Wednesday, September 16, 2015

SEKOLAH SELANGOR, KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA, NEGERI SEMBILAN DAN MELAKA DIBUKA SEMULA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara berterusan memantau status terkini bacaan IPU berkaitan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini. Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan pihak sekolah perlu memberhentikan segala aktiviti-aktiviti luar bilik darjah bila bacaan IPU melebihi 150.  Kawasan di mana bacaan IPUnya melebihi 200 pula sekolah-sekolah perlu ditutup.
 
Pada 15 September 2015 (Selasa), sebanyak lima buah negeri iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka telah diminta menutup sekolah kerana bacaan IPU di negeri-negeri berkenaan menunjukkan bacaan yang sangat tidak sihat.
 
Setelah meneliti bacaan IPU di seluruh negara sehingga jam 4 petang pada 16 September 2015, maka KPM ingin memaklumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara termasuk 5 buah negeri berkenaan hendaklah dibuka semula bermula esok iaitu 17 September 2015. Walau bagaimana pun, semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah hendaklah terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib, serta boleh mengambil tindakan sewajarnya di peringkat masing-masing berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan tersebut.
 
Dalam hal ini, KPM juga ingin mengingatkan para ibu bapa bahawa sekiranya mendapati kesihatan anak-anak mereka terjejas akibat jerebu khususnya bagi anak-anak yang ada masalah pernafasan maka tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah, dan perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah.

No comments:

Post a Comment