Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Sunday, March 29, 2015

KURSUS KEPIMPINAN KOKURIKULUM 2015

Kursus Kepimpinan Kokurikulum 2015 yang terdiri daripada 100 orang murid yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar dalam unit kokurikulum SKPP. Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi memberi bimbingan kepada mereka bagaimana memimpin sesebuah organisasi sekaligus menjadi pemimpin contoh buat rakan-rakan yang lain.

Kursus ini telah diadakan pada 28 Mac 2015 (Sabtu) di Balai Perdana SK Puchong Perdana. Seorang penceramah telah dijemput untuk menyampaikan slot pertama untuk membuka minda peserta berubah menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa. Slot kedua dikendalikan oleh fasilitator daripada Unit Bimbingan dan Kaunseling untuk menjalankan aktiviti yang menguji kepimpinan pemimpin.

Pada akhir kursus, para pemimpin dianugerahkan sijil penyertaan serta hadiah sampingan sebagai kenangan. Penyampaian  sijil dan hadiah telah disampaikan oleh saya sendiri sebagai GPK Kokurikulum SK Puchong Perdana. Semoga dengan berakhirnya kursus ini dapat melahirkan pemimpin masa hadapan yang lebih cemerlang dan gemilang.















MAJLIS TILAWAH AL-QURAN SEKOLAH-SEKOLAH (FIRQAH 4) 2015

Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS) adalah satu pertandingan yang diadakan di bawah seliaan Sektor Pendidikan Islam Malaysia (SPIM). Terdapat beberapa pertandingan yang diadakan. Pertandingan tersebut adalah seperti pertandingan tilawah Al-Quran (L/P), hafazan (L/P), nasyid, bercerita BM (L/P) dan bercerita BI (L/P). Sebanyak 17 buah sekolah yang terlibat dalam Firqah 4 PPD Petaling Perdana.

Pada tahun ini, SK Puchong Perdana telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi pertandingan ini. Pertandingan ini telah berlangsung selama 1 hari pada 30 Mac 2015 (Isnin). Pertandingan tersebut bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Kemudian diikuti oleh Majlis Penutupan MTQSS. Majlis tersebut dirasmikan oleh En. Ismail bin Awang P.J.K. selaku Yang Dipertua PIBG SK Puchong Perdana.

Berikut adalah di antara gambar-gambar pertandingan tersebut.

 Lawatan Pegawai JPN, PPD bersama Pentadbir SKPP

 Tilawah

 Bercerita BM

 Nasyid

 Bercerita BM

 Tilawah

 Hafazan

 Hafazan

 Bercerita BI

Bercerita BI

Bersama YDP PIBG SKPP

Monday, March 23, 2015

TEMA HARI GURU 2015

"GURU : MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK"


Definisi

GURU : Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya yang mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

MEMBINA ILMU : Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu murid/pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitif).

MENYEMPURNAKAN : Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan enam aspirasi murid yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.

AKHLAK : Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insan bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam menjalani kehidupan.


Huraian

  1. Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.
  2. Peranan guru tidak hanya terbatas kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan murid serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.
  3. Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013-2015, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru, guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Monday, March 9, 2015

PENCARIAN BAKAT PELAJAR PINTAR CERDAS SARINGAN PERTAMA UJIAN UKM 1 TAHUN 2015

Ujian Saringan UKM 1 secara atas talian telah dibuka dari 1 Februari 2015 sehingga 31 Mei 2015 melalui laman sesawang http://ukm1.permatapintar.edu.my/ Ujian ini terbuka kepada semua murid berumur 8 hingga 15 tahun.

Sehubungan dengan itu, mohon kerjasama kepada semua pembaca di laman blog ini untuk menyampaikan berita ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini adalah peluang yang diberikan kepada seluruh murid di Malaysia untuk mengambil ujian tersebut.

Monday, March 2, 2015

KEPUTUSAN SPM 2014 SUDAH KELUAR

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2014 telah dikeluarkan pada hari ini 3 Mac 2015 (Selasa). Semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan tersebut boleh mendapatkan keputusan tersebut di sekolah masing-masing pada jam 10.00 pagi ini. 

Selain daripada itu, para pelajar juga boleh mendapatkan keputusan tersebut melalui semakan pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan menghantarnya melalui SMS ke 15888. Keputusan melalui SMS boleh disemak bermula pada pukul 10.00 pagi pada hari yang sama keputusan dikeluarkan.

Keputusan SPM kali ini amat penting kerana pada tahun adik bongsuku iaitu Muhammad Faris akan mendapatkan keputusannya. Dia baru sahaja pulang dari mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada akhir tahun yang lalu dan baru berakhir pada bulan Februari ini. Memang keputusan SPM ini merupakan titik permulaan bagi dia menentukan arah hidupnya selepas ini.

Selain daripada itu, seorang lagi adikku  Muhammad Amin iaitu adik bongsu kepada isteriku atau adik iparku juga mengambil keputusan yang sama di sekolah yang berlainan. Dia yang bersekolah di SMK Puchong Permai juga akan mengambil keputusan tersebut pada tarikh dan masa yang sama. Semoga keputusan yang bakal keluar nanti akan membawa kejayaan yang leih cemerlang di masa akan datang.

SURAT KEPUTUSAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) GRED DG29, DG32, DG34 DAN DG38 YANG MEMPEROLEHI IJAZAH SEMASA DALAM PERKHIDMATAN UNTUK DINAIKKAN PANGKAT KE GRED DG42 BAGI URUSAN TAHUN 2014

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya aku telah menerima surat kenaikan pangkat ke gred DG42. Surat tersebut telah aku peroleh pada hari Isnin (2 Mac 2015). Dengan penerimaan surat ini melayakkan aku untuk dinaikkan pangkat beserta gaji baharu yang lebih tinggi.

Ini merupakan permulaan tahun 2015 yang baik bagi diriku dan keluarga. Pada minggu lepas aku mendapat berita gembira kerana mendapat tahu bahawa isteriku dapat berpindah ke SK Puchong Utama, sekolah yang berdekatan dengan sekolahku sekarang. Selang seminggu selepas itu, aku mendapat berita bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah mengeluarkan surat bahawa isteriku sekali lagi dapat ditukarkan ke SK KLIA, Sepang. Ini adalah berikutan permohonan pertukaran yang dia buat pada akhir tahun lepas bagi pertukaran di antara daerah yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2015. 

Walau bagaimanapun, surat pertukaran tersebut telah berkuatkuasa pada 15 Februari 2015, sama dengan surat yang dikeluarkan oleh PPD Petaling Perdana bagi pertukaran ke SK Puchong Utama. Sebelum itu, kesemua anak-anakku telah ditempatkan semula ke SK Taman Seroja yang berdekatan dengan rumah kami. Sebab lain adalah kerana mereka masih bersekolah agama (KAFA) di sekolah yang sama pada sebelah petang.

Aku berharap dengan rezeki yang diberi oleh Allah S.W.T. tidak melalaikan aku untuk mengingati-Nya pada setiap masa. Semoga Tuhan memberikan keberkatan terhadap rezeki yang dilimpahkan kepada keluargaku ini. Amin.