Saturday, June 20, 2015

KEPUTUSAN SEKOLAH AGAMA KAFA YANG MEMUASKAN

Keputusan peperiksaan Sekolah Agama KAFA Taman Seroja telah dikeluarkan. Aku telah datang ke sekolah tersebut pada petang Jumaaat lepas untuk mengambil keputusan Aisyah dan Amirul. Kelas Al-Khindi iaitu kelas tempat Amirul belajar agak ramai ibu bapa yang menanti.

Jadi aku mengambil keputusan untuk pergi mengambil keputusan Aisyah dahulu. Kelas As-Syafie di mana Aisyah belajar tidak ramai ibu bapa. Ketika aku sampai di sana, aku adalah orang yang ketiga. Semasa berjumpa dengan ustazah kelas, dia telah menunjukkan keputusan anak sulungku. Secara keseluruhannya, Aisyah mendapat mendapat tempat ke-17 daripada 38 orang murid.

Hanya mata pelajaran Tajwid sahaja yang mendapat A, selebihnya B. Memang keputusan kali ini agak memuaskan. Walau bagaimanapun dia mempunyai potensi untuk meningkat naik. Cubalah perbaiki diri dan belajarlah bersungguh-sungguh nescaya anak ayah akan berjaya.

Kemudian aku berpindah ke kelas Al-Khindi iaitu kelas tempat Amirul belajar. Ketika aku sampai, masih ada ramai ibu bapa yang menanti. Aku mengambil tempat duduk yang disediakan. Sambil memerhati gelagat ibu bapa, aku perhatikan juga cara ustazah kelas menjawab segala pertanyaan ibu bapa. Daripada pemerhatianku, ustazah kelas Amirul suka bercakap. 

Beberapa ketika kemudian, sampailah giliran ku. Aku duduk di hadapan ustazah kelas Amirul. Kemudian aku dihulurkan sehelai kertas kedatangan ibu bapa. Setelah itu, beliau telah menerangkan bahawa yuran bulanan Amirul telah dibayar sehingga bulan Jun. Kemudian barulah beliau memberikan aku keputusan peperiksaan Amirul. 

Kali ini Amirul mendapat tempat yang ke-17, sama seperti kakaknya tetapi peratus keputusannya lebih tinggi daripada Aisyah iaitu kurang lebih 70 peratus berbanding kakaknya yang hanya mendapat 60 peratus lebih. Ustazah kelas Amirul ada menambah bahawa Amirul suka bermain di dalam kelas. Memang tidak dinafikan bahawa anak lelaki ku ini agak leka dengan bermain. Tidak mengapalah, tetapi lain kali aku perlu lebih tegas untuk meningkatkan lagi prestasi anak-anak dalam bidang akademik.

No comments:

Post a Comment