Sunday, June 15, 2014

HARI PERTAMAKU SEBAGAI GURU PENOLONG KANAN KOKURIKULUM

SK Puchong Perdana merupakan sekolah ketigaku sepanjang perkhidmatanku sebagai seorang pendidik. Sekolah pertamaku adalah di SK Seri Mega, Kuala Lumpur dari 16 Ogos 1999 sehingga 31 Disember 2008. Sekolah keduaku pula adalah di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara, Puchong dari 1 Januari 2009 sehingga 30 April 2014. 

Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred A yang terletak di tengah-tengah Taman Puchong Perdana. Seramai 2300 lebih murid dengan dua sesi persekolahan. Dua kali ganda daripada SKS2BK. Walaupun sekolah ini mempunyai bilangan murid yang ramai, namun suasana sekolah yang agak tenang memberikan motivasi bagi aku untuk mencurahkan bakti di sekolah baharu ini.

Pagi ini semasa perhimpunan pertamaku di sekolah ini, aku telah diberi peluang untuk memberikan ucapan pertamaku di hadapan semua warga sekolah. Perasaan gementar memang terrserlah semasa ucapan pertamaku. Mungkin perasaan gemuruhku menguasai diri yang tidak dapat aku kawal. Walau bagaimanapun, aku telah bulatkan tekad untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh integriti.

No comments:

Post a Comment