Monday, December 12, 2011

BORANG BR1M

Pada 10 Disember 2011 yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) telah mengedarkan Borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada semua warga Malaysia yang layak memohon. Walau bagaimanapun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan borang tersebut disebabkan kekangan masa dan tempat penyerahan yang jauh. Oleh yang demikian, KKM telah menyediakan saluran atas talian (online) untuk mendapatkan borang tersebut. Ia boleh dimuatturun daripada laman sesawang KKM. Sila klik pautan Kementerian Kewangan Malaysia untuk ke laman tersebut.

Friday, December 9, 2011

ISTERI DIMADU LAYAK MEMOHON BANTUAN RM500

BACHOK 9 Dis. - Semua isteri yang dimadukan dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,000 berhak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 bagi meringankan beban keluarga.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada isteri-isteri terbabit kerana mereka yang menguruskan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, lelaki atau wanita bujang yang menanggung keluarga kerana ibu dan ayah sudah meninggal dunia juga layak memohon bantuan tersebut.

"Isteri pertama, kedua hingga keempat juga berhak mendapatkan bantuan itu dengan mengisi borang yang disediakan dan di negeri Kelantan ia perlu disahkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan masing-masing.

"Bagi golongan bujang yang tidak berkahwin tetapi mempunyai tanggungan adik-beradik terutama keluarga yatim piatu, juga berhak mengemukakan permohonan untuk menerima agihan wang yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, mereka yang keseorangan tanpa isteri (bujang) dan lain-lain tanggungan tidak berhak menerimanya. Namun, ibu tunggal dan bapa tunggal termasuk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas berhak menikmati manfaat ini," katanya.


Sumber daripada Utusan Malaysia Online

Wednesday, December 7, 2011

PEKELILING SBPA

Sukacita dimaklumkan bahawa Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) telah dikeluarkan di portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sila rujuk portal jabatan tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini tentang skim saraan baru itu. Klik di sini untuk ke portal JPA.

PENJELASAN TENTANG KETUA KELUARGA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada anggota keluarga yang tinggal serumah, dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

“Ini merangkumi individu yang berkahwin; ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) sebatang kara,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan semalam.


Katanya setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah, tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.

“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang,” katanya dan menekankan ‘hanya ketua isi rumah sahaja yang layak untuk memohon.’ Kementerian Kewangan telah membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M. Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.


Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012. Borang-borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta akhbar tempatan, katanya.


Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji (jika berkenaan) dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM.

Sumber daripada Harian Metro Online (myMetro)

SBPA - Tiada Penganiayaan

PUTRAJAYA: Tidak wujud isu penganiayaan terhadap penjawat awam yang menyertai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar berkata, kakitangan awam yang memilih SBPA tidak perlu bimbang kerana banyak faedah dan kebaikan yang boleh didapati melalui skim baru itu. Menurutnya, skim itu turut memperbetulkan andaian sesetengah pihak yang mendakwa ia mengurangkan jumlah kakitangan awam yang berkhidmat dalam pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan. “Misalnya, sekiranya seorang penjawat awam itu memperoleh markah bawah 70 peratus dalam masa setahun, penilaian selama enam bulan terhadapnya akan dilakukan badan khas. “Justeru, individu itu tidak akan diberhentikan tanpa pembelaan kerana kita akan menilainya secara telus dan terperinci,” katanya selepas menandatangani pekeliling SBPA, di sini, semalam.

Pengumuman itu dibuat ketika Najib membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat. Abu Bakar berkata, seramai 1.4 juta penjawat awam akan menerima surat selewat-lewatnya 15 Disember ini untuk mengikuti skim SBPA atau kekal dengan sistem lama. “Mereka diberi tempoh mulai 16 hingga 30 Disember untuk membuat keputusan menyertai skim berkenaan atau meneruskan dengan skim sedia ada,” katanya.

Sumber daripada Harian Metro Online (myMetro)

Thursday, December 1, 2011

DAFTAR BANTUAN RM500

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pendaftaran permohonan Bantuan Tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Disember ini untuk tempoh satu bulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembayaran Bantuan RM500 hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan.

Menurutnya, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta agensi-agensi Kerajaan.

''Borang yang lengkap diisi beserta salinan kad pengenalan, hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDN,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumber daripada Utusan Malaysia Online