangat baharu untuk memajukan sekolah dan diri sendiri. En. Zulhaizan iaitu YDP PIBG SKS2BK pernah berpesan kepadaku agar berani mencabar diri agar kita lebih cemerlang dan matang. Aku pegang kata-kata itu sebagai azimat buat aku di masa hadapan. Terima kasih kepada semua. Sampai jumpa lagi.

Saturday, March 29, 2014

PENAMBAHBAIKAN PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Perkara-perkara Utama :
  1. Semua data yang perlu dimasukkan melalui E-sistem dihentikan.
  2. Tidak perlu fail murid individu lagi. (Hentikan)
  3. Eviden dikurangkan berdasarkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. (Buku panduan akan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia). Semua eviden akan dikurangkan dan diringkaskan.
  4. Guru boleh menyediakan eviden bila-bila masa dan di mana sahaja contoh simpan dalam komputer atau dalam fail sendiri.
  5. Ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun diteruskan seperti dulu.
  6. Tidak perlu disediakan senarai eviden seperti sekarang. Guru boleh mentaksir murid mengikut kreativiti sendiri.
Sekian, harap maklum
Pn Lok Yim Pheng
Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date: 
20/03/2014 
Dipetik daripada laman sesawang KPPK/NUTP

Friday, March 28, 2014

PERMOHONAN PERTUKARAN GURU SESI JUN 2014

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi pertukaran sesi Jun 2014 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based), DG38 (KUP Time-based), DG41, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based) dibuka mulai 01 hingga 30 April 2014. Sila klik pautan di bawah untuk memohon.

Wednesday, March 26, 2014

URUSAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) GRED DG29, DG32, DG34 DAN DG38 YANG MEMPEROLEH IJAZAH SEMASA DALAM PERKHIDMATAN KE GRED DG42 DI KPM

URUSAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) GRED DG29, DG32, DG34 DAN DG38 YANG MEMPEROLEHI IJAZAH SEMASA DALAM PERKHIDMATAN KE GRED DG42 DI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk
Sukacita dimaklumkan bahawa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan urusan kenaikan pangkat PPP Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke Gred DG42. Mana-mana pegawai yang berminat hendaklah tersebut hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap melalui Ketua Jabatan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) di KPM bagi tujuan kenaikan pangkat tersebut.

Perlu diingatkan bahawa kenaikan pangkat oleh LKPPP ke Gred DG41 dan urusan lantikan ke DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) adalah dua urusan yang berlainan. Mana-mana pegawai yangberminat bagi memohon bagi urusan kenaikan pangkat ke Gred DG42 tetapi pernah memohon ke SPP bagi urusan lantikan ke Gred DG41 perlu mengemukakan permohonan yang berasingan.
Sebarang permohonan perlu dikemukakan menerusi JPN / Bahagian masing-masing. Sebarang permohonan yang tidak dibuat menerusi JPN / Bahagian tidak akan diproses.
Keterangan lanjut sila rujuk pada lampiran Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42
Sekian.
Muat turun Borang :
  1. Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42
  2. Lampiran A
  3. Lampiran B
  4. Lampiran C
  5. Lampiran D
  6. Lampiran E
  7. Lampiran F

Monday, March 24, 2014

KELAS FARDU AIN SEMPENA CURI SEKOLAH

Cuti sekolah penggal pertama telah bermula dari 22/3/2014 sehingga 30/4/2014. Sempena dengan cuti sekolah Sekolah Agama KAFA Taman Seroja telah menganjurkan Kelas Fardu Ain kepada kanak-kanak sekolah rendah. Justeru itu, aku mengambil peluang ini untuk menambahkan ilmu fardu ain kepada anak-anak ku agar lebih mendalam ilmunya dalam bidang agama. Kelas tersebut bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Pada hari Isnin yang lalu, aku telah mendaftarkan Aisyah dan Amirul ke kelas tersebut. Semasa pendaftaran aku dapati ramai juga kanak-kanak yang datang mendaftar. Ini menunjukkan bahawa kelas fardu ain yang dianjurkan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.

Maklumat tentang kelas fardu ain ini aku peroleh daripada anak-anak ku yang bersekolah di sekolah agama KAFA. Berkebetulan salah seorang ustaz di sekolah tersebut adalah bilal di sebuah masjid. Beliau yang telah mencadangkan kelas fardu ain tersebut dibuka kepada murid-murid sekolah agama tersebut. Bayaran yang dikenakan adalah RM15 bagi seorang kanak-kanak. Bayaran merangkumi pendaftaran, bahan-bahan dan jamuan kepada mereka. Memang berbaloi-baloi...