Tuesday, June 30, 2009

Tindakan Tatatertib

Pada sebelah tengaharinya pula aku dan beberapa orang rakan setugas yang lain telah dipanggil oleh GPK Kurikulum & Tadbiran berkaitan surat tunjuk sebab yang telah aku hantar tempoh hari. Ia berkenaan ketidakhadiranku pada 3 hari semasa cuti sekolah yang lalu. Pada hari berkenaan aku sepatutnya ke sekolah untuk mengikuti kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang dikendalikan oleh pihak sekolah.

Sehari sebelumnya aku telah terlebih dahulu bertolak untuk mengikuti pakej perlancongan keluarga yang diadakan di Pulau Kapas. Jadi adalah mustahil aku dapat menghadiri kursus tersebut. Pakej ini telah kami rancang 2 bulan lebih awal. Lagipun wang deposit pun sudah aku bayar. Takkan setiap perancangan untuk bersama keluarga juga perlu diberitahu kepada pihak sekolah. Logik tak?

Pencerapan P&P

Pencerapan adalah salah satu cara penilaian. Dan pada hari aku telah dicerap oleh GPK Kurikulum & Tadbiran, SK Seksyen 2 Bandar Kinrara. Masa pencerapan adalah pada jam 7.40 pagi sehingga 8.40 pagi. Mata pelajaran yang dicerap pula adalah Matematik Tahun 5 Kuprum.

Aku mengajar seperti biasa yang aku lakukan. Cuma ada sedikit penambahan dalam penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM). Kebanyakan masa pengajaran, aku menggunakan Bahasa Inggeris, malangnya seperti yang aku jangkakan ada segelintir muridku yang langsung tidak memahami penerangan yang aku berikan.

Saturday, June 27, 2009

Majlis Perpisahan

Sempena cuti berganti bagi kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini, Sekolah Kebangsaan Seri Mega telah berbesar hati untuk menjemput bekas guru-guru SK Seri Mega 2008 yang telah berpindah ke sekolah baru pada awal 2009 yang lepas ke Majlis Perpisahan Bekas Guru-Guru SK Seri Mega 2008.

Walaupun begitu, hanya Cikgu Tham Lai Wun sahaja yang dapat menghadirkan diri. Guru-guru jemputan yang lain tidak dapat mengadirkan diri kerana terlibat dengan tugas-tugas lain yang perlu diselesaikan di tempat kerja masing-masing dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi mengadakan dan menjemput kami bekas guru-guru SK Seri Mega 2008 untuk majlis tersebut. Diharapkan agar guru-guru SK Seri Mega akan terus meningkatkan prestasi murid-muridnya agar lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Hari Terbuka

Pada hari ini Sabtu (27hb. Jun 2009) - Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara telah mengadakan sekolah ganti. Ia merupakan rentetan daripada cuti berganti yang akan diambil sempena Hari Raya Aidilfitri 2009. Berikutan itu, pihak sekolah telah bersetuju untuk menjadikan hari ini sebagai Hari Terbuka sekolah. Ini bermakna ibu bapa murid boleh mendapatkan buku rekod murid. Ibu bapa akan secara langsung bertemu dengan guru-guru kelas dan guru mata pelajaran bagi mengetahui prestasi terkini anak-anak mereka.

Selain daripada Hari Terbuka, pihak sekolah juga telah membuat kutipan yuran lain persekolahan yang berjumlah RM 29.00 setiap murid. Ini adalah jumlah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah dipilih oleh pihak sekolah melalui pakej-pakej yang telah ditetapkan. Bersama-sama dengan ini, Persatuan Ibu, Bapa Dan Guru, SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah bersetuju untuk guru-guru kelas mengutip yuran PIBG yang berjumlah RM50.00 bagi setiap keluarga. Ini adalah jumlah yang telah dipersetujui oleh ibu bapa pada Mesyuarat Agong PIBG 2009.

Sunday, June 7, 2009

Percutian Ke Pulau Kapas


Pada 29hb. Mei 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Mega telah menganjurkan percutian ke Pulau Kapas, Kuala Terengganu. Percutian ini adalah untuk guru-guru SK Seri Mega sahaja. Oleh kerana isteriku adalah salah seorang daripada warga SK Seri Mega, secara tak langsung aku juga dialu-alukan. Percutian pada kali ini berlangsung selama 3 hari 2 malam. Kami berkumpul dan bertolak dari Tol Gombak pada petang Jumaat. Dengan menggunakan 12 buah kereta, kami telah berkonvoi beramai-ramai ke destinasi kami. Rombongan ini diketuai oleh Cikgu Azman merangkap Pengerusi Kelab Guru SK Seri Mega. Kami tiba di Kuala Terengganu pada pagi Sabtu jam 3.30 pagi. Setibanya di sana, hujan gerimis telah menyambut ketibaan kami. Kami telah berhenti seketika di rumah keluarga Cikgu Azman dan di rumah adiknya, Azizi.


Lebih kurang jam 8.00 pagi, kami mula bertolak ke jeti Marang. Dari sana kami telah menaiki sebuah feri ke Pulau Kapas. Perjalanan menaiki feri tersebut adalah selama 15 minit. Pemandangan yang pertama yang memukau mataku adalah airnya yang jernih dan pantainya yang putih bersih. Aku cukup kagum dengan pemandangan yang sedemikian rupa. Kami ditempatkan di chalet Coral Resort dan Makcik Gemuk Resort. Chaletnya agak sederhana, berpatutan dengan harganya.


Aktiviti yang pertama dalam jadual kami adalah mandi laut. Memang itulah yang kami semua nanti-nantikan. Pantainya yang landai dengan airnya yang jenih membuatkan kami lupa untuk ke darat semula. Pada sebelah petangnya, rombongan kami telah dibawa untuk aktiviti snorkling di perairan berdekatan. Pemandangan dasar lautnya sungguh memukau. Dengan memakai google dan jaket keselamatan aku telah berjaya meneroka dasar laut yang indah itu, walaupun aku tidak pandai berenang. Aku dapat melihat dengan jelas batu karang yang tumbuh meliar serta mentimun laut atau lebih dikenali dengan gamat. Sungguh banyak terdapat di sana.



Selepas aktiviti snorkling, kami sambung pula dengan aktiviti mandi pantai beramai-ramai. Bagi kaum bapa pula, kami telah mengadakan permainan bola tampar di antara kami. Kami merasa sungguh puas walaupun ianya memenatkan. Di Pulau Kapas ini, aktiviti yang cukup terkenal di sini adalah aktiviti mencandat sotong. Kebanyakan cikgu-cikgu lelaki telah menyertainya juga seorang guru perempuan, Cikgu Aznizah. Pengalaman yang menggembirakan semasa mencandat sotong adalah pengalaman menarik sotong ke atas bot tetapi ada juga pengalaman yang menyakitkan hatiku. Semasa mencandat, akulah orang pertama yang muntah. Dua kali pula tu. Rakan-rakan yang lain cuma pening-pening kepala sahaja. Walau bagaimanapun, pemergian kami tidak sia-sia kerana kami memperoleh kurang lebih 40 ekor sotong. Kami tiba di jeti pada jam 12.00 tengah malam.

Pada hari berikutnya, kami telah menyambung aktiviti kami dengan mandi-manda di pantai, diikuti dengan aktiviti snorkling buat kali yang kedua. Aktiviti yang menarik pada hari tersebut adalah aktiviti menyiang hasil tangkapan kami. Anak-anak kami pula menghabiskan masanya dengan membuat binaan pasir. Yang excitednya bukan anak-anak tetapi bapa-bapa mereka termasuklah aku. Di sebelah malamnya pula, kami telah memanggang hasil tangkapan kami bersama-sama dengan hasil laut yang telah kami tempah sebelumnya. Kami mengakhiri aktiviti kami pada malam itu dengan aktiviti memancing dikalangan cikgu-cikgu lelaki. Aku difahamkan mereka mendapat 2 ekor ikan genahak yang agak besar. Tahniah kepada Cikgu Abdul Rahman dan Cikgu Nazri. Pada keesokannya kami telah bersiap-siap untuk pulang ke tanah besar semula. Maka tamatlah sudah pengembaraan kami ke Pulau Kapas, Kuala Terengganu.