Pada 29hb. Mei 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Mega telah menganjurkan percutian ke Pulau Kapas, Kuala Terengganu. Percutian ini adalah untuk guru-guru SK Seri Mega sahaja. Oleh kerana isteriku adalah salah seorang daripada warga SK Seri Mega, secara tak langsung aku juga dialu-alukan. Percutian pada kali ini berlangsung selama 3 hari 2 malam. Kami berkumpul dan bertolak dari Tol Gombak pada petang Jumaat. Dengan menggunakan 12 buah kereta, kami telah berkonvoi beramai-ramai ke destinasi kami. Rombongan ini diketuai oleh Cikgu Azman merangkap Pengerusi Kelab Guru SK Seri Mega. Kami tiba di Kuala Terengganu pada pagi Sabtu jam 3.30 pagi. Setibanya di sana, hujan gerimis telah menyambut ketibaan kami. Kami telah berhenti seketika di rumah keluarga Cikgu Azman dan di rumah adiknya, Azizi.
Lebih kurang jam 8.00 pagi, kami mula bertolak ke jeti Marang. Dari sana kami telah menaiki sebuah feri ke Pulau Kapas. Perjalanan menaiki feri tersebut adalah selama 15 minit. Pemandangan yang pertama yang memukau mataku adalah airnya yang jernih dan pantainya yang putih bersih. Aku cukup kagum dengan pemandangan yang sedemikian rupa. Kami ditempatkan di chalet Coral Resort dan Makcik Gemuk Resort. Chaletnya agak sederhana, berpatutan dengan harganya.
Aktiviti yang pertama dalam jadual kami adalah mandi laut. Memang itulah yang kami semua nanti-nantikan. Pantainya yang landai dengan airnya yang jenih membuatkan kami lupa untuk ke darat semula. Pada sebelah petangnya, rombongan kami telah dibawa untuk aktiviti snorkling di perairan berdekatan. Pemandangan dasar lautnya sungguh memukau. Dengan memakai google dan jaket keselamatan aku telah berjaya meneroka dasar laut yang indah itu, walaupun aku tidak pandai berenang. Aku dapat melihat dengan jelas batu karang yang tumbuh meliar serta mentimun laut atau lebih dikenali dengan gamat. Sungguh banyak terdapat di sana.
Selepas aktiviti snorkling, kami sambung pula dengan aktiviti mandi pantai beramai-ramai. Bagi kaum bapa pula, kami telah mengadakan permainan bola tampar di antara kami. Kami merasa sungguh puas walaupun ianya memenatkan. Di Pulau Kapas ini, aktiviti yang cukup terkenal di sini adalah aktiviti mencandat sotong. Kebanyakan cikgu-cikgu lelaki telah menyertainya juga seorang guru perempuan, Cikgu Aznizah. Pengalaman yang menggembirakan semasa mencandat sotong adalah pengalaman menarik sotong ke atas bot tetapi ada juga pengalaman yang menyakitkan hatiku. Semasa mencandat, akulah orang pertama yang muntah. Dua kali pula tu. Rakan-rakan yang lain cuma pening-pening kepala sahaja. Walau bagaimanapun, pemergian kami tidak sia-sia kerana kami memperoleh kurang lebih 40 ekor sotong. Kami tiba di jeti pada jam 12.00 tengah malam.
Pada hari berikutnya, kami telah menyambung aktiviti kami dengan mandi-manda di pantai, diikuti dengan aktiviti snorkling buat kali yang kedua. Aktiviti yang menarik pada hari tersebut adalah aktiviti menyiang hasil tangkapan kami. Anak-anak kami pula menghabiskan masanya dengan membuat binaan pasir. Yang excitednya bukan anak-anak tetapi bapa-bapa mereka termasuklah aku. Di sebelah malamnya pula, kami telah memanggang hasil tangkapan kami bersama-sama dengan hasil laut yang telah kami tempah sebelumnya. Kami mengakhiri aktiviti kami pada malam itu dengan aktiviti memancing dikalangan cikgu-cikgu lelaki. Aku difahamkan mereka mendapat 2 ekor ikan genahak yang agak besar. Tahniah kepada Cikgu Abdul Rahman dan Cikgu Nazri. Pada keesokannya kami telah bersiap-siap untuk pulang ke tanah besar semula. Maka tamatlah sudah pengembaraan kami ke Pulau Kapas, Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment