Friday, December 9, 2011

ISTERI DIMADU LAYAK MEMOHON BANTUAN RM500

BACHOK 9 Dis. - Semua isteri yang dimadukan dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,000 berhak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 bagi meringankan beban keluarga.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada isteri-isteri terbabit kerana mereka yang menguruskan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, lelaki atau wanita bujang yang menanggung keluarga kerana ibu dan ayah sudah meninggal dunia juga layak memohon bantuan tersebut.

"Isteri pertama, kedua hingga keempat juga berhak mendapatkan bantuan itu dengan mengisi borang yang disediakan dan di negeri Kelantan ia perlu disahkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan masing-masing.

"Bagi golongan bujang yang tidak berkahwin tetapi mempunyai tanggungan adik-beradik terutama keluarga yatim piatu, juga berhak mengemukakan permohonan untuk menerima agihan wang yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, mereka yang keseorangan tanpa isteri (bujang) dan lain-lain tanggungan tidak berhak menerimanya. Namun, ibu tunggal dan bapa tunggal termasuk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas berhak menikmati manfaat ini," katanya.


Sumber daripada Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment