Sunday, May 17, 2015

INSENTIF HARI GURU 2015

Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah mengumumkan beberapa insentif kepada guru-guru seluruh Malaysia, antaranya :
  1. Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn [Akta 763] telah diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan. Melalui Yayasan ini guru-guru akan dibantu mendapatkan pembiayaan untuk melanjutkan pengajian, termasuk guru yang tidak layak mendapat biasiswa kerajaan kerana melebihi had umur. Yayasan ini juga akan menjaga kebajikan guru dengan memberi keutamaan kepada guru yang memerlukan bantuan kecemasan, bencana alam, khairat kematian dan bantuan peralatan sokongan selepas rawatan seperti kerusi roda. Memandangkan guru juga berisiko tinggi terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, maka Yayasan Guru Tun Hussein Onn juga menjadi harapan untuk menghulurkan bantuan keperluan dan pembiayaan pengajian anak-anak guru yang terlibat;
  2. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menyeragamkan had umur pegawai awam bagi mengikuti Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D) iaitu dari 43 tahun bagi Ijazah Sarjana kepada 45 tahun seperti had umur bagi Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah Hadiah Latihan Persekutuan. Peningkatan had umur bagi pegawai awam mengikuti Ijazah Sarjana ini akan memberikan lebih peluang kepada Pegawai Pendidikan Pendidikan (PPP) untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Peningkatan ilmu dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di peringkat lanjutan akan menjadi pemacu kepada perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkualiti dan efisien.
  3. Kerajaan telah bersetuju untuk menambahbaik Elaun Pengetua dan Guru Besar sedia ada. Elaun sedia ada yang telah berkuatkuasa mulai tahun 2000, kini dinaikkan dari RM150 kepada RM300 sebulan bagi 2,405 Pengetua Sekolah Menengah dan kenaikan dari RM100 kepada RM200 sebulan bagi 7,757 Guru Besar Sekolah Rendah berkuatkuasa 1 Julai 2015. Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri  yang telah memberikan persetujuan kepada cadangan Kementerian untuk menambahbaik elaun Pengetua dan Guru Besar. Penambahbaikan ini dibuat kerana Pengetua dan Guru Besar memainkan peranan yang amat penting dalam kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Peranan dan kompleksiti tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan Pengetua dan Guru Besar. Insentif ini diharap akan dapat mendorong pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dalam keberhasilan murid. Prestasi Pengetua dan Guru Besar akan sentiasa diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI), malah pencapaian KPI juga menjadi pengukuran kesesuaian penyandang terus menduduki jawatan tersebut.

No comments:

Post a Comment