Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) merupakan tempat terbaharu yang aku jejak. Ini bukan tempat aku belajar tetapi tempat adik dan adik iparku yang bongsu belajar. Mereka telah ditempatkan di tempat yang sama. Syukur kerana aku tidak perlu untuk menghantar ke dua tempat yang berbeza. Pendaftaran dijadualkan pada pukul 8.30 pagi Ahad tetapi kami telah tiba di Kuantan pada hari Sabtu. Tujuan kami datang awal ke sana supaya kami tidak tergesa-gesa mengejar waktu.
Kami ke sana dengan dua buah kendaraan yang terdiri daripada kereta aku dan bapa mertuaku. Kereta aku dinaiki oleh keluarga dan juga emak dan adik bongsuku manakala kereta bapa mertuaku dinaiki oleh isteri dan anak bongsu mereka.
Sampai sahaja di sana kami telah menuju ke Taman Sungai Karang di mana homestay kami berada. Homestay tersebut telah ditempah melalui kawan lamaku yang kini menetap di sana. Beliau ialah Cikgu Azman dan pasangan serta keluarga telah berpindah dan menetap di sana sejak 2006. Pemilik homestay telah mengenakan RM200 bagi satu hari satu malam. Berbaloi dengan kemudahan yang disediakan seperti 4 bilik tidur, 2 bilik air, 2 tempat parkir dan kemudahan lain seperti peti sejuk serta peralatan makan.
Beberapa ketika kemudian datang Azman menziarahiku di tempat penginapan untuk bertanya khabar. Kemudian beliau telah mengajak aku sekeluarga untuk melawat rumahnya yang terletak di dalam taman yang sama. Rumah teres satu tingkat yang telah dibeli 3 tahun yang lepas agak selesa dengan keluarga yang sederhana. Banyak juga yang kami bualkan dan banyak cerita-cerita lama yang keluar. Masing-masing berasa teruja untuk menceritakan perkembangan masing-masing.
Kami terpaksa beredar dari rumah Azman bagi memberi ruang untuk beliau bertolak ke Kuala Terengganu bagi menghantar anak keduanya. Anak lelaki Azman kini bersekolah di sebuah sekolah tahfiz di sana manakala anak sulung pula bersekolah di sekolah berasrama di Kuantan.
Pada pagi berikutnya, kami telah bersiap awal untuk menghantar adik dan adik iparku ke POLISAS. Kami sampai di sana pada pukul 8.00 pagi. Keadaan di sana agak lengang kerana tidak ramai ibu bapa yang telah tiba. Kami diminta untuk membawa barang-barang keperluan terus ke asrama lelaki untuk pendaftaran dan penempatan bilik asrama. Alhamdulillah kerana mereka telah ditempatkan di blok yang sama walaupun di aras yang berbeza.
Setelah selesai semua perkara, kami mula berangkat pulang ke homestay. Sebenarnya kami tidak hadir untuk sesi taklimat untuk ibu bapa yang dijadualkan pada pukul 11.00 pagi. Oleh kerana bapa mertuaku khuatir kesesakan akan berlaku di Lebuh Raya Karak, beliau mengambil keputusan untuk terus pulang ke Kuala Lumpur dengan segera. Manakala aku dan keluarga menunggu sehingga pukul 11.30 pagi kerana anak-anak sudah merayu untuk pergi ke pantai.
Setelah mengemas semua barang keperluan, kami bertolak ke Pantai Batu Hitam yang terletak kurang lebih 1 kilometer dari tempat penginapan kami. Pantainya panjang mendatar, pasirnya halus kepuih-putihan dan air lautnya tidak begitu bergelora. Di tepi pantainya terdapat beberapa gerai menjual makanan dan beberapa buah kedai makan. Tidak ramai pengunjung yang bertandang ke sana. Suasananya damai dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa.
Kelihatan keletah anak-anak mencari kulit-kulit kerang dan siput. Malangnya agar sukar untuk mendapatkan kulit-kulit kerangan di sana. Kemudian mereka beralih bermain pasir yang memutih di pantai. Aku, isteri emak dan anak bongsu kami duduk bersantai di atas bangku di tepi pantai. Kami mengambil peluang merakamkan gambar kenangan untuk dibawa pulang.
Kami pulang semula ke tempat penginapan untuk berjumpa dengan pemilik homestay tersebut untuk membayar baki bayaran yang dijanjikan. Terlebih dahulu aku telah berjanji dengan pemilik untuk bertemu dengannya pada pukul 11.00 pagi. Setelah bayaran terakhir dibuat serta menyerahkan kunci rumah kepada pemiliknya, kami bertolak ke Kuala Lumpur. Syukur alhamdulillah kerana sepanjang perjalanan pulang kami dimudahkan kerana tidak berlaku kesesakan jalan seperti yang kami ramal.