Yang Berbahagia Datuk Sri Dr. Khair Mohamad Yusof
( Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia )
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Hari ini merupakan hari yang amat istimewa dan bermakna buat kita
semua yang bergelar guru. 16 Mei pasti diraikan bagi menghargai jasa dan
bakti guru dalam mendidik anak bangsa. Bersempena hari yang bersejarah
ini, marilah kita mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-
Nya, dapat kita berhimpun dan menjayakan sambutan hari guru bersama-
sama dengan anak didik yang dikasihi dalam suasana yang meriah, aman dan
harmoni.
2. Kesungguhan para guru meletakkan minat dalam profesion masing- masing
mampu menjadikan sistem pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan di peringkat antarabangsa. Saya amat berharap guru tidak
melihat kerjaya mereka sebagai satu pekerjaan semata-mata namun mereka
seharusnya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh rasa minat, tulus
ikhlas dan jujur. Bagi membentuk dan menyempurnakan akhlak anak
didiknya, guru perlu menjadi contoh teladan kepada mereka.
Guru perlu memiliki jati diri dan personaliti unggul yang cemerlang.
Sifat dan peribadi ini sesungguhnya menjadi inspirasi murid dalam
pembentukan sikap dan akhlak terpuji.
Para guru yang dihormati,
3. Seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang mewujudkan fenomena
langit terbuka dan dunia tanpa sempadan mendedahkan generasi hari ini
dengan kepelbagaian sumber maklumat. Perubahan terhadap gaya hidup
berorientasikan teknologi pintar dan kemajuan maklumat terkini memberi
kesan serta menjadi cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak
hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama.
4. Dengan erti kata sebenar, generasi muda masa kini bukan sahaja
berdepan dengan cabaran persaingan di peringkat global seperti kepesatan
ekonomi, keselamatan dan kebudayaan malah cabaran paling utama adalah
menangani konflik akhlak. Di sinilah peranan guru dicabar dan diuji.
Guru berperanan membimbing dan menyempurnakan akhlak anak didiknya dan
kita percaya tanggungjawab ini bukan satu tugas yang mudah. Akhlak mulia
dalam diri murid-murid yang dipupuk oleh ibu bapa bermula dari rumah
diteruskan oleh para guru seawal alam persekolahan, bak kata pepatah
"melentur buluh biarlah daripada rebungnya".
5. Pada ketika ini, perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan
teknologi dan kemajuan maklumat memerlukan guru peka terhadap
perkembangan semasa. Guru perlu menguasai teknologi maklumat, mahir
menggunakan seterusnya mengadaptasikan kemahiran tersebut dalam
pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah. Penguasaan guru dalam
bidang teknologi maklumat sangat penting bukan sahaja bertujuan
menyahut cabaran pendidikan hari ini yang menuntut guru menggunakan
pelbagai sumber malah untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran bagi
menerapkan nilai-nilai murni yang berkesan dalam penyempurnaan akhlak
mulia murid-muridnya.
Para guru yang dikasihi,
6. Tema Hari Guru tahun ini "Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak"
sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada abad ke-21. Tema ini
menghendaki agar kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu
bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge
person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang
baik (good citizen) yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara
bangsa yang bersatu padu dan berdaulat serta selaras sebagai negara maju
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
7. Dalam hal ini, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia sewaktu
berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan
Malaysia menyatakan bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan
melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan
pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai
dan adab yang tinggi.
8. Sehubungan itu, dan dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah
negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang
utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga
Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen
teras dalam sistem pendidikan kita.
9. Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita
perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan.
10. Berkonsepkan pembudayaan adab dan akhlak mulia dalam kalangan guru
dan murid di sekolah, guru adalah sebagai role model kepada murid dengan
pendekatan “Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”. Hasil akhirnya bagi
menghasilkan murid yang berketrampilan “Berilmu dan Berakhlak”.
11. Untuk itu, guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan
pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan
elemen-elemen kerohanian, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi
mengoptimumkan potensi murid. Warga pendidik perlu memainkan peranan
penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia
berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.
12. Peranan guru sebenarnya tidak terbatas hanya kepada menyampaikan
kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan
inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan
anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa
depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta
penggunaan bahan sumber secara berkesan.
13. Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu
dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang
digarapkan dalam PPPM 2013 - 2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat
untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid, iaitu
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru
merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.
14. Sesungguhnya, tugas membentuk adab dan akhlak yang mulia adalah satu
tugas yang sangat penting. Saya percaya jika kita semua mengabdikan
seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan
berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik
insan dengan adab dan pekerti yang mulia.
15. Saya berdoa, mungkin usaha membangun ilmu dan menyempurnakan akhlak
ini mendapat keberkatan Allah SWT. Berkat itu tidak ketara pada mata,
tapi dapat dirasa. Ia tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada
kualiti jiwa. Dengan barakah akan beroleh ketenangan dan kesenangan.
Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi.
Wahai guru-guru pembina bangsa,
16. Sistem pendidikan hari ini menyandarkan harapan agar kita
menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan anak didik menguasai ilmu
tulis, baca dan kira, tetapi lebih jauh daripada itu kita perlu
memperkasakan ilmu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ilmu ini
merupakan transformasi minda yang menguji keupayaan guru menjana
kemahiran berfikir aras tinggi bagi menggalakkan murid berfikir secara
kritis, analitis, kreatif, reflektif dan inovatif. Aktiviti PdP dalam
KBAT ini juga hendaklah dilaksanakan secara interaktif yang berfokus
kepada penyelesaian masalah untuk mendorong murid sentiasa berfikir.
17. Pada hemat saya, pemerkasaan ilmu KBAT amat penting untuk memastikan
murid-murid dapat bersaing menguasai ilmu setanding dengan kualiti
pencapaian murid di persada dunia. Oleh itu, saya memohon guru agar
sentiasa mengamalkan corak pengajaran yang pelbagai dan interaktif di
dalam bilik darjah, menerapkan kemahiran menaakul, di samping sentiasa
mengambil berat perkembangan setiap individu murid. Masalah yang
diberikan pula mestilah di luar rutin yang masih relevan dan bersesuaian
dengan aras kognitif dan tahap kematangan murid tetapi berupaya
merangsang minat murid, seperti aktiviti main peranan, kajian lapangan,
temu bual pengembaraan, penciptaan replika sesuatu bangunan, forum,
perdebatan, sumbang saran, sesi muhasabah dan refleksi diri.
18. Guru juga perlu memastikan pengajaran dalam bilik darjah ditukar
daripada pengajaran aktif kepada fasilitator aktif. Pembelajaran murid
menjadi inti pati terpenting dalam setiap sesi interaksi antara guru
dengan murid. Selanjutnya guru sangat wajar mentransformasikan kerangka
minda dirinya yang sebelum ini dianggap tetap dan mantap kepada kerangka minda
yang lebih anjal, luwes, bersedia menerima perubahan dan kritikan serta
bersedia untuk terus berkembang.
19. Walau bagaimanapun, peranan guru tidaklah hanya terbatas di dalam
bilik darjah semata-mata. Guru juga harus bertindak sebagai agen
perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan murid. Menerusi
kepimpinan dan kewibawaan, guru berupaya membina atmosfera sosial yang
sihat bagi menggalakkan interaksi pelbagai hala antara murid berbilang
kaum, latar belakang, dan budaya bagi mewujudkan satu identiti nasional
Malaysia yang dapat dibanggakan.
Warga guru dan murid yang dikasihi,
20. Kita sedia maklum bahawa pada masa ini, bentuk pentaksiran telahpun
berubah daripada berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran secara
holistik, maka Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi satu elemen
pentaksiran yang penting dalam mengukur keberhasilan murid. Guru juga
berperanan menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak
ke arah kemenjadian murid selaras dengan aspirasi dalam PPPM 2013 -
2025. Sejajar dengan itu, guru perlu mempunyai kredibiliti, integriti,
dan telus agar dapat menghasilkan penilaian yang adil. Sesungguhnya, di
tangan gurulah terletaknya penentu hala tuju masa hadapan murid.
21. Saya yakin ramai guru yang begitu berpengalaman dalam bidang
keguruan, namun tuntutan pada abad ini memerlukan idea baharu untuk
meningkatkan profesionalisme diri. Lantaran itu, guru
seharusnya mengaplikasikan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menghindari sikap
egoistik lantas mendorong dirinya untuk terus menimba ilmu dan kemahiran
terkini melalui pelbagai sumber termasuk daripada muridnya sendiri.
Sudah tiba masanya kita mengenepikan segala perbezaan yang menjadi punca
diskriminasi dan prejudis. Guru perlu sentiasa menonjolkan sifat
bertanggungjawab sebagai wahana penyatu bangsa yang sentiasa
menyeimbangkan neraca keadilan untuk memastikan setiap anak murid
menerima pendidikan berkualiti.
22. Kementerian Pendidikan telah menyediakan laluan kerjaya terbaik
untuk guru. Bagi memastikan laluan ini bersesuaian dengan keperluan
semasa, maka Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) telah
dibangunkan. Pelan ini bertujuan untuk melengkapkan pembangunan
pofesionalisme sedia ada dan mentransformasi amalan pembangunan
profesionalisme berterusan bagi meningkatkan kualiti guru dan pemimpin
sekolah serta memperkasakan profesion keguruan.
23. Apabila skim perjawatan Time Based Berasaskan Kecemerlangan
diwujudkan, hal ini menunjukkan bahawa elemen kecemerlangan menjadi asas
pertimbangan untuk peningkatan kerjaya setiap guru. Selari dengan
hasrat tersebut, guru perlu memiliki kriteria yang telah digariskan
dalam PPPB, iaitu pemikir holistik dan kreatif, pemikir strategik,
peneraju perubahan, pembimbing dan mentor, penggerak kualiti PdP, serta
pelaksana pengajaran berkesan dan fasilitator pembelajaran murid.
Kepada anak-anak murid yang dikasihi sekalian,
24. Pada kesempatan ini, sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat
memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala
peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik
mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah
sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan
mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang
bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan global yang
semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu
dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan.
25. Dalam pada itu, jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan
terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan bermoral seperti ponteng,
buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri
dan masa depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa dan
guru- guru anda. Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya
kerana masa muda hanya sekali. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik
kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan
berjaya. Only the best among you will survive and thrive.
26. Sebelum mengakhiri ucapan, marilah sama-sama kita hayati dua rangkap pantun ini :
Berdayung sampan mudik ke hulu
Hendak bertemu gadis idaman
Mulia sungguh pengorbananmu guru
Kekal dikenang sepanjang zaman
Harum mewangi si bunga tanjung
Tumbuh mekar di laman Tun Perak
Jasa dan baktimu terus disanjung
Membina ilmu menyempurnakan akhlak
27. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat
Hari Guru’ kepada semua insan yang bergelar pendidik. Sesungguhnya
negara amat memerlukan khidmat bakti para guru dalam melahirkan bangsa
Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia.
‘Terima kasih cikgu’