Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Monday, August 31, 2015

PERMOHONAN PERTUKARAN GURU SESI JANUARI 2016 TELAH DIBUKA


Image result for egtukar
Permohonan pertukaran guru antara bahagian/negeri, antara daerah dan dalam daerah bagi sesi Januari 2016 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based) dan DG41, DG42, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based) telah dibuka mulai 1 hingga 30 September 2015.


Bagi guru-guru yang berkenaan, boleh mula mendaftar dahulu sebelum mengisi borang secara dalam talian. Setelah permohonan dibuat, Guru Besar akan membuat pengesahan mengikut sekolah masing-masing. Semoga berjaya.

Monday, August 24, 2015

PERTANDINGAN TARIAN RIMUP 2015 PERINGKAT NEGERI SELANGOR

Pertandingan Tarian Integrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) telah berlangsung di Sabak Bernam pada 18 Ogos 2015 (Rabu). Keputusannya kumpulan tarian SK Puchong Perdana telah memenangi tempat pertama dalam kategori persembahan terbaik, keseluruhan terbaik dan tempat ketiga bagi dokumentasi terbaik.

Sunday, August 16, 2015

MAJLIS PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN SKPP 2015

 #Sehati Sejiwa begitulah tema Hari Kebangsaan 2015 yang telah dilancarkan dengan rasminya oleh Pn. Nor Azian bt. Ashar (Guru Besar) di Dataran Perdana SKPP pada pagi ini tanggal 17 Ogos 2015. Program Kemerdekaan ini akan berlangsung selama kurang lebih sebulan bermula pada 17 Ogos 2015 sehingga 16 September 2015. 
Pada tahun ini, program ini menggabungkan beberapa unit kurikulum dan kokurikulum. Unit-unit yang terlibat adalah Panitia Seni Visual, Panitia Muzik, Panitia Sejarah, Panitia Kajian Tempatan, Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta unit Kokurikulum SKPP.
Pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang program ini berlangsung yang di antaranya adalah aktiviti mewarna dan melukis poster, nyanyian lagu patriotik, teka buku berkaitan kemerdekaan dan pelbagai lagi aktiviti yang menawarkan hadiah-hadiah yang menarik kepada para pemenang kelak.
Justeru itu, kepada warga SKPP agar tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang telah dirancang. Semoga program kali ini berjalan dengan lancar dengan penuh gemilang.

Wednesday, August 12, 2015

TAKLIMAT DAN BENGKEL PROGRAM MyTID 2015

Talent Identification and Development (MyTID) merupakan sebuah Program Pengenalpastian Bakat Malaysia yang dijayakan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dengan sasaran 100 000 orang murid setiap tahun. Program ini telah berjalan ke seluruh negara bagi mengenalpasti murid yang berbakat melalui ujian-ujian yang disediakan. 
 
Taklimat dan Bengkel Program MyTID di peringkat PPD Petaling Perdana telah dijalankan pada 12 Ogos 2015 (Rabu) yang dihadiri oleh 42 orang yang terdiri daripada Guru Besar dan GPK Kokurikulum. Mereka adalah sekolah-sekolah yang dipilih oleh PPD Petaling Perdana. Sebanyak 21 buah sekolah yang telah dipilih dengan sasaran penyertaan seramai 2092 orang murid Tahun 1.

Taklimat MyTID telah disampaikan oleh En. Mohd. Nasuha (Jurulatih Negeri Selangor) yang turut dihadiri oleh Tuan Ahmad Normi (Penyelia Sukan PPD Petaling Perdana) dan pegawai-pegawai dari ISN yang berpusat di Pusat Satelit Selangor.
Selesai taklimat, para peserta diberikan bengkel cara pengendalian Bateri Ujian yang meliputi 6 ujian asas. Ujian tersebut adalah seperti antropometrik (ketinggian dan jisim badan), kelenturan, kelajuan, kuasa dan baling dan tangkap bola. Bengkel ini diberikan sebagai pendedahan awal tentang MyTID. Bengkel intensif akan diadakan di Hotel Primear, Klang yang akan diadakan pada 25 Ogos 2015. Seramai tiga orang penguji dari setiap sekolah dari daerah Petaling Perdana dan Klang akan hadir.

Thursday, August 6, 2015

KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BERKAITAN HARI GANTI SEKOLAH TAHUN 2015

Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan penangguhan sesi awal persekolahan bagi tahun 2015 akibat bencana banjir yang melanda negara menerusi Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 24 Tahun 2014; Penangguhan Tarikh Mula Sesi Persekolahan Tahun 2015;bertarikh 29 Disember 2014Penangguhan ini dibuat setelah mengambilkira;

a. Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan 
b. Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

KPM ingin menegaskan bahawa tarikh bagi hari-hari penangguhan persekolahan akibat banjir seperti terkandung dalam surat siaran tersebut adalah tidak perlu diganti kerana bukan dianggap sebagai cuti. Tempoh tersebut bermaksud tempoh pemulihan kepada semua pihak akibat bencana banjir dan dianggap sebagai hari bekerja. Pihak KPM berharap dengan penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul  dalam kalangan pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa.

Terima kasih.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : Kenyataan Media, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - 6/8/2015

Wednesday, August 5, 2015

SERPIHAN SAYAP SAH MILIK MH370


"Malaysia Airlines ingin menyampaikan rasa sedih yang teramat kepada keluarga dan sahabat penumpang dalam MH370 selepas mendapat berita serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai adalah sah milik MH370.

Ini disahkan bersama oleh pihak berkuasa Perancis, Bureau d’ Enquetes et d‘ Analyses pour la Securites de I’AviationCivile (BEA), pasukan Siasatan Malaysia, wakil teknikal dari PRC dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di Toulouse, Perancis dan kemudian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak."

Sunday, August 2, 2015

PROGRAM PEMUAFAKATAN IBU BAPA MURID LINUS & PROTIM 2015

Program Pemuafakatan Ibu Bapa Murid LINUS dan ProTim telah berjaya dilaksanakan pada 1 Ogos 2015 (Sabtu) di Dewan SKPP. Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan tema "Di Bawah Lembayung Kasih" telah disempurnakan oleh Pn. Zaharah bt. Ibrahim (GPK Petang) yang turut dihadiri oleh En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK Kokurikulum).

Seorang penceramah telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan dengan LINUS dan ProTim. Beliau adalah salah seorang jurulatih utama kebangsaan berkaitan LINUS. Beliau ialah Pn. Rasmin Ami bt. Alias dari SK USJ 12, Subang Jaya. Ceramah disampaikan bertajuk Keibubapaan dan Panduan Membantu Murid Dalam Pelajaran Murid LINUS dan ProTim.
Dalam ceramah tersebut, beliau banyak mengaitkan pembelajaran dengan rutin kehidupan harian. Selain daripada itu, aktiviti yang dijalankan banyak melibatkan guru, ibu bapa dan murid secara amali. Dengan cara ini, semua pihak merasai pengalaman dalam mendidik murid belajar secara tidak langsung.

Bagi menggalakkan ibu bapa kekal di dalam program ini, pihak sekolah mengambil inasiatif untuk menyelitkan acara penyampaian hadiah dalam cabutan bertuah. Hadiah disediakan oleh pihak sekolah. Terima kasih diucapkan kepada semua guru, ibu bapa dan murid yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program kali ini.