Terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya. Saya berharap ia memberi manfaat dan sumbangan yang berguna buat anda semua.

Friday, October 25, 2013

BONUS SETENGAH BULAN GAJI BUAT KAKITANGAN AWAM DAN PESARA DALAM BAJET 2014

Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Najib berkata kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan daripada pelbagai peringkat mulai November ini.

Perdana Menteri berkata pada Julai lepas, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Di samping itu, katanya kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum.