Sinonim dengan namanya, Kuala Kangsar adalah sebuah bandar yang meningkat naik. Aku dan keluarga ke sana semata-mata untuk berkunjung ke rumah kawan lama yang sudah sekian lama tidak ku temui. Dahulunya dia mengajar di sekolah yang sama dengan aku juga isteri tercinta, Sekolah Kebangsaan Seri Mega. Cikgu Asrul yang terkenal dalam kalangan murid-murid pemulihan sekolah tersebut kini telah menetap di rumah baharunya di Kuala Kangsar, Perak.
Kebetulan aku ke Pulau Pinang baru-baru ini, aku singgah sebentar ke rumahnya. Keluarganya menyambut aku dan keluarga dengan penuh ramah dan mesra. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Isteri dan juga dua orang cahayamatanya serta seorang anak kepada kakaknya ada di rumah.
Kami saling bertegur sapa serta bercerita tentang kisah-kisah lama serta maklumat terkini tentang guru-guru di SKSM. Kelihatan susuk tubuhnya agak susut berbanding dahulu. Menurutnya dia berkeadaan begitu adalah kerana kerja sambilan yang dia buat, iaitu menoreh getah. Kebun getah tersebut adalah milik mentuanya yang tidak jauh dari rumahnya. Dia akan ke kebun untuk menoreh jika ada kelapangan seperti di hujung minggu atau cuti panjang.
Aku bangga dengan pencapaian sahabatku ini. Dia telah berjaya mengemudi rumahtangganya dengan cermat dan berhemah. Aku doakan agar dia dan keluarganya akan dimurahkan rezeki dan diberkati Ilahi. Amin.