Sunday, December 30, 2012

PENDAFTARAN PERSEKOLAHAN ANAK


SK Seri Mega telah mengadakan sesi pendaftaran bagi murid-murid Prasekolah dan Tahun 1 bagi tahun 2013. Pendaftaran tersebut telah dijalankan pada 31 Disember 2012 (Isnin) di sekolah berkenaan. Sesi tersebut dimulakan dengan pendaftaran dan pembelian buku latihan bagi murid-murid prasekolah termasuk juga baju t-shirt prasekolah dan tanda nama. Setelah selesai pendaftaran, kami diberikan taklimat pengurusan oleh guru prasekolah dan GPK HEM. Di dalam taklimat tersebut, mereka telah menjelaskan tentang etika pemakaian pakaian sekolah, aspek-aspek keselamatan dan beberapa perkara penting yang berkaitan.


Anak kedua ku, Amirul Fahmi telah aku daftarkan ke dalam kelas prasekolah buat tahun yang kedua. Ini adalah kerana anak ku baru berusia 6 tahun pada tahun 2013 nanti. Kelas yang sama tetapi rakan-rakan yang berbeza. Walau bagaimanapun, anak ku masih mempunyai rakan bermain dalam kalangan anak-anak guru SKSM seperti anak Ustaz Zuhdi, Norasyikin dan Nora. Dengan adanya mereka, anak ku dapat membiasakan diri bermain dengan mereka. Selamat bersekolah kepada anak ku Amirul Fahmi.

Wednesday, December 26, 2012

MESYUARAT GURU BIL.1/2013


Tahun 2012 sudah hampir kepada penghujungnya. Maka bermulalah tugasku bagi tahun 2013. Tugas pertamaku pada tahun 2013 ini adalah menghadiri Mesyuarat Guru dan Kurikulum Bil.1/2013. Mesyuarat tersebut telah dijalankan pada hari ini iaitu hari Rabu (26/12/12). Mesyuarat yang bermula pada pukul 8.30 pagi telah pengerusikan oleh puan Guru Besar SKS2BK di Bilik Wawasan. 


Majoriti guru telah hadir dengan tiga orang muka baharu yang menggantikan guru-guru yang telah berpindah. Guru-guru baharu yang telah melapor diri di SKS2BK terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan. Guru-guru tersebut adalah En. Baser, Pn. Muzaimah dan Pn. Salmah. Selamat datang kami ucapkan kepada mereka. Kedatangan mereka amat dialu-alukan. Bersama-samalah kita memajukan SKS2BK ke peringkat yang lebih cemerlang. 


Banyak input yang diberikan oleh guru besar. Semuanya tentang dasar-dasar KPM seperti NKRA, KSSR, GTP dan pelbagai perkara lain. Di dalam mesyuarat kali pertama ini dapatlah kami guru-guru SKS2BK mengenali dengan lebih dekat perwatakan guru besar baharu ini. Bagi aku, beliaua seorang yang tegas dan boleh dibawa berbincang. Harap telahan aku tepat. Walau bagaimanapun, tugas yang telah diamanahkan tetap akan dipikul sedaya mampu untuk kecemerlangan anak bangsa Malaysia.


PERCUTIAN DI CORUS PARADISE


Musim cuti sekolah adalah masa yang dinanti-nantikan oleh seisi keluarga untuk merancang percutian masing-masing. Keluarga aku juga tidak terkecuali untuk pergi bercuti bersama-sama ahli keluarga. Pada kali ini, terdapat kelainan tentang percutian keluarga kami. Percutian kali ini juga adalah bersempena dengan perjumpaan semula (reunion) rakan-rakan isteriku semasa di SMA Batu 9, Ulu Langat.



Percutian yang dicadangkan adalah di Corus Paradise yang terletak di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami telah pergi ke sana pada hari Sabtu (22/12/12) yang lalu. Aktiviti yang dicadangkan adalah seperti mandi-manda di pantai dan kolam renang. Pada sebelah malamnya pula kami telah mengadakan jamuan barbeku. Semua bahan-bahan telah dibawa dari rumah masing-masing. Ada yang membawa ikan keli, ikan cencaru, ayam, sosej dan udang. Memang meriah acara membakar makanan pada malam tersebut. Sang suami membakar, sang isteri bersembang dan anak-anak datang makan. 



Keesokannya. terdapat beberapa keluarga yang pergi ke pantai yang lebih jauh iaitu Pantai Cermin. Ada juga yang telah mula pulang ke rumah masing-masing. Keluarga aku cuma pergi berenang di pantai yang terletak di bawah hotel. Kemudian, kami telah pergi mandi-manda di kolam renang hotel pula. Kami mula berangkat ke rumah masing-masing.



Wednesday, December 19, 2012

KEPUTUSAN PMR ADIK-ADIK KU


Pada 19 Disember 2012 (Rabu) yang lalu, keputusan PMR telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Adik ku iaitu Mohd. Faris dan adik ipar ku  iaitu Mohd. Amin telah mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing. Adik ku telah mendapatkan keputusannya di SMK Bangsar manakala adik ipar ku mendapatkan keputusannya di SMK Puchong Permai. Alhamdulillah keputusannya agak baik bagi kedua-duanya. Adik ku mendapat 3A, 2B, 2C dan 1D manakala adik ipar ku pula mendapat 5B, 1C dan 2D.  Dengan keputusan ini aku berharap keduanya akan berjaya memohon tempat ke sekolah menengah teknik atau vokasional. Semoga berjaya dan berusaha lagi pada masa yang akan datang.

Monday, December 17, 2012

CIKGU MOHD. SYAIFUL & ISTERI DATANG ZIARAH




Pada hari Sabtu (15/12/12), sahabat lama ku iaitu Mohd. Syaiful Bahari dan isteri telah bertandang ke rumah ku untuk bermalam. Keesokannya beliau akan ke Kuala Lumpur untuk mengambil jubah. Mereka datang ke sini adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen OUM. Beliau akan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajaran pada hari Isnin nanti. Tahniah di atas kejayaan anda setelah sekian lama bertungkus-lumus berjuang untuk mencapainya.

Tuesday, December 11, 2012

ROMBONGAN KE i-CITY


Pada 9 Disember 2012 yang lalu, Wak Sairan dan keluarga telah bertandang ke Puchong iaitu rumah mentua ku. Mereka datang ke mari adalah kerana memenuhi jemputan Yang Dipertuan Agong sempena Majlis Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran Negara. Majlis tersebut diadakan pada 11 Disember 2012 iaitu pada hari Selasa di Istana Negara, Kuala Lumpur. Majlis tersebut berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari. Pingat yang Wak Sairan peroleh adalah pingat Pingat Pangku Negara (PPN) di atas jasanya semasa memegang jawatan ahli  jawatankuasa Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan Kampung (JKKK).


Pada sebelah malam 11 Disember 2012 iaitu selepas majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung pada sebelah pagi, kami beramai-ramai telah mengunjungi i-City yang terletak di Shah Alam. Kami pergi ke sana dengan tiga buah kereta yang terdiri daripada kereta aku, bapa mentua ku dan kereta Wak Siran sendiri. Setibanya di sana, kami terus menuju ke tapak pameran sejurus selepas meletakkan kenderaan kami di tepi jalan. Sesampainya di tempat yang kami tuju, kami sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. 

Sejurus selepas itu, bapa mentua ku merasanya kurang tenang kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan lalu  dia pun turun semula ke tempat letak kenderaan kami. Setibanya di sana, bapa mentua ku terkejut kerana kenderaan kami nyaris-nyaris dikunci oleh pihak pengurusan i-City. Mujurlah selepas berbincang dengan mereka kami berjanji untuk mengalihkan kenderaan kami ke tempat lain. Kami pulang semula ke rumah kurang lebih pukul 12 tengah malam.

Wednesday, December 5, 2012

AINA "SUPERSTAR"


Pada hari ini hanya tinggal kami berempat sahaja. Aku, isteri, Aina dan Ain. Kakak dan abang bermalam di rumah datuk dan nenek di Puchong. Sempena ketiadaan mereka, aku mengambil kesempatan untuk ke Giant, Nilai untuk membeli beberapa barangan keperluan harian. 


Tajuk di atas aku tuliskan khas untuk anak ku Aina Faqihah. Ini disebabkan oleh telatahnya ketika di taman permainan kanak-kanak di dalam Pasaraya Giant. Aku sempat mengambil beberapa keping gambar untuk menunjukkan dia dengan aksinya. Aina bagaikan seorang superstar apabila aksinya aku rakam dengan kamera yang baharu aku beli. 


Kelakar dan bersahaja aksi yang ditunjukkan oleh anak ku yang seorang ini. Wajahnya yang fotogenik membuatkan gambar yang aku ambil penuh dengan keceriaan. Dia memang tidak kekok apabila berhadapan dengan kamera kerana sejak dari kecil aku telah dedahkan dia dengan kamera. Tanpa gangguan daripada kedua orang kakak dan abangnya membuatkan dia berusaha untuk menghiburkan dirinya dengan permainan kegemarannya iaitu gelongsur. Semoga masa hadapannya cerah dengan cahaya yang dirahmati-Nya.


Sunday, December 2, 2012

JALAN-JALAN KENDURI KAHWIN


Setiap kali cuti sekolah, memang ramai yang mengadakan kenduri kahwin atau majlis pertunangan. Dengan adanya majlis-majlis seperti itu, maka banyaklah pula kad-kad undangan yang perlu dipenuhi. Aku dan ahli keluargaku juga tidak ketinggalan daripada menerima undangan tersebut. 

Pada 1/12/12 yang lalu, terdapat dua undangan yang penting. Kedua-dua undangan tersebut datangnya daripada mak cik saudara di sebelah bapa dan mak ku. Salah satu daripadanya adalah daripada Mak Cik Ngah. Beliau telah mengajak ku menghantar anak sulungnya Mohd. Rafi untuk meminang. Tempatnya tidak jauh, cuma di Cheras sahaja. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun hujan turun dengan lebatnya.


Satu lagi undangan adalah daripada Mak Su Lah, mak saudara di sebelah ibuku. Beliau juga menjemput aku mengiringi rombongannya menghantar anaknya, Murni ke rumah mentuanya yang tinggal di kawasan Templer Park. Malangnya undangannya tidak dapat aku penuhi kerana aku telah pergi mengikuti undangan yang pertama tadi. Walaupun begitu, ibuku telah pergi bersama dengan adik-beradik yang lain mengiringi rombongan mereka. Aku difahamkan, semua perancangan berjalan dengan lancar.

Pada 2/12/12, aku telah pergi tiga tempat yang berasingan. Semuanya berkaitan dengan undangan perkahwinan dan pertunangan. Pertama aku telah pergi ke PPR Pekan Batu yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Ini berikutan memenuhi undangan perkahwinan anak perempuan Cikgu Zah yang aku panggil Nor sahaja. Mereka adalah saudara jauhku. Dulu keluarga kami tinggal berjiran. Selepas Kg. Pasir Dalam dirobohkan, maka kami telah berpisah ke tempat yang berasingan. Dia dan keluarga telah berpindah ke PPR Pekan Batu manakala aku dan keluarga ke PPR Raya Permai, Sungai Besi. Selepas PPR Pantai Permai siap, keluargaku telah berpindah ke sana manakala dia dan keluarga enggan berpindah dan mahu terus menetap di sana. 


Tempat kedua yang aku dan keluargaku pergi adalah di flat di Jalan Pahang. Di sana aku telah menghantar emak saudaraku, Mak Cik Ngah ke kenduri rakannya. Ia adalah kenduri perkahwinan anak rakannya. Tempat terakhir yang kami pergi adalah di Damansara Utama berdekatan dengah bangunan Kumpulan Media Prima. Di sana aku telah menghadiri majlis pertunangan anak sepupunya iaitu Wanie. Dia adalah anak sepupuku yang sulung. Sepupuku bernama Kharimah. Ibunya dan ibuku adalah adik-beradik. Ramai juga saudaraku yang hadir. Antara mereka termasuklah emak dan bapa saudaraku yang dari Kelantan, sepupu-sepupuku, iaitu adik-beradik Kak Kharimah dan sepupuku yang lain. Turut hadir adalah mak saudara-mak saudaraku dari sebelah bapaku.

Walaupun hujan lebat melanda, namun majlis tersebut tetap berjalan dengan jayanya. Ini adalah kerana hujan  turun selepas majlis tersebut selesai. Hujan melanda ketika sebahagian para tetamu selesai menjamu selera. Penat sungguh aku yang para rombongan yang lain menghadiri pelbagai jenis majlis pada hari semalam dan juga hari ini. Namun aku amat berpuas hati kerana dapat bertemu dengan saudara-mara yang jauh mahupun yang dekat. Dengan ini dapatlah kami mengeratkan tali silaturrahim di antara kami. Sekalung tahniah dan berbahagia kepada semua yang terlibat. Semoga kalian dirahmati-Nya hingga ke akhirat. Amin.