Thursday, February 14, 2013

ZIARAH ADIK IPAR DI LUMUT

Pada Cuti Tahun Baru Cina yang lepas, keluargaku dan keluarga mentua telah pergi menziarahi keluarga adik iparku, Juliana & Dainan di Seri Manjung, Perak Darul Ridzuan. Kami pergi ke sana pada 10 Februari 2013(Ahad) dan pulang pada 12 Februari 2013 (Selasa). Kami menggunakan lebuhraya PLUS melalui susur keluar Bidor. Dalam perjalanan ke sana, banyak juga kenderaan yang lalu-lalang. Walau bagaimanapun, perjalanan kami masih lancar sehinggalah kami tiba dengan selamatnya ke destinasi kami. Perjalanan yang mengambil masa yang agak panjang iaitu selama hampir 4 jam. Sama lamanya dengan perjalanan ke Kulai, Johor. 

Semasa kami berada di sana, kami telah pergi ke beberapa tempat. Tempat pertama yang telah kami lawati adalah bandar Lumut. Bandar pelabuhan yang agak sesak dengan para pelancong sempena cuti panjang ini. Kami telah pergi bersiar-siar di jeti Lumut. Banyak juga feri yang keluar masuk jeti tersebut. Di kawasan sekitar jeti tersebut, banyak kedai-kedai yang menjual makanan ringan hasil laut seperti sate ikan, sotong kering, ikan kering dan ikan bilis dan pelbagai lagi hasil laut yang dipasarkan di sini.


Pada hari kedua, kami telah berkesempatan pergi mandi-manda di pantai Teluk Batik. Perjalanan kami dari rumah Ina cuma sekitar 20 minit sahaja. Walaupun kami pergi ke sana kurang lebih pukul 10 pagi, telah ramai pengunjung yang telah mengambil tempat masing-masing. Pantainya yang agak pendek berbanding pantai Teluk Kemang, Port Dickson. Kami merasa puas dapat bermandi-manda di sana walaupun kami terpaksa bersesak-sesak dengan pengunjung lain untuk berenang. Pengalaman manisku apabila aku telah bertemu dengan Faizal, juniorku semasa di IBMM. Rupa-rupanya di kerja part-time menyewa pelampung kepada para pengunjung. Maklumlah isterinya orang tempatan di sana. Pelampung yang disewakan adalah milik kakak iparnya yang membuka perniagaan tersebut di sana.


Kami telah bertolak pada pukul 8.30 pagi dan tiba di Puchong pada pukul 11.30 pagi. Kami telah singgah di Puchong untuk beristirehat sambil menunggu makan tengah hari. Selepas makan tengah hari barulah kami bertolak pulang ke rumah kami di Bandar Baru Salak Tinggi. Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana telah merahmati sepanjang perjalanan kami pergi dan balik.

No comments:

Post a Comment