Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan penangguhan sesi awal persekolahan bagi tahun 2015 akibat bencana banjir yang melanda negara menerusi Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 24 Tahun 2014; Penangguhan Tarikh Mula Sesi Persekolahan Tahun 2015;bertarikh 29 Disember 2014. Penangguhan ini dibuat setelah mengambilkira;
a. Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b. Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
KPM ingin menegaskan bahawa tarikh bagi hari-hari penangguhan persekolahan akibat banjir seperti terkandung dalam surat siaran tersebut adalah tidak perlu diganti kerana bukan dianggap sebagai cuti. Tempoh tersebut bermaksud tempoh pemulihan kepada semua pihak akibat bencana banjir dan dianggap sebagai hari bekerja. Pihak KPM berharap dengan penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul dalam kalangan pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa.
Terima kasih.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Sumber : Kenyataan Media, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - 6/8/2015