Garis Panduan Pemakaian Baju Korporat ini adalah bagi penyeragaman pemakaian baju korporat dalam kalangan pegawai/kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Penyeragaman ini adalah bagi menetapkan identiti pegawai/kakitangan dan imej KPM. Rekabentuk dan warna pakaian korporat adalah seperti berikut : -
Pembekalan baju korporat tidak boleh menggunakan peruntukan Jabatan/Bahagian dan hendaklah dibiayai sendiri oleh pegawai/kakitangan. Perkara ini adalah selaras dengan Surat Pekeliling Kewangan Bil. 8 Tahun 2008 di para 25 yang menyatakan bahawa "Pembekalan baju korporat Jabatan/Bahagian yang menggunakan peruntukan Kerajaan juga dihentikan serta merta."
Selain daripada itu, pemakaian baju korporat oleh pegawai/kakitangan KPM hanya dibenarkan apabila melaksanakan tugas rasmi di lapangan/luar sahaja. Bagi pegawai/kakitangan lelaki, baju korporat hanya boleh dipakai bersama-sama seluar panjang (slack)/khakis dengan keutamaan warna gelap. Bagi pegawai/kakitangan wanita, baju korporat hanya boleh dipakai bersama skirt labuh berbentuk "A" (A-line skirt) paras tumit atau seluar panjang polos berwarna hitam dan tudung berwarna hitam/dark blue/royal blue.
Pakaian semasa bertugas di pejabat dan menghadiri upacara-upacara rasmi yang lain adalah tertakluk kepada Pekeliling dan peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa seperti berikut : -
- Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 (Pakaian Masa Bekerja dan Semasa Menghadiri Upacara-upacara Rasmi bagi Pegawai-pegawai Awam);
- Perkara 6 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;
- Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2006 (Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi);
- Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam JPA(S) TT.193/37/Jld.4 bertarikh 15 Mac 2005 (Galakan Memakai Baju Kebangsaan Pada Hari Jumaat); dan
- Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2008 (Pemakaian Baju Batik Malaysia oleh Pegawai Awam Pada Hari Khamis).
Pegawai/kakitangan yang dibekalkan dengan pakaian seragam/uniform hendaklah memakainya ketika bertugas pada setiap masa melainkan diarah dari masa ke semasa oleh Ketua Jabatan. Sehubungan dengan itu, Ketua Jabatan/Bahagian adalah diminta untuk memastikan Garis Panduan ini dipatuhi oleh semua dan memantau pelaksanaan pemakaian baju korporat oleh semua pegawai/kakitangan di bawah seliaan masing-masing demi meningkatkan imej korporat KPM.
Garis Panduan Pemakaian Baju Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia boleh dimuatturun pada pautan di bawah :