Pada hari ini, tanggal 5 April 2013 (Jumaat) genaplah sudah usia anak sulungku, Aisyah Nur Farihin berusia 8 tahun. Rasa masa yang berlalu begitu pantas sehingga anak sudah besar panjang. Hari ini agak mengejutkan juga buat anakku kerana pada petang hari ini, setelah Aisyah pergi ke sekolah agama, kami sekeluarga telah pergi ke Puchong atas beberapa sebab.
Pertama, kami ke sana adalah untuk mendapatkan suntikan buat anak bongsuku di Klinik Zuraidah. Kebetulan pula, isiteriku ingin mendapatkan khidmat pembedahan kecil untuk menanggalkan subang yang sudah lama terlekat bersama cuping telingannya. Alhamdulillah, semua selamat walaupun telinga isteriku terpaksa berbalut buat sementara. Anak bongsuku menerima suntikan tiga serangkai dan alhamdulillah dia juga tidak menimbulkan banyak masalah.
Ketika mendapatkan rawatan di klinik, kami terserempak dengan sahabat lama, Cikgu Fakri yang secara kebetulan berada di dalam klinik yang sama. Beliau ke sana bagi mendapatkan rawatan buat anaknya yang belajar di tingkatan 1. Sudah agak lama kami tidak berjumpa, kurang lebih 2 tahun rasanya. Dahulu beliau adalah orangnya di mana isteriku sering menumpang kereta setiap pagi untuk pergi ke sekolah. Jasanya yang menggunung itu tidak dapat aku lupakan. Setelah mendapatkan rawatan masing-masing kami pun bersurai.
Tujuan kedua kami ke Puchong adalah untuk membeli beberapa barang keperluan dapur yang kehabisan terutamanya beras dan beberapa barang keperluan lain. Kami membeli belah di Parasaya OTK yang terletak di Puchong Permai. Bersebelahan dengan pasaraya tersebut, terdapat sebuah kedai kek iaitu Kedai Kek King. Tujuan utama kami adalah untuk membeli sebiji kek buat hari lahir anakku. Setelah berjaya memilih dan memebli sebiji kek dan beberapa keping roti kami mula beredar pulang.
Apabila melihat akan masa pada jam telefon bimbitku, aku agak kaget kerana waktu pada ketika itu ialah pukul 5.15 peetang. Aku khuatir kerana jika aku tidak berangkat segera, aku akan tiba ke rumahku lewat. Ini akan merunsingkan anakku yang akan pulang dari sekolah agamanya pada jam 5.30 petang. Jangkaan aku tepat apabila kami sampai di perkarangan rumah, aku dapati anakku tiada di dalam pintu pagar. Hatiku mula gundah-gulana memikirkan akan keselamatan anak sulungku. Cuma aku sedikit berasa lega apabila melihat sebuah beg merah jambu yang bersandar di sebelah tiang parkir rumahku. Ini bermakna dia masih berada di sekitar rumahku lalu isteriku menyuruh anak kedua kami untuk menjenguk ke taman permainan berhampiran dengan kediamanku. Malangnya setelah beberapa ketika, anakku memberitahu bahawa kakaknya tiada di sana.
Setelah menenangkan diri buat seketika, aku terfikir mungkin dia pergi semula ke sekolah bertemu rakan-rakannya yang masih ada di sana. Mungkin dia rasa kesunyian, justeru pergi semula ke sekolah mendapatkan rakanya untuk dijadikan teman. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Ketika aku menjawab telefon tersebut, kedengaran suara yang aku rindui iaitu anak sulungku. Rupa-rupanya dia berada di sekolah kerana taku tinggal bersendirian di halaman rumah. Justeru itu, aku bergegas berjalan kaki ke sekolah anakku yang tidak sampai 50 meter pun. Di pertengahan jalan aku bertemu kembali dengan anakku. Alhamdulillah, syukur kepada tuhan yang telah menyelamatkan anak kesayanganku ini.
No comments:
Post a Comment