Wednesday, December 29, 2010

TAHNIAH HARIMAU MALAYA


Sila dapatkan berita lanjut daripada Utusan Online

KERTAS AKHIR OUM 2010

Hari ini adalah hari terakhirku menduduki peperiksaan OUM pada tahun ini. Kertas yang aku ambil adalah kertas Morfologi dan Sintaksis. Aku berharap aku boleh menjawabnya dengan baik. Selepas ini barulah aku akan berasa lega kerana beban peperiksaan telah berakhir.

Pada tahun 2011, aku akan berdepan dengan pelbagai tugasan yang lebih mencabar minda dan emosiku. Selamat tahun baru kepada semua sahabat handai dan keluarga tersayang.

Thursday, December 23, 2010

KEPUTUSAN PMR 2010 TELAH KELUAR

23 Disember 2010, Khamis - Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan keputusan PMR 2010. Keputusan tersebut boleh diperoleh di sekolah masing-masing mulai hari ini. Daripada maklumat yang diperoleh, terdapat mata pelajaran yang mengalami peningkatan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Mathematics dan Sains. Tahniah di atas kejayaan para pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang. Bagi pelajar yang kurang berjaya, masih ada peluang sebelum menduduki peperiksaan SPM nanti.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang KPM berikut :
http://www.moe.gov.my/

Wednesday, December 22, 2010

PESTA BELI BUKU



Hari ini aku dan keluargaku telah pergi ke Pesta Buku Kanak-Kanak 2010. Aku telah pergi ke sana seawal 10 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. Ternyata strategiku berhasil. Aku sampai pada jam 10.45 pagi. Alhamdulillah, jalan tak sesak pengunjung juga tidak ramai.

Sesampainya di pesta buku tersebut, buku yang kami beli adalah buku Ultraman yang semestinya buat anak lelaki ku, si Amirul Fahmi. Seterusnya kami telah singgah di gerai PTS. Mereka menawarkan 20% diskaun untuk produk syarikat mereka. Anda boleh dapatkan kupon diskaun tersebut pada pautan yang telah saya tautkan bersama tatapan sebelum ini atau anda boleh dapatkan ia di pintu masuk pesta tersebut.

Aku telah membeli senaskhah buku di gerai PTS. setelah membuat pembayaran aku diberikan dengan barangan percuma berupa senaskhah buku lain dan beberapa keping penanda buku. Isteriku pula membeli beberapa naskhah buku masakan dan buku agama. Anakku, Aisyah membeli set mewarna dengan pasir serta beberapa naskhah buku latihan yang boleh digunakan untuk mengisi masa lapangnya di rumah.

Kami sungguh gembira berada di sana. Walau bagaimanapun kami agak terkilan kerana anak-anakku teringin untuk menyaksikan aksi-aksi badut mahupun maskot-maskot syarikat tertentu. Mungkin kami akan mempunyai peluang bertemu mereka di lain masa.

Laptop Baharu














Laptop merupakan suatu keperluan pada masa kini. Dengannya kita dapat memudahkan kita menyelesaikan banyak kerja. Dengan sedikit pengetahuan yang aku ada tentang komputer, aku telah membantu kawan sekerjaku untuk mendapatkan sebuah laptop baharu.

Aku telah pergi ke Plaza Low Yatt untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk sebuah laptop. Memandangkan bulan ini merupakan cuti sekolah, memudahkan kerjaku untuk membuat pilihan yang lebih tepat dan baik.

Laptop yang telah aku pilih ialah sebuah notebook bersaiz 14" berjenama Dell. Ia menggunakan pemprosesan Core-i3 380M, 2GB RAM dan 500GB cakera keras. Harga yang ditawarkan pula adalah amat berpatutan. Setelah aku membuat tinjauan aku dapati harga RM1899 adalah yang terbaik.

Dengan spesifikasi seperti yang di atas, harga laptop tersebut boleh mencecah RM2299. Alhamdulillah, kerana dengan izinnya aku telah berjaya mendapat yang terbaik.

Saturday, December 18, 2010

JADUAL PEPERIKSAAN OUM SEMESTER SEPTEMBER 2010

26 Disember 2010 (Ahad)
9.00 pagi - 12.10 tengah hari
PENGENALAN AGROTEKNOLOGI (HBLS2103)
PP SHAH ALAM

28 Disember 2010 (Selasa)
2.00 petang - 5.10 petang
TEACHING MATHEMATICS IN YEAR TWO (HBMT 2103)
PP SHAH ALAM

30 Disember 2010 (Khamis)
9.00 pagi - 12.10 tengah hari
MORFOLOGI DAN SINTAKSIS BAHASA MELAYU (HDML 2103)
BANGUNAN PEPERIKSAAN UNIVERSITI MALAYA

Untuk maklumat lanjut, sila login laman sesawang
Universiti Terbuka Malaysia (OUM)

Thursday, December 16, 2010

PESTA BUKU KANAK-KANAK 2010


Tinggal beberapa hari lagi untuk murid-murid ke sekolah semula. Sebelum ke sekolah, kita perlu pastikan kelengkapan sekolah telah disediakan. Bagi mereka yang masih tercari-cari masa dan tempat untuk dituju, kunjungilah Pesta Buku Kanak-Kanak 2010. Pesta ini akan diadakan pada 22 - 26 Disember 2010 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Jangan lepaskan peluang untuk membeli buku-buku atau peralatan sekolah pada harga diskaun.

Untuk mendapatkan diskaun daripada PTS, sila klik pautan di bawah.
http://pts.com.my/index.php/klcbf/form

Monday, December 6, 2010

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430

Pada hari ini kita telah masuk tahun baharu hijrah. Kita telah selamat meninggalkan tahun 1431H dengan meninggalkan segala kenangan suka dengan duka.Selamat datang 1432H. Tema maal hijrah pada tahun ini ialah 1 Malaysia 1 Ummah. Semoga pada tahun ini membawa segala keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah. Bersama-samalah kita mengimarahkan tahun baharu ini dengan amal ibadat yang diberkati Ilahi.

Hayati hasil ulisan daripada Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin (panel penulis JAKIM)

Wednesday, December 1, 2010

Lawatan Keluarga ke MAHA International 2010


Hari ini aku telah membawa keluargaku ke Pameran MAHA International 2010 yang bertempat di MARDI, Serdang. Banyak tempat yang kami lawati antaranya pameran ternakan, produk keluaran tempatan, teknologi terkini daripada institusi pengajian tinggi negara seperti UPM, UM dan beberapa buah institusi lagi. Pameran yang berlangsung sehingga 5 Disember ini menggamit ramai pengunjung setempat mahupun luar daripada negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. SYABAS!!!

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang ini.
MAHA International 2010

HARI AIDS SEDUNIA


Aids ialah sejenis penyakit yang masih tiada ubat atau vaksinnya. Sedar tak kita bahawa pada setiap 1 Disember saban tahun dunia menyambut Hari Aids Sedunia. Hari Aids bukanlah untuk meraikan pesakit-pesakit aids tetapi untuk mengingatkan kita yang sihat walafiat tentang mereka. Oleh sebab mereka mendapat penyakit ini sama ada secara sengaja atau tidak, mereka tidak sepatutnya disisihkan dalam kehidupan seharian kita. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin dengan mengetahui cara penyakit ini berjangkit. Hal ini demikian, memberi kesedaran kepada kita menjalin hubungan dengan pengidap aids tanpa ragu-ragu.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web berikut :
Majlis Aids Malaysia

Monday, November 29, 2010

Alahai Time-based!

Penantian itu adalah suatu penyeksaan. Setelah hampir setahun aku menunggu, akhirnya dengan izin-Nya berjaya juga aku memperoleh surat time-based aku. Surat itu telah aku peroleh pada minggu lepas. Proses untuk membuat Kew 8 telah segera dibuat oleh kerani yang berdedikasi di sekolah tersebut iaitu Pn. Jamalah.

Terima kasih kerana bersusah-payah menyediakan perubahan gaji baharu buat saya dan rakan-rakan yang lain. Antara rakan-rakan aku yang turut berjaya memperoleh kelulusan tersebut ialah Pn. Normee, Pn. Nor Hapizah dan Pn.Masitah. Di antara kami berempat dua daripadanya akan berpindah berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Mereka ialah Pn. Nor Hapizah dan Pn. Masitah. Kedua-duanya akan berpindah ke negeri Kelantan kerana mengikut suami yang turut bertukar ke negeri tersebut.

Tahniah! Tahniah! Tahniah!

Monday, November 22, 2010

Majlis Konvo Isteri




Pada 21/11/2010 (Ahad), aku dan isteri telah mengahadiri Majlis Konvokesyen ke-9 OUM. Majlis tersebut diadakan di PWTC, Kuala Lumpur. Aku dan isteri telah menumpang rakan kami iaitu Cikgu Abdul Rahman yang turut mengambil bahagian. Turut sama dengan kami ialah Cikgu Fakri dan isteri. Kami ke PWTC dengan menaiki kereta Cikgu Rahman. Meriah sungguh tengok orang lain konvo. Aku punya lambat lagi. Tahun 2013 baru selesai.

Pemohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Mac 2011

Sukacita dimaklumkan bahawa Pemohonan ke Program Pensiswazahan Guru (PPG) Ambilan Mac 2011 bagi Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS) yang sedang berkhidmat di Bahagian/Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) / Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) / sekolah rendah / sekolah menengah / sekolah bantuan kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dilakukan di laman web KPM bermula 22 November 2010 sehingga 22 Disember 2010. Sila klik di sini.

Monday, November 8, 2010

SENARAI TIME-BASED DGA32 (KUP) 2010

Kepada semua guru atau kakitangan yang bergred DGA29 yang sedang menunggu kenaikan pangkat ke gred DGA32. Ini adalah berita yang akan menggembirakan anda semua. Urusan kenaikan pangkat dari gred DGA29 ke gred DGA32 telah dimuktamadkan pada 3 November 2010 yang lalu. Senarai guru dan kakitangan yang telah berjaya juga telah dikeluarkan. Sila klik laman sesawang Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia. Selebihnya adalah urusan mengeluarkan surat mengikut senarai yang telah dikeluarkan. Diharap agar semua guru dan kakitangan sabar menanti surat pengesahan lantikan itu nanti. Tahniah kepada mereka yang berjaya.

Sunday, October 31, 2010

MAKLUMAT KPM UNTUK 2011

Y. Bhg. Datin/Tuan/Puan,

Adalah saya merujuk perkara di atas.

Bersama-sama disertakan surat siaran untuk makluman Y. Bhg. Datin/Tuan/Puan:-

a) Cadangan Cuti Berganti dan Cuti Peristiwa Sempena Perayaan-Perayaan 2011

b) Kemasukan Murid-Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ke Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan Tanpa Melalui Kelas Peralihan bagi Sesi Persekolahan Tahun 2011

c) Kenyataan Media - Isu Beban Tugas Guru

d) Pelaksanaan Perakuan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 (JKMIBTG 2010)

e) Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2010 Pertukaran Teks Komponen Sastera Dalam mata Pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (KOMSAS) di Sekolah Menengah (Tingkatan 2 dan Tingkatan 5) Bermula Tahun 2011

f) Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2010:
Pelaksanaan Kurikulum Standart Sekolah Rendah (KSSR) Tahap Satu Mulai 2011.


Sekian. Terima kasih.

Roslina binti Ahsan
Unit Perkhimatan
Bahagian Teknologi Pendidikan
__________________________________________________

Untuk makluman, sebarang dokumen yang disertakan bersama pada e-mel ini dianggap tidak rasmi dan hanya untuk rujukan dan kegunaan perbincangan sahaja.

KELANTAN JUARA!!!

Piala Malaysia ialah piala yang amat berprestij di Malaysia selain daripada Piala FA serta piala-piala yang lain. Pada tahun ini, dengan berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi, pasukan Kelantan telah turun selain pasukan final menentang pasukan Negeri Sembilan selaku penyandang juara. Matlamat pasukan Kelantan kali ini adalah untuk menebus kekalahan mereka pada tahun lalu, di mana mereka telah tewas kepada pasukan yang sama iaitu pasukan Negeri Sembilan (3-1).

Pada separuh masa yang pertama pasukan Negeri Sembilan telah berjaya menjaringkan gol yang pertama dengan sepakan penalti. Walau bagaimanapun pasukan Kelantan tidak mudah berputus asa. Mereka tidak mahu pulang buat kali yang kedua dengan tangan kosong.

Pada separuh masa kedua, suatu insiden besar di mana Aidil Zaquan telah dikeluarkan kerana mengalami kecederaan. Peluang ini dimanfaatkan oleh pasukan Kelantan untuk membuat serangan bertubi-tubi ke kubu lawan. Akhirnya mereka berjaya mengakhiri kemarau Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1. Ini merupakan kemenangan pertama mereka menjuarai Piala Malaysia sejak pertandingan ini dimulakan sejak 1967 lagi.

Tahniah dan syabas kepada pasukan Kelantan. Semoga tahun yang mendatang akan memberikan lebih kemenangan ke arah kecemerlangan sukan tanahair.

Wednesday, October 20, 2010

Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Januari 2011

Assalamu'alaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Jan 2011 boleh dibuat mulai pada 11 Oktober 2010 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia : http://www.moe.gov.my.

Calon dikehendaki mendapatkan NO PIN di cawangan BSN berhampiran sebelum membuat permohonan.

Sekian, terima kasih.

Saturday, October 16, 2010

Wallpaper Untuk W7 Starter

Netbook ialah sebuah komputer riba yang kecil. Ukurannya adalah di antara 8" hingga 13". Sistem operasi yang sesuai digunakan adalah Windows 7 Starter. Kelemahannya adalah ia tidak dapat menukar wallpaper yang sedia ada kepada yang kita minati. Setelah membuat beberapa pencarian di internet saya telah bertemu dengan satu perisian yang boleh menukarkan wallpaper untuk W7. Perisian yang diberi nama Oceanis Change Background Windows 7 boleh menukarkan gambar wallpaper netbook kepada yang lebih menarik. Selamat mencuba.

Friday, October 15, 2010

Bajet 2011

Petang tadi seluruh rakyat Malaysia telah diwar-warkan tentang pengumuman Perdana Menteri Malaysia yang keenam, YAB Datuk Seri Najib tentang Bajet 2011. Antara yang menarik tentang bajet kali ini adalah yang berkaitan dengan kakitangan awam seperti cuti bersalin dilanjutkan dari 2 bulan ke 3 bulan, kakitangan awam diberi bonus tambahan untuk membeli peralatan sekolah anak pada tahun hadapan dan peperiksaan PTK dimansuhkan lalu diganti dengan ujian yang setara dengannya.

Diharapkan semua kakitangan awam berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk memberikan kemudahan serta kebaikan kepada semua pihak tidak kira warna kulit atau arena politik. Sama-samalah kita berusaha dengan lebih gigih untuk menjadikan negara kita maju dan dikenali dunia. Amin.

Friday, August 27, 2010

BERKASIHLAH KEPADA YANG DIKASIHI

Indah sungguh kisah Nur Kasih, kasih isteri kepada sang suami, kasih aku hanya untuk isteri, anak-anak dan ibu tercinta, kupanjatkan doa kepada Ilahi agar roh bapaku aman bersemadi, bertemu dengan Ilahi dengan wajah yang berseri. Rinduku padamu abah akan ku simpan bila bertemu nanti. Insyaallah.

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT MENYAMBUT BULAN AL-MUBARAK

Bulan Ramadhan ialah bulan keberkatan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyemarakkan dengan ibadat. Dapatkan ganjaran yang berlipat kali ganda pada bulan yang penuh dengan kenikmatan ini. Selamat menyambut bulan puasa kepada semua warga SKSM, SK2BK, teman-teman, sahabat handai, murid-murid, serta sesiapa sahaja yang mengenali diri, isteri dan anak-anakku ini.

Wednesday, July 21, 2010

Sistem Smart School Qualification Standards (SSQS)

Aplikasi ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan pembudayaan dan penggunaan ICT di sekolah. Bermula penggunaan secara manual di 88 buah sekolah bestari kini aplikasi ini yang telah dibina berasaskan web akan diperluaskan bagi membuat penarafan di semua sekolah seluruh Malaysia.

Sila ambil maklum, penarafan aplikasi SSQS Online akan berlangsung dari 19 Julai Jam 10.00 pagi hingga 30 Ogos 2010 Jam 4.00 petang. Sila muat turun manualnya di sini.

Monday, July 12, 2010

PTK SESI OKTOBER 2010

Adalah dimaklumkan bahawa pendaftaran bagi peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan untuk sesi Oktober 2010 akan dibuka mulai 22hb Julai 2010 sehingga 05hb Ogos 2010. Kepada yang ingin mendaftar, sila mendaftar melalui guru data sekolah masing-masing. Pendaftaran hendaklah sampai ke Unit Penilaian Kompetensi selewat-lewatnya pada 05hb Ogos 2010 jam 5.00 petang. Untuk mklumat lanjut, sila layari Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my/

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU 2010

Tanggal 16hb. Mei 2010, Bandaraya Kuantan telah digegarkan dengan kehadiran Festival Hari Guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini. Pada tahun ini, tema sambutan Hari Guru adalah "Guru Pembina Negara Bangsa". Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga selaku Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berita baik kepada semua pengetua, guru besar dan guru-guru. Bermula tahun depan, mereka layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Berusahalah dengan lebih gigih untuk anak nusa dan bangsa Malaysia yang tercinta agar terpelajar semuanya.

SELAMAT HARI GURU

Sumber daripada Utusan Online (17/5/10)

Thursday, April 15, 2010

SUKAN TAHUNAN KE-9

Pada hari ini, 15hb. April 2010 (Khamis), Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara telah selamat menjalankan aktiviti sukan tahunan kali yang ke-9. Acara yang telah dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan acara perbarisan lintas hormat oleh para kontinjen. Kemudian, diikuti oleh ucapan perasmian oleh YDP PIBG, iaitu En. Hamlay. Seterusnya acara sukan dimulakan. Acara pembukaan adalah acara sukaneka tahap 1 seperti baca bola ping pong dalam sudu, lari dalam guni, kaki gajah, dan terompah gergasi. Manakala acara yang dijalankan bagi murid tahap 2 adalah seperti terompah gergasi, lari dalam guni, bawa bola guna gelung rotan, dan bawa bola dengan kayu hoki. Temasya pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Biru, diikuti Rumah Kuning, Rumah Hijau dan Rumah Merah. Tahniah buat mereka yang telah berjaya mencapai kejayaan pada sukan tahunan pada tahun ini.

Friday, April 2, 2010

e-GTukar Sesi (1) 2010

Bermula 1 April 2010, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuka pendaftaran untuk guru-guru yang ingin bertukar tempat perkhidmatan terutamanya pertukaran antara negeri. Kepada sesiapa yang berminat sila klik di sini. Sebagai permulaan anda diminta untuk membuat pendaftaran terlebih dahulu. Setelah itu, barulah anda dibenarkan untuk Log Masuk dan mengisi borang pertukaran yang disediakan secara online.

CIRI BARU EMIS ONLINE

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Bahagian EPRD telah melancarkan ciri baru pada Portal Emis online. Ciri tersebut adalah Log In Guru dan Staf. Oleh itu, kepada semua guru atau kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), anda bolehlah mengakses portal tersebut untuk melihat data masing-masing. Tujuan ciri ini diwujudkan adalah untuk memudahkan guru-guru dan kakitangan boleh menyemak maklumat perkhidmatan masing-masing serta dapat mengemaskini maklumat tersebut. Maklumat yang boleh dikemaskini adalah pada bahagian Mata Pelajaran Ajar dan Sejarah Perkhidmatan sahaja. Pada bahagian lain, sila maklumkan kepada guru data sekolah masing-masing. Sekian, harap maklum. Untuk Log In sila klik di sini.

Tuesday, March 30, 2010

Kursus Aplikasi Linux

Pada hari ini bermulalah sudah kursus aplikasi Linux untuk pengajaran dan pembelajaran khususnya ICTL. Kursus ini diadakan di PKG Puchong yang terletak di SK Puchong Batu 14. Ia telah dikendalikan oleh fasilitator yang berkaliber iaitu En. Hanif daripada PKG Puchong. Mengikut maklumat yang saya terima, ini adalah kursus yang terakhir beliau sebagai Penolong Pegawai Penyelaras PKG Puchong. Ini disebabkan oleh beliau akan bertugas di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Selangor yang terletak di Shah Alam bermula pada 1 April 2010. Kursus yang berjalan pada 30, 31 Mac dan 1 April 2010 ini dihadiri oleh 32 orang guru dari daerah Petaling. selamat berkursus kepada semua guru yang terlibat. Selamat maju jaya.

Monday, March 22, 2010

Tugasan Telah Dihantar

Leganya rasa apabila tugasan OUM telah selamat dihantar. Yang tinggal cuma peperiksaan sahaja. Peperiksaan akhir semester dijangka pada awal bulan April nanti. Sempat la nak buat ulangkaji. Harap-harap dapat aku tingkat CGPA pada semester ini. Semester lepas gred aku turut agak teruk juga. Jumpa di puncak kejayaan yea.

Wednesday, March 17, 2010

Sambutan Hari Lahirku Yang Ke-32


Semalam genaplah usiaku 32 tahun. Ini menandakan usiaku sudah bertambah. Semalam aku telah menyambutnya di rumah emakku di Pantai Permai. Aku telah membeli sebiji kek untuk dinikmati bersama-sama keluargaku. Pada mulanya aku ingin menyambutnya bersama keluarga Mira (adik kedua ku)kebetulan dia dan keluarganya pulang ke rumah emakku. Malangnya, oleh kerana mereka pulang ke rumah lewat maka aku terpaksalah menyambutnya dikalangan keluarga aku sahaja. Walau bagaimanapun mereka pulang juga selepas aku dan keluargaku selesai memotong kek. Tidak mengapalah, tahun depan kita cuba lagi.

Saturday, March 13, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Sempena cuti sekolah ni ramai pulak yang mengadakan kenduri kawin. Tidak terkecuali juga dengan dua pupu aku ni. Walaupun jarang sekali bersua muka tapi aku masih ingat akan hubungan keluarga sebelah arwah ayahku. Majlis ini diadakan di dewan Pusat Komuniti Pantai Hillpark. Selamat pengantin baru buat Haslina Ibrahim di atas perkahwinan awak dengan jejaka pilihan hati. Semoga murah rezeki dan panjang usia serta dikurniakan zuriat yang soleh mahupun yang solehah.

Ramai juga yang pak cik dan mak cik aku yang datang. Ayahnya pengantin perempuan, pak cik Ibrahim, Pak cik Seman, Pak cik Ariffin, Kak Eton, Mak cik Mah, Pakcik Sahak, dan beberapa orang anak masing-masing. Hidangan yang dihidangkan pada majlis kenduri tersebut boleh tahan juga. Nasi minyak,rendang daging, dalcar, acar buah, ayam masak merah, buah tembikai serta air sirap. Yang paling istimewanya ialah daging kambing salai panggang. Sedap juga rasanya. Maklumlah ini kali pertama aku rasa daging salai ni. Terima kasih sekali lagi buat Pak cik Ibrahim sekeluarga kerana menjemput aku dan keluarga datang ke majlis kenduri tersebut.

CUTI SEKOLAH BERMULA LAGI

Bermula 13/3/2010 hingga 21/3/2010 semua sekolah di Selangor akan mula bercuti. Ini adalah berikutan cuti pertengahan penggal 1 sesi persekolahan 2010 telah bermula. Cuti yang selama 9 hari ini hendaklah dimanfaatkan oleh semua warga pendidikan di Selangor dengan aktiviti yang berfaedah. Pergilah bercuti. Rehatkan minda dari suasanan kota yang membingitkan ini. Selamat bercuti dari saya, Cikgu Fadzli Mansor.

Friday, March 5, 2010

PEMBATALAN PERTANDINGAN MERENTAS DESA

Pagi-pagi lagi saya sudah datang ke sekolah semata-mata untuk memberikan kerjasama dalam penganjuran Pertandingan Merentas Desa peringkat sekolah kami. Malangnya pada pagi ini cuaca yang mendung telah menurunkan hujan yang berterusan. Hujan mula turun dari rumahku di Sepang sehinggalah sampai ke SK Seksyen 2 Bandar Kinrara ini.

Ampun maaf dipinta kepada ibu, bapa dan penjaga yang telah bersusah payah menghantar anak-anak mereka ke sekolah pada pagi Sabtu ini untuk melihat anak mereka menyertai pertandingan ini. Malangnya, berlaku sebaliknya. Untuk pengetahuan semua, pertandingan ini akan ditunda pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Harap berhubung dengan pihak sekolah untuk maklumat lanjut.

ACARA MERENTAS DESA 2010

Pada hari Sabtu (6hb. Mac 2010), SK Seksyen 2 Bandar Kinrara akan mengadakan acara merentas desa. Semua murid tahap 2 iaitu murid-murid tahun 4, 5, dan 6 akan mengambil bahagian. Acara ini akan diadakan di sekitar kawasan sekolah. Acara ini dijadualkan berlangsung pada jam 7.30 pagi di tapak perhimpunan sekolah. Selamat berjaya kepada semua peserta acara merentas desa pada kali ini. Saya doakan agar semuanya berjalan lancar dan selamat.

SELAMAT BERTUGAS DI SEKOLAH BARU

Pada hari ini SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah kehilangan sebutir bintang yang bersinar. Bintang yang saya maksudkan adalah Pn. Siti Hanim Binti Sungit. Beliau merupakan GPK 1 (Tadbir & Kurikulum) sekolah tersebut. Beliau telah bertugas di sekolah ini semenjak sekolah ini dibuka pada tahun 2002. Banyak jasa yang beliau telah curahkan pada sekolah, guru-guru dan murid-muridnya.Beliau akan ditempatkan di SK Putra Perdana yang terletak di Bandar Putra Perdana, Sepang. Teruskan usaha Cikgu Siti Hanim di sekolah baru nanti.

Thursday, February 25, 2010

Pengenalan yang singkat.


Khamis, 25 Feb. 2010 - Genap 2 bulan guru-guru praktikum prasekolah telah berada di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara. Dua orang guru ini telah mengikuti praktikum yang telah ditetapkan oleh pihak Insitut Perguruan Guru Malaysia(IPGM) Kampus Bahasa Melayu Malaysia yang terletak di Pantai Dalam sejak awal tahun lagi. Selama mereka menjalani praktikum di sini, aku hanya sempat beberapa kali berbual dengan mereka. Itu pun hanya dua minggu sebelum mereka menamatkan praktikum mereka di sini. Nama mereka pun aku tak tahu. Dahsyat sungguh.

Walau bagaimanapun aku ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Jadikanlah pengalaman di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara ini sebagai asam garam pendidikan. Mungkin satu hari nanti ia berguna untuk diaplikasikan di sekolah nanti. Selamat melanjutkan pelajaran kembali.

Saturday, February 20, 2010

Lupa Jadual Kelas OUM

Hari ini, dengan penuh bersemangatnya aku telah pergi ke IPBA untuk mengikuti kelas seperti biasa. Malangnya, selepas sampai di tempat yang dituju aku dapati selurus kampus IPBA sunyi sepi. Rupa-rupanya aku tersalah melihat jadual. Hari ini tiada langsung kelas tersebut.

p/s - lain kali tengok jadual dulu sebelum pergi ke kelas.

Monday, February 1, 2010

Mesyuarat ICT PPD Petaling Perdana Kali Ke-1

Hari ini aku telah pergi bermesyuarat di PKG Puchong yang terletak di SK Puchong Batu 14. Mesyuarat ini adalah mesyuarat ICT PPD Petaling Perdana kali yang pertama. Ia telah di pengerusikan oleh En. Ezani Bin Yusoff. Mesyuarat ini adalah mengenai data emis.

Sunday, January 31, 2010

Makan Malam Di Bagan Lalang

Malam Ahad 31/1/2010 aku dan keluarga aku serta adik beradik aku telah mengadakan rombongan ke Bagan Lang untuk menikmati makan malam di tepi pantai. Kami tiba pada jam 7.30 malam. Malangnya pada masa tersebut tiada tempat kosong untuk kami. Jadi kami bresolat maghrib dahulu. Selepas solat barulah kami mendapat tempat. Selepas membuat pesanan kami menunggu tempahan kami disediakan. Oleh kerana orangnya terlalu ramai, kami mendapat makanan kami pada pukul 9.30 malam. Maknanya, kami terpaksa menunggu hampir 2 jam untuk makan. Walau bagaimanapun, harganya adalah lebih murah jika dibandingkan dengan tempat yang pernah aku pergi. Puas tapi sedih.

Friday, January 22, 2010

Melawat Ke SK Seri Mega

Pada hari ini sepatutnya hari bercuti bagi aku. Memandangkan isteriku bekerja jadi aku ambil peluang ini untuk pergi menjengah rakan-rakan lamaku. Jumpa la jugak dengan Si Sardi, Fakri, Rahman, Zuhdi, Ismail dan lain-lain. Aku ingat datang sini nak buat kerja sikit tapi dari pagi sehingga tengah hari aku asyik dok kat makmal komputer cari drivers installer untuk komputer lab. Line dia amatlah slownya. Tu yang lama sangat tu. Anyway, it is nice to be here.

Friday, January 15, 2010

Amirul Masuk Hospital

Pada 13hb. Januari 2010 (Rabu), anakku yang kedua telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya. Dia telah ditahan di wad 2C hospital tersebut. Dia disyaki dijangkati oleh kuman pada ususnya yang menyebabkan dia muntah-muntah dan berak-berak. Kesian dia, sampai berat badan dia pun dah susut. Alhamdulillah, 2 hari kemudian dia dibenarkan keluar. Syukurlah takde apa-apa yang buruk berlaku. Sebagai bapa, aku nasihatkan kepada semua ibu bapa di luar sana, jaga keselamatan dan kesihatan anak-anak kita. Tanpa mereka hidup kita tidak seceria sebelumnya.

Sunday, January 10, 2010

Alahai Anak-anakku.




Inilah wajah-wajah anak kesayanganku. Ayah sayang padamu semua, Aisyah Nur Farihin, Amirul Fahmi & Aina Faqihah.

Monday, January 4, 2010

PERMULAAN SESI PERSEKOLAH SESI 2010

Selamat datang 2010, selamat bertugas guru-guru dan selamat menuntut ilmu wahai murid-muridku sekalian. Pada hari ini, 4hb. Januari 2010 (Isnin) bermulalah sesi persekolahan baru bagi sesi 2010. Murid-murid sibuk dengan kedudukan mereka dalam kelas diiringi dengan ibu bapa yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk memastikan kelancaran persekolahan anak-anak mereka. SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH.