Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya aku telah menerima surat kenaikan pangkat ke gred DG42. Surat tersebut telah aku peroleh pada hari Isnin (2 Mac 2015). Dengan penerimaan surat ini melayakkan aku untuk dinaikkan pangkat beserta gaji baharu yang lebih tinggi.
Ini merupakan permulaan tahun 2015 yang baik bagi diriku dan keluarga. Pada minggu lepas aku mendapat berita gembira kerana mendapat tahu bahawa isteriku dapat berpindah ke SK Puchong Utama, sekolah yang berdekatan dengan sekolahku sekarang. Selang seminggu selepas itu, aku mendapat berita bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah mengeluarkan surat bahawa isteriku sekali lagi dapat ditukarkan ke SK KLIA, Sepang. Ini adalah berikutan permohonan pertukaran yang dia buat pada akhir tahun lepas bagi pertukaran di antara daerah yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2015.
Walau bagaimanapun, surat pertukaran tersebut telah berkuatkuasa pada 15 Februari 2015, sama dengan surat yang dikeluarkan oleh PPD Petaling Perdana bagi pertukaran ke SK Puchong Utama. Sebelum itu, kesemua anak-anakku telah ditempatkan semula ke SK Taman Seroja yang berdekatan dengan rumah kami. Sebab lain adalah kerana mereka masih bersekolah agama (KAFA) di sekolah yang sama pada sebelah petang.
Aku berharap dengan rezeki yang diberi oleh Allah S.W.T. tidak melalaikan aku untuk mengingati-Nya pada setiap masa. Semoga Tuhan memberikan keberkatan terhadap rezeki yang dilimpahkan kepada keluargaku ini. Amin.
No comments:
Post a Comment