Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Friday, April 19, 2013

TATACARA MENGUNDI UNTUK PRU KE-13


Semasa Hari Mengundi
  • Datang awal ke Pusat Mengundi.
  • Dapatkan slip Saluran Mengundi di Barung Semakan SPR.
  • Beratur dengan senyap di Saluran Mengundi anda.
  • Bila dibenarkan masuk, ikuti 7 Langkah Pengundian.
  • Segera beredar selepas mengundi. Pusat Mengundi adalah KAWASAN LARANGAN.
Sumber diperoleh daripada PRU Ke-13 Online

7 LANGKAH PENGUNDIAN
  1. Sila masuk apabila dibenarkan oleh polis yang mengawal di pintu masuk Saluran Mengundi.
  2. Serahkan MyKad/Dokumen Pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan tangan untuk diperiksa dan dipastikan tiada calitan dakwat kekal pada jari.
  3. Bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Letakkan tangan di atas pad dakwat kekal untuk calitan jari dan tunggu nama anda dipanggil.
  4. Selepas jari ditandakan dengan dakwat kekal dan sebelum kertas undi dikeluarkan, Kerani Pengundian Pertama akan membuat tanda pada nombor dan nama anda dalam Buku Daftar Pemilih. Dapatkan kertas undi dari Kerani Pengundian Ketiga.
  5. Maju ke petak undi dan tandakan X pada ruang calon kertas undi anda. Pilih satu calon sahaja.
  6. Masukkan kertas undi ke dalam peti undi masing-masing untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
  7. Keluar segera dari Tempat Mengundi.
Sumber diperoleh daripada Prosedur 7 Langkah

Saturday, April 6, 2013

AIN SUDAH MULA MERANGKAK

Hati ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak-anak sudah menunjukkan kematangannya dengan memulakan langkah pertamanya merangkak. Sungguh lucu dan amat mencuit hati melihat gelagat anak bongsu ku, Ain Fathihah sudah mula membuka langkah untuk merangkak. Dengan badannya yang terhuyung-hayang membawa badannya ke hadapan diikuti oleh gerakan tangannya membolehkan dia merangkak ke hadapan walaupun perlahan.


Dalam keadaan seperti ini, aku harus lebih berhati-hati kerana kedudukannya masih belum stabil. Koordinasi tangan dan kakinya masih belum boleh mengusun langkah dengan kemas. Takut-takut nanti tersungkur jatuh di atas lantai yang keras. Apabila sudah mula merangkak, maka mula dia mengambara mencari barangan yang boleh dicapai untuk dimasukkan ke dalam mulutnya. Jadi amatlah perlu seisi keluargaku memerhatikan dia sentiasa. Semoga cepat berjalan dan seterusnya berlari seperti kakak-kakak dan abangmu, sayang.

Friday, April 5, 2013

SELAMAT HARI LAHIR ANAK SULUNGKU

Pada hari ini, tanggal 5 April 2013 (Jumaat) genaplah sudah usia anak sulungku, Aisyah Nur Farihin berusia 8 tahun. Rasa masa yang berlalu begitu pantas sehingga anak sudah besar panjang. Hari ini agak mengejutkan juga buat anakku kerana pada petang hari ini, setelah Aisyah pergi ke sekolah agama, kami sekeluarga telah pergi ke Puchong atas beberapa sebab.

Pertama, kami ke sana adalah untuk mendapatkan suntikan buat anak bongsuku di Klinik Zuraidah. Kebetulan pula, isiteriku ingin mendapatkan khidmat pembedahan kecil untuk menanggalkan subang yang sudah lama terlekat bersama cuping telingannya. Alhamdulillah, semua selamat walaupun telinga isteriku terpaksa berbalut buat sementara. Anak bongsuku menerima suntikan tiga serangkai dan alhamdulillah dia juga tidak menimbulkan banyak masalah.

Ketika mendapatkan rawatan di klinik, kami terserempak dengan sahabat lama, Cikgu Fakri yang secara kebetulan berada di dalam klinik yang sama. Beliau ke sana bagi mendapatkan rawatan buat anaknya yang belajar di tingkatan 1. Sudah agak lama kami tidak berjumpa, kurang lebih 2 tahun rasanya. Dahulu beliau adalah orangnya di mana isteriku sering menumpang kereta setiap pagi untuk pergi ke sekolah. Jasanya yang menggunung itu tidak dapat aku lupakan. Setelah mendapatkan rawatan masing-masing kami pun bersurai.

Tujuan kedua kami ke Puchong adalah untuk membeli beberapa barang keperluan dapur yang kehabisan terutamanya beras dan beberapa barang keperluan lain. Kami membeli belah di Parasaya OTK yang terletak di Puchong Permai. Bersebelahan dengan pasaraya tersebut, terdapat sebuah kedai kek iaitu Kedai Kek King. Tujuan utama kami adalah untuk membeli sebiji kek buat hari lahir anakku. Setelah berjaya memilih dan memebli sebiji kek dan beberapa keping roti kami mula beredar pulang.

Apabila melihat akan masa pada jam telefon bimbitku, aku agak kaget kerana waktu pada ketika itu ialah pukul 5.15 peetang. Aku khuatir kerana jika aku tidak berangkat segera, aku akan tiba ke rumahku lewat. Ini akan merunsingkan anakku yang akan pulang dari sekolah agamanya pada jam 5.30 petang. Jangkaan aku tepat apabila kami sampai di perkarangan rumah, aku dapati anakku tiada di dalam pintu pagar. Hatiku mula gundah-gulana memikirkan akan keselamatan anak sulungku. Cuma aku sedikit berasa lega apabila melihat sebuah beg merah jambu yang bersandar di sebelah tiang parkir rumahku. Ini bermakna dia masih berada di sekitar rumahku lalu isteriku menyuruh anak kedua kami untuk menjenguk ke taman permainan berhampiran dengan kediamanku. Malangnya setelah beberapa ketika, anakku memberitahu bahawa kakaknya tiada di sana. 

Setelah menenangkan diri buat seketika, aku terfikir mungkin dia pergi semula ke sekolah bertemu rakan-rakannya yang masih ada di sana. Mungkin dia rasa kesunyian, justeru pergi semula ke sekolah mendapatkan rakanya untuk dijadikan teman. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Ketika aku menjawab telefon tersebut, kedengaran suara yang aku rindui iaitu anak sulungku. Rupa-rupanya dia berada di sekolah kerana taku tinggal bersendirian di halaman rumah. Justeru itu, aku bergegas berjalan kaki ke sekolah anakku yang tidak sampai 50 meter pun. Di pertengahan jalan aku bertemu kembali dengan anakku. Alhamdulillah, syukur kepada tuhan yang telah menyelamatkan anak kesayanganku ini.