Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Sunday, May 24, 2015

URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA TIME-BASED BERASASKAN KECEMERLANGAN (TBBK) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) DAN PEGAWAI KUMPULAN PELAKSANA (PKP) DI KPM

Urusan Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) telah diiklankan di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 22 Mei 2015.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BKPM) telah menggariskan permohonan tersebut kepada empat kategori : -
  1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG32 hingga Gred DG54 bagi Urusan Julai 2015 hingga Jun 2016;
  2. Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) bagi Urusan Julai 2015 hingga Jun 2016;
  3. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG32 hingga Gred DG54 bagi Urusan Cicir Julai 2013 hingga Jun 2014;
  4. Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) bagi Urusan Cicir Julai 2013 hingga Jun 2014.

Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - 22 Mei 2015

Thursday, May 21, 2015

PERTUKARAN HADIAH SEMPENA HARI GURU 2015

 Sesi Bergambar Selepas Bertukar Hadiah
Guru-guru SKPP

Bertukar Hadiah Dengan Cikgu Nur Fazilah bt. Othman

Tuesday, May 19, 2015

Sunday, May 17, 2015

INSENTIF HARI GURU 2015

Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah mengumumkan beberapa insentif kepada guru-guru seluruh Malaysia, antaranya :
  1. Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn [Akta 763] telah diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan. Melalui Yayasan ini guru-guru akan dibantu mendapatkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian, termasuk guru yang tidak layak mendapat biasiswa kerajaan kerana melebihi had umur. Yayasan ini juga akan menjaga kebajikan guru dengan memberi keutamaan kepada guru yang memerlukan bantuan kecemasan, bencana alam, khairat kematian dan bantuan peralatan sokongan selepas rawatan seperti kerusi roda. Memandangkan guru juga berisiko tinggi terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, maka Yayasan Guru Tun Hussein Onn juga menjadi harapan untuk menghulurkan bantuan keperluan dan pembiayaan pengajian anak-anak guru yang terlibat;
  2. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyeragamkan had umur pegawai awam bagi mengikuti Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D) iaitu dari 43 tahun bagi Ijazah Sarjana kepada 45 tahun seperti had umur bagi Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah Hadiah Latihan Persekutuan. Peningkatan had umur bagi pegawai awam mengikuti Ijazah Sarjana ini akan memberikan lebih peluang kepada Pegawai Pendidikan Pendidikan (PPP) untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Peningkatan ilmu dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di peringkat lanjutan akan menjadi pemacu kepada perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkualiti dan efisien.
  3. Kerajaan telah bersetuju untuk menambahbaik Elaun Pengetua dan Guru Besar sedia ada. Elaun sedia ada yang telah berkuatkuasa mulai tahun 2000, kini dinaikkan dari RM150 kepada RM300 sebulan bagi 2,405 Pengetua Sekolah Menengah dan kenaikan dari RM100 kepada RM200 sebulan bagi 7,757 Guru Besar Sekolah Rendah berkuatkuasa 1 Julai 2015. Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri  yang telah memberikan persetujuan kepada cadangan Kementerian untuk menambahbaik elaun Pengetua dan Guru Besar. Penambahbaikan ini dibuat kerana Pengetua dan Guru Besar memainkan peranan yang amat penting dalam kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Peranan dan kompleksiti tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan Pengetua dan Guru Besar. Insentif ini diharap akan dapat mendorong pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dalam keberhasilan murid. Prestasi Pengetua dan Guru Besar akan sentiasa diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI), malah pencapaian KPI juga menjadi pengukuran kesesuaian penyandang terus menduduki jawatan tersebut.

MINGGU BAHASA MELAYU SKPP 2015

Panitia Bahasa Melayu telah melancarkan Minggu Bahasa Melayu yang telah dirasmikan oleh Pn. Nor Azian bt. Ashar sebagai Guru Besar SK Puchong Perdana pada perhimpunan rasmi sekolah di Dataran Perdana pada 18 Mei 2015. Program Minggu Bahasa Melayu dijalankan selama 3 hari bermula dari 18 Mei 2015 sehingga 20 Mei 2015.

Banyak pertandingan akan diadakan pada sepanjang minggu tersebut. Setiap pertandingan diiringi dengan pelbagai hadiah-hadiah yang menarik. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyertai pertandingan yang diadakan khususnya kepada murid-murid SK Puchong Perdana.

TEKS UCAPAN Y.A.B. TPM SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI GURU 2015

TEKS UCAPAN

Y.A.B. TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

DI MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI GURU 2015
PADA 16 MEI 2015; PUKUL 9.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN WAWASAN, JITRA, KEDAH

"GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK"

Muatturun :
Perutusan Menteri Pendidikan Malaysia
Sempena Hari Guru
2015

Pautan :

Thursday, May 14, 2015

PERUTUSAN KPPM UNTUK HARI GURU 2015


Yang Berbahagia Datuk Sri Dr. Khair Mohamad Yusof
( Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia )


Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Hari ini merupakan hari yang amat istimewa dan bermakna buat kita semua yang bergelar guru. 16 Mei pasti diraikan bagi menghargai jasa dan bakti guru dalam mendidik anak bangsa. Bersempena hari yang bersejarah ini, marilah kita mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin- Nya, dapat kita berhimpun dan menjayakan sambutan hari guru bersama- sama dengan anak didik yang dikasihi dalam suasana yang meriah, aman dan harmoni.

2. Kesungguhan para guru meletakkan minat dalam profesion masing- masing mampu menjadikan sistem pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di peringkat antarabangsa. Saya amat berharap guru tidak melihat kerjaya mereka sebagai satu pekerjaan semata-mata namun mereka seharusnya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh rasa minat, tulus ikhlas dan jujur. Bagi membentuk dan menyempurnakan akhlak anak didiknya, guru perlu menjadi contoh teladan kepada mereka.
Guru perlu memiliki jati diri dan personaliti unggul yang cemerlang. Sifat dan peribadi ini sesungguhnya menjadi inspirasi murid dalam pembentukan sikap dan akhlak terpuji.
Para guru yang dihormati,

3. Seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang mewujudkan fenomena langit terbuka dan dunia tanpa sempadan mendedahkan generasi hari ini dengan kepelbagaian sumber maklumat. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi pintar dan kemajuan maklumat terkini memberi kesan serta menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.

4. Dengan erti kata sebenar, generasi muda masa kini bukan sahaja berdepan dengan cabaran persaingan di peringkat global seperti kepesatan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan malah cabaran paling utama adalah menangani konflik akhlak. Di sinilah peranan guru dicabar dan diuji. Guru berperanan membimbing dan menyempurnakan akhlak anak didiknya dan kita percaya tanggungjawab ini bukan satu tugas yang mudah. Akhlak mulia dalam diri murid-murid yang dipupuk oleh ibu bapa bermula dari rumah diteruskan oleh para guru seawal alam persekolahan, bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya".

5. Pada ketika ini, perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat memerlukan guru peka terhadap perkembangan semasa. Guru perlu menguasai teknologi maklumat, mahir menggunakan seterusnya mengadaptasikan kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah. Penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat sangat penting bukan sahaja bertujuan menyahut cabaran pendidikan hari ini yang menuntut guru menggunakan pelbagai sumber malah untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran bagi menerapkan nilai-nilai murni yang berkesan dalam penyempurnaan akhlak mulia murid-muridnya.

Para guru yang dikasihi,
6. Tema Hari Guru tahun ini "Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak" sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada abad ke-21. Tema ini menghendaki agar kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara bangsa yang bersatu padu dan berdaulat serta selaras sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

7. Dalam hal ini, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia sewaktu berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia menyatakan bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi.

8. Sehubungan itu, dan dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.

9. Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

10. Berkonsepkan pembudayaan adab dan akhlak mulia dalam kalangan guru dan murid di sekolah, guru adalah sebagai role model kepada murid dengan pendekatan “Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”. Hasil akhirnya bagi menghasilkan murid yang berketrampilan “Berilmu dan Berakhlak”.

11. Untuk itu, guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid. Warga pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

12. Peranan guru sebenarnya tidak terbatas hanya kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

13. Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013 - 2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

14. Sesungguhnya, tugas membentuk adab dan akhlak yang mulia adalah satu tugas yang sangat penting. Saya percaya jika kita semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia.

15. Saya berdoa, mungkin usaha membangun ilmu dan menyempurnakan akhlak ini mendapat keberkatan Allah SWT. Berkat itu tidak ketara pada mata, tapi dapat dirasa. Ia tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan beroleh ketenangan dan kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi.

Wahai guru-guru pembina bangsa,
16. Sistem pendidikan hari ini menyandarkan harapan agar kita menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan anak didik menguasai ilmu tulis, baca dan kira, tetapi lebih jauh daripada itu kita perlu memperkasakan ilmu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ilmu ini merupakan transformasi minda yang menguji keupayaan guru menjana kemahiran berfikir aras tinggi bagi menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitis, kreatif, reflektif dan inovatif. Aktiviti PdP dalam KBAT ini juga hendaklah dilaksanakan secara interaktif yang berfokus kepada penyelesaian masalah untuk mendorong murid sentiasa berfikir.

17. Pada hemat saya, pemerkasaan ilmu KBAT amat penting untuk memastikan murid-murid dapat bersaing menguasai ilmu setanding dengan kualiti pencapaian murid di persada dunia. Oleh itu, saya memohon guru agar sentiasa mengamalkan corak pengajaran yang pelbagai dan interaktif di dalam bilik darjah, menerapkan kemahiran menaakul, di samping sentiasa mengambil berat perkembangan setiap individu murid. Masalah yang diberikan pula mestilah di luar rutin yang masih relevan dan bersesuaian dengan aras kognitif dan tahap kematangan murid tetapi berupaya merangsang minat murid, seperti aktiviti main peranan, kajian lapangan, temu bual pengembaraan, penciptaan replika sesuatu bangunan, forum, perdebatan, sumbang saran, sesi muhasabah dan refleksi diri.

18. Guru juga perlu memastikan pengajaran dalam bilik darjah ditukar daripada pengajaran aktif kepada fasilitator aktif. Pembelajaran murid menjadi inti pati terpenting dalam setiap sesi interaksi antara guru dengan murid. Selanjutnya guru sangat wajar mentransformasikan kerangka minda dirinya yang sebelum ini dianggap tetap dan mantap kepada kerangka minda yang lebih anjal, luwes, bersedia menerima perubahan dan kritikan serta bersedia untuk terus berkembang.

19. Walau bagaimanapun, peranan guru tidaklah hanya terbatas di dalam bilik darjah semata-mata. Guru juga harus bertindak sebagai agen perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan murid. Menerusi kepimpinan dan kewibawaan, guru berupaya membina atmosfera sosial yang sihat bagi menggalakkan interaksi pelbagai hala antara murid berbilang kaum, latar belakang, dan budaya bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan.

Warga guru dan murid yang dikasihi,
20. Kita sedia maklum bahawa pada masa ini, bentuk pentaksiran telahpun berubah daripada berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran secara holistik, maka Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi satu elemen pentaksiran yang penting dalam mengukur keberhasilan murid. Guru juga berperanan menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kemenjadian murid selaras dengan aspirasi dalam PPPM 2013 - 2025. Sejajar dengan itu, guru perlu mempunyai kredibiliti, integriti, dan telus agar dapat menghasilkan penilaian yang adil. Sesungguhnya, di tangan gurulah terletaknya penentu hala tuju masa hadapan murid.

21. Saya yakin ramai guru yang begitu berpengalaman dalam bidang keguruan, namun tuntutan pada abad ini memerlukan idea baharu untuk meningkatkan profesionalisme diri. Lantaran itu, guru seharusnya mengaplikasikan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menghindari sikap egoistik lantas mendorong dirinya untuk terus menimba ilmu dan kemahiran terkini melalui pelbagai sumber termasuk daripada muridnya sendiri. Sudah tiba masanya kita mengenepikan segala perbezaan yang menjadi punca diskriminasi dan prejudis. Guru perlu sentiasa menonjolkan sifat bertanggungjawab sebagai wahana penyatu bangsa yang sentiasa menyeimbangkan neraca keadilan untuk memastikan setiap anak murid menerima pendidikan berkualiti.

22. Kementerian Pendidikan telah menyediakan laluan kerjaya terbaik untuk guru. Bagi memastikan laluan ini bersesuaian dengan keperluan semasa, maka Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) telah dibangunkan. Pelan ini bertujuan untuk melengkapkan pembangunan pofesionalisme sedia ada dan mentransformasi amalan pembangunan profesionalisme berterusan bagi meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasakan profesion keguruan.

23. Apabila skim perjawatan Time Based Berasaskan Kecemerlangan diwujudkan, hal ini menunjukkan bahawa elemen kecemerlangan menjadi asas pertimbangan untuk peningkatan kerjaya setiap guru. Selari dengan hasrat tersebut, guru perlu memiliki kriteria yang telah digariskan dalam PPPB, iaitu pemikir holistik dan kreatif, pemikir strategik, peneraju perubahan, pembimbing dan mentor, penggerak kualiti PdP, serta pelaksana pengajaran berkesan dan fasilitator pembelajaran murid.

Kepada anak-anak murid yang dikasihi sekalian,
24. Pada kesempatan ini, sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan.

25. Dalam pada itu, jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa dan guru- guru anda. Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda hanya sekali. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.

26. Sebelum mengakhiri ucapan, marilah sama-sama kita hayati dua rangkap pantun ini :
 
Berdayung sampan mudik ke hulu 
Hendak bertemu gadis idaman
Mulia sungguh pengorbananmu guru
Kekal dikenang sepanjang zaman
Harum mewangi si bunga tanjung 
Tumbuh mekar di laman Tun Perak
Jasa dan baktimu terus disanjung
Membina ilmu menyempurnakan akhlak

27. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua insan yang bergelar pendidik. Sesungguhnya negara amat memerlukan khidmat bakti para guru dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia.

‘Terima kasih cikgu’